Tia-Suzan terpaksa tidur di luar kerana katil patah?

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tia dan Suzan selamat diijabkabulkan Ahad lalu
Tia dan Suzan selamat diijabkabulkan Ahad lalu

BAGAIKAN mimpi! Itulah ungkapan pertama yang terpacul dari mulut pengantin baru, vokalis kumpulan Jinbara, Shamsul Bakhtiar Zakaria atau mesra dengan nama Tia, 39, dan wartawan Bintang Popular Berita Minggu, Suzan Ahmad, 34, mengenai perkahwinan mereka yang berlangsung pada Ahad lalu.

Seperti yang diberitahu oleh Tia mahupun Suzan, mereka masih cuba menyesuaikan diri sebagai suami isteri kerana diri masing-masing masih berada dalam alam percintaan.

“Saya sudah dua tahun menjanda. Jadi, ia mengambil masa juga untuk menyesuaikan diri menjadi isteri orang.

“Tia pula sudah 39 tahun membujang dan tidak pernah mempunyai pengalaman berumahtangga dan tiba-tiba jodohnya telah sampai,” kata Suzan, ibu tunggal kepada tiga orang anak.

Mereka adalah Ahmad Naqiuddin, 8, Qystina Nayli, 6, dan Ahmad Nifail, 3.

Jika dulu, Suzan kurang mendedahkan cerita tentang percintaannya dengan Tia memandangkan dia lebih arif tentang selok-belok dunia kewartawanan selepas menceburi bidang ini sejak lapan tahun lalu.

Tetapi kini, Suzan sedia untuk berdepan dengan semua permainan media walaupun kehidupan yang dilaluinya selepas ini lebih berbeza daripada kehidupan lamanya.

“Kalau dulu, saya akan sorok jika boleh sorok tetapi sekarang saya sudah dan perlu bersedia untuk menjadi orang media yang berstatuskan isteri kepada seorang artis.

“Kalau artis berkahwin dengan artis, lain rasanya. Jika artis berkahwin dengan orang biasa pun berlainan juga kesannya tetapi apabila artis berkahwin dengan wartawan mungkin akan memberikan kesan yang berganda buat saya,” ulas Suzan.

Sehingga semalam, Suzan tidak menyangka yang dia telah bergelar isteri kepada seorang ‘rockers’.

“Saya hanya menepuk-nepuk muka tidak percaya kerana waktu ini kami di rumah keluarga dan kekok dengan kehidupan baru ini.

“Apabila bersama keluarga, saya masih berada di luar dan berbual dengan keluarga seperti biasa sehingga terlupa yang saya sudah mempunyai suami,” ujar Suzan sambil tertawa kecil.

Sementara itu, Tia yang turut mengalami perasaan yang sama dengan Suzan sempat berkongsi tentang pengalamannya bergelar suami Suzan dan berada di rumah mertuanya.

“Walaupun Suzan sudah sah bergelar isteri saya, tetapi saya masih segan dengannya.

“Kebetulan, katil bilik kami patah semasa sesi bergambar dengan saudara mara. Jadi, kami terpaksa tidur di luar,” cerita Tia.

Tia menambah, “Selama 39 tahun saya hidup seorang dan selepas berkahwin ia memberikan kehidupan yang baru.

“Sekarang, saya perlu memulakan kehidupan dari ‘zero’ setelah bergelar seorang suami.

“Jadi, saya akan mencuba sedaya-upaya untuk menjadi seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab kepada tiga orang anak Suzan.

“Alhamdulillah, saya rasa sedikit demi sedikit sifat kebapaan sudah berada dalam diri dan tiada masalah untuk bersama mereka.

“Mereka begitu manja dan terima saya seadanya serta tidak kekok memanggil saya ‘ayah’.”

Bercerita mengenai perancangannya sebagai ketua keluarga, Tia telah mencari sebuah rumah di Bandar Puteri, Klang buat sementara waktu dan mungkin akan mencari rumah yang sesuai di Bangsar bagi memudahkan Suzan berulang-alik ke tempat kerjanya.

Walaupun dia tidak menghalang isterinya melakukan pelbagai komitmen dan kerjanya sebagai wartawan, Tia tetap menganggap Suzan sebagai pengurus dan pembantu peribadinya apabila dia pergi ke mana-mana.

Menyentuh tentang bulan madu, Tia berkata mereka belum merancang tentang tarikh dan lokasi percutian itu namun mungkin mereka akan memilih negeri Kelantan kerana ia merupakan kampung kediaman ibu mertuanya.

Mengimbas semula tentang kisah pertemuan mereka, Tia berkata dia mula terpikat dengan Suzan sejak mula menyertai Jinbara pada dua hingga tiga tahun lalu.

“Waktu itu, saya berjumpa dengannya dalam majlis Anugerah Bintang Popular. Sejak itu, saya mula menyimpan perasaan.

“Saya tertarik dengan mukanya yang nampak bercahaya. Ekoran insiden saya tidak hadir ke sesi fotografi yang diatur olehnya membuatkan hubungan kami menjadi rapat apabila saya meminta maaf kepadanya selepas membuat satu persembahan di Angkasapuri.

“Alhamdulillah, sekarang pun Tuhan telah permudahkan saya untuk memilikinya sehingga saya tidak rasa gementar ataupun susah untuk mengahwininya.

“Sebulan sebelum kami bernikah, saya telah menghantar rombongan merisik,” beritahunya yang menghadiahkan dua bentuk cincin iaitu cincin tunang dan cincin nikah kepada Suzan.

Katanya, ikutkan mereka memang tidak bertunang tetapi disebabkan dia telah membeli dua bentuk cincin, jadi dia menghadiahkan kedua-dua cincin itu kepada isterinya selepas diijabkabulkan pada 11.40 pagi, Ahad lalu.

Majlis pernikahan berlangsung di rumah keluarga perempuan di Batu 3 Pasir Puteh, Kampung Bachang, Melaka.

Dengan sekali lafaz, Tia sah bergelar suami Suzan selepas dinikahkan oleh Imam II Masjid Bachang, Rahman Ibrahim dengan berwalikan bapa Suzan, Ahmad Samad, 62, sambil disaksikan oleh keluarga terdekat.

Suzan menerima wang hantaran sebanyak RM10,000 dengan mas kahwin RM40.

Pihak lelaki memberikan sembilan dulang berupa kasut, beg tangan, wangian, telekung dan sejadah, sepasang persalinan, manisan termasuk dua bentuk cincin.

Sementara itu, pengantin perempuan menghadiahkan kasut, beg silang, sejadah, telefon bimbit Nokia Xpress Music, manisan dan wangian.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan