La Dolce Amira 'ganti' Si Lenggang Amira

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PADA asalnya, tajuk drama bersiri La Dolce Amira diberi nama Si Lenggang Amira. Namun, tanpa semena-mena, tajuknya ditukar disebabkan tidak menarik.

"Kami memberikan tiga tajuk kepada pihak TV3 iaitu antaranya adalah Si Lenggang Amira tetapi akhirnya tajuk La Dolce Amira terpilih.

"Tajuk drama yang mengetengahkan budaya luar dan budaya remaja masa kini itu dikatakan lebih menarik daripada Si Lenggang Amira.

"Lagipun tajuk itu dipilih mengikut tajuk buku yang ditulis Amira iaitu seorang yang bercita-cita hendak menjadi penulis.

"Secara tak sengaja, dia berjumpa dengan pensyarahnya untuk mendapatkan motivasi dan semangat sebelum menulis.

"Maksud 'La Dolce' adalah 'si manis' dan dalam buku itu Amira menulis tentang rakan-rakannya," kata pengarah dramanya, Aida Fitri Buyong.

Menerusi slot Lestary, drama 13 episod ini membariskan pelakon-pelakon seperti Faeza Elai, Iqran Dinzly, Siti Elizad, Zaefrul Nordin dan ramai lagi yang mula menemui penonton pada 26 Mei lalu, setiap Selasa, pukul 9 malam di TV3.

La Dolce Amira menceritakan tentang sekumpulan remaja yang masing-masing mempunyai masalah keluarga lantas mencipta dunia mereka sendiri dengan mengharungi kehidupan yang materialistik dan sentiasa mengejar kemewahan.

Watak Amira yang dilakonkan oleh Faeza merupakan seorang yang berjiwa muda dan mempunyai ramai kawan. Hidupnya dipenuhi dengan gelak tawa dan usik-mengusik walaupun kadangkala asyik bergaduh.

Tetapi disebalik keceriaan itu, Amira berdepan dengan masalah rumahtangga ibu bapanya, Puan Yasmin dan Encik Azhan.

Pelbagai cubaan sudah dilakukan oleh Amira tetapi sering tidak menjadi. Amira tiada tempat untuk mengadu. Abangnya, Ariff, bersikap endah tak endah dengan masalah ibu bapa mereka manakala adiknya, Arissa, masih mentah untuk memahami situasi sebenar.

Mengenai pemilihan Faeza memegang watak utama dalam drama tulisan Datuk Paduka Shuhaimi Baba itu, Aida berkata Faeza lebih versatil dan mempunyai potensi untuk melakonkan watak ini berbanding Fouziah Gous dan Scha.

Menurut Aida, dua pelakon itu turut dipanggil untuk ujibakat lakonan dalam drama itu.

Namun Faeza lebih layak dan sesuai untuk membawakan karektor Amira.

"Drama ini juga membayangkan tentang hidup kita dan anak muda yang hidup di Kuala Lumpur dengan latar kehidupan yang berlainan.

"Drama ini mengajar kita untuk menghargai orang lain kerana apabila orang itu tiada barulah kita akan terasa kehilangannya," kata Aida mengenai drama yang turut mempopularkan lagu 'Dan Sebenarnya' nyanyian Yuna sebagai lagu tema drama ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan