Konsert eksklusif 'SATU' Siti Nurhaliza di IB!

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Konsert Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza akan diadakan di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun depan
Konsert Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza akan diadakan di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun depan

KERAP kali diperhatikan, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza akan mengusap-usap cincin yang disarungkan di jari hantu tangan kanannya semasa ditemubual.

Menurut Siti, cincin itu merupakan pemberian istimewa daripada arwah bapanya, Tarudin Ismail yang sentiasa dipakainya apabila ke mana-mana.

Bagi Siti, cincin itu begitu bermakna dan menjadikannya sebagai hadiah kenangan pemberian arwah bapanya.

Dan memandangkan Hari Bapa juga bakal berlangsung pada bulan depan, Siti berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert amal anjuran badan kebajikan Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan olehnya dan suami pada tahun 2006 serta diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd.

Idea untuk mengadakan Konsert Eksklusif ‘SATU’ ini telah lama dibualkan sejak beberapa tahun lalu namun baru sekarang ia terlaksana.

Kata Siti, konsert ini merupakan persembahan eksklusif solo pertamanya di Istana Budaya (IB).

“Sebelum ini, saya banyak melakukan persembahan tribute di IB tetapi kali ini saya akan sampaikan lagu-lagu dari album sendiri.

“Konsert ini akan diadakan tidak lama lagi iaitu pada 26 hingga 28 Jun depan. Jadi, tinggal kurang daripada sebulan untuk saya berlatih dan memikirkan isi kandungan dalam konsert ini.

“Biasanya, saya lebih selesa untuk membuat persediaan konsert dalam masa dua bulan tetapi tidak bermakna persembahan ini hanya ‘tangkap muat’ kerana saya tetap pentingkan kualiti.

“Saya nak jadikan konsert ini sebagai persembahan bermakna untuk tahun ini sebab saya sudah lama tidak membuat konsert dan ia merupakan impian saya yang nak cuba realisasikan,” ujar Siti semasa sidang media konsert itu di IB semalam.

Menurut Siti, konsert yang ditaja oleh Maxis, Tan Sri Abdullah Ali dan Jakel (kain dan persalinan) itu masih menunggu mana-mana pihak atau badan korporat yang berminat untuk mengisi dana dalam Yayasan Nurjiwa.

Konsert ‘SATU’ terilham daripada saranan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang memberi inspirasi ‘SATU MALAYSIA’.

Konsert ‘SATU’ juga menyatukan semua elemen yang dipersembahkan di pentas menjadi satu iaitu muzik, efek, tarian, visual, grafik, koreografi dan teknikal.

“Saya memilih konsep ‘SATU’ kerana semua yang akan terjadi adalah satu di mana bukan membawa diri saya seorang sahaja selama dua jam tetapi turut dimuatkan dengan koreografi, pencahayaan, grafik dan lain-lain.

“Selain itu, emosi saya juga bersatu seperti suasana gembira, berduka dan segala-galanya dalam persembahan ini.

“Saya juga menyahut seruan ‘Satu Suara’ tetapi ia tidak ditonjolkan secara terus-menerus sebaliknya secara simbolik dalam konsert ini,” ulas Siti.

Menurut Siti, konsert beranggaran lebih setengah juta itu akan menghidangkan lebih kurang 30 buah lagu yang akan disusun semula muziknya oleh Aubrey Suwito selaku pengarah muzik manakala koreografer Pat Ibrahim bertindak sebagai pengarah konsert.

Jelas Siti, dia memilih Pat sebagai pengarah konsert atas dasar percaya dan berminat melihat cara Pat mengendalikan koreografi dalam teater Muzikal Puteri Gunung Ledang kerana konsert ini juga memerlukan lebih kepada gerak tari yang bergerak sama dengan nyanyian.

“Dalam konsert ini, kita akan memuatkan ‘live string’ dan bukan semua lagu dipersembahkan dalam bentuk orkestra kerana ia perlu mengikut kesesuaian lagu juga.

“Setakat ini, saya dijangka akan menyanyikan lagu-lagu daripada album Transkripsi sehingga album Lentera Timur. Lagu-lagu ini akan dinyanyikan secara penuh dan juga medley.

“Kelainan yang cuba ditonjolkan dalam konsert ini adalah dari segi nyanyian dan sedikit lakonan yang memerlukan emosi serta tarian untuk segmen tertentu mengikut rentak dan jalan cerita lagu itu nanti.

“Seperti yang dibincangkan, konsert ini akan memaparkan permulaan saya sejak bersekolah kemudian menceburi bidang nyanyian. Selepas itu, saya menempa kejayaan dan menerima pelbagai cabaran dan gosip.

“Bermula daripada situ, timbul mood kemarahan dan cabaran yang menjadi pendirian saya.

“Seterusnya, saya memasuki alam baru yang semakin dewasa dan bercinta dengan memasukkan lagu yang menyentuh perasaan sehinggalah ke satu tahap saya berada sekarang,” cerita Siti mengenai sedikit gambaran konsert itu.

Dalam pada itu, Pat berkata sudah lama dia menantikan peluang ini untuk merealisasikan konsert bercorak ‘theatrical’ itu.

“Saya memilih konsep ‘theatrical’ kerana sesuai dengan tempat ini dan sia-sia tidak menggunakan draf pentas di sini.

“Ia juga mampu membangkitkan rasa untuk lagu itu dan membuat kelainan bukan kepada penceritaan tetapi luahan rasa Siti yang ingin dihargai oleh penonton.

“Kita akan menggunakan dalam 25 orang penari. Kita akan ‘evoke’ perasaan tetapi tidak ‘explain’ pendirian dan kemarahan Siti itu,” ujar Pat.

Saksikan Konsert Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun depan.

Tiket-tiket sudah dijual bermula semalam, 19 Mei pada harga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM300 yang boleh didapati di Istana Budaya, Triways Travel & Tours (KLCC dan Taman Tun Dr. Ismail), Malaysia Travel Bureau, MTB (MATIC), Sri Amera Holiday Sdn. Bhd. di tingkat 1, Plaza Alam Sentral Shah Alam dan di Pasar Awam Presint 16, Putrajaya dan TicketCharge, 29-5, Signature Office Suite, The Boulevard, Mid Valley.

Tiket juga boleh didapati dengan menghubungi 03-41498600 (Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 6 petang).

Kepada sesiapa yang hendak atau sudi menderma untuk amal jariah dan kebajikan, bolehlah salurkan ke akaun Maybank Yayasan Nurjiwa: 514486106455 atau fakskan resit ke 03-22877339.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan