'Gugu gaga bersama Erra' eratkan kasih ibu dan anak

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Engku Emran mendukung anak kesayangannya, Engku Aleesya sambil ditemani isteri tercintanya, Erra Fazira.
Engku Emran mendukung anak kesayangannya, Engku Aleesya sambil ditemani isteri tercintanya, Erra Fazira.

SEWAKTU mengandung dulu, model/ pelakon dan biduanita, Fazira Wan Chek atau Erra Fazira selalu juga menulis lirik lagu dan menyanyi untuk menghiburkan bayi di dalam perutnya.

Erra melakukan semua itu untuk menghiburkan permata hatinya, Engku Aleesya agar dapat menikmati muzik.

Kini setelah Engku Aleesya dilahirkan dan sudah berusia hampir dua bulan, Erra masih menyanyikan lagu yang sama untuk menghiburkan anak kesayangannya.

"Bila moodnya (Aleesya) baik, dia akan 'menyanyi' bersama-sama. Perbezaannya, saya tidak faham maksudnya," gurau Erra pada temuramah khas 'Gugu gaga bersama Erra Fazira.'

'Gugu Gaga bersama Erra Fazira' adalah program realiti sebanyak 10 episod dan bakal ditayangkan pada setiap Selasa di Astro Ria, bermula 9 Jun ini. Setiap tayangan adalah selama setengah jam.

Program itu menceritakan tentang pengalaman Erra sebagai ibu selama 10 minggu di mana rakaman itu turut memaparkan tentang aktiviti Erra.

Tambahnya, dia turut memasangkan lagu-lagu berbentuk keagamaan dan klasik untuk merangsangkan minda anaknya.

Begitulah kasih seorang ibu sampai ke syurga, setiap yang dilakukan adalah untuk kebaikan darah dagingnya.

Dan dalam kes ini, Engku Aleesya benar-benar bertuah mendapat limpahan kasih sayang ibunya.

Bagi Erra, kehadiran permata hatinya begitu didambakan.

"Seronok sangat, menang anugerah pun tidak macam ini," luah isi hatinya.

Aleesya juga akan tersenyum apabila ibu bapanya memanggil namanya dan bermain dengannya.

Ditanya sama ada dia bercadang untuk memasarkan lagu bayi ciptaannya, Erra berkata, beliau tidak mempunyai perancangan tersebut.

Katanya, dia hanya menyanyikan lagu-lagu tersebut di rumah.

Bagaimanapun, pengurus Erra, Vernon Kedit tidak menolak idea ingin meneroka peluang tersebut kerana seingatnya, belum ada lagi artis yang bergelar ibu menghasilkan lagu-lagu bayi untuk dikomersialkan.

Sementara itu, Erra memberitahu, dia akan membuat satu telemovie untuk Hari Raya, iaitu Cinta Lelong dengan Astro.

"Pada penghujung Jun nanti, saya akan membuat dua buah lagu kerana komposer datang dari Indonesia," katanya sambil menyatakan lagu itu bergenre ballad.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan