3 Budak Melayu buat filem tanpa duit

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

"MACAM mana nak buat filem kalau tak ada duit?" Anda boleh memperolehi jawapannya dengan menonton filem `3 Budak Melayu'. Ia berkisar kepada tiga pelajar tahun akhir jurusan filem, iaitu Epol, Nana dan Zurin.

Mereka bukannya berasal daripada keluarga senang dan untuk menjalankan projek akhir kursus itu, mereka melakukan pelbagai pekerjaan bagi mendapatkan duit untuk membeli peralatan.

Antaranya, Epol menjual motosikalnya, berpura-pura buta untuk meminta sedekah, menyanyi di khayalak ramai, meminjam daripada along dan banyak lagi.

Mereka berjimat-cermat dan berusaha mengumpulkan wang untuk membiayai projek filem mereka. Pelbagai cara dilakukan untuk berdepan dengan pelbagai masalah yang timbul.

Mampukah mereka menghasilkan filem itu sekali gus menyiapkan projek akhir kursus mereka?

Filem tersebut bagaimanapun masih sedang diusahakan ditayangkan di pawagam serta disiarkan oleh stesen televisyen tempatan.

Ini kerana filem itu hakikatnya adalah hasil kerja 40 pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FACT), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi memenuhi keperluan kursus Honour Showcase - PPA 553.

Ia diseliakan Dekan FACT, Profesor Dr. Hatta Azad Khan yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Wayang.

Filem terbitan UiTM ini diarahkan pelajar FACT, Mohd. Faizal Lockman Hakim serta dijayakan Aizam Othman sebagai Epol, Noor Fariza Hishamuddin (Nana) dan Syahiera Abu Hassan (Zurin).

Ia turut membariskan pelakon undangan Zaidi Omar (Wak Karman) dan Liza Othman (Mak Milah) manakala Radhi Khalid membuat penampilan khas sebagai Rocker dalam filem lebih sejam tersebut.

Menyoroti proses pembikinan filem tersebut, Mohd. Faizal berkata, pihaknya bukan sahaja memikirkan "camne nak buat filem kalau takde duit?" bahkan menyiapkan dalam tempoh masa yang sangat terhad.

"Bajet kami adalah sangat minimum iaitu kurang RM15,000. Sesi pra-penggambaran mengambil masa kurang daripada tiga minggu.

"Shooting (sesi penggambaran) memerlukan 12 hari dan post-production (pasca-produksi) (penyuntingan filem), 2 minggu," katanya.

Selain itu, Faizal memberitahu, sesi penggambaran hanya dapat dijalankan pada hari Jumaat dan hujung minggu memandangkan rata-ratanya tenaga produksi seramai 40 pelajar itu perlu mengikuti kuliah.

Katanya, mereka juga perlu menyiapkan tesis serta dokumentari dan tugasan lain di samping berkongsi peralatan penfileman di universiti.

"Mujurlah, pelakon senior seperti Zaidi, Liza dan Radhi datang membantu. Kami juga dibantu tenaga pengajar yang bagus dalam industri perfileman," katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif & Artistik (K) Seni Layar.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis tayangan filem dan sidang media filem 3 Budak Melayu di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang, semalam.

Dalam pada itu, penerbit filem, Bebbra Mailin berkata, kutipan awal RM4,000 dengan RM100 daripada setiap 40 pelajar habis digunakan pada minggu kedua sehingga pihaknya mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak universiti.

Sementara itu, Dr. Hatta berkata, dia memberikan skrip mentah kepada pelajarnya untuk mengintepretasi dan mengembangkan jalan cerita filem tersebut mengikut gaya dan citarasa mereka.

Menurutnya, dia hanya memberikan komen kerana telah diamanahkan oleh sesetengah ibu bapa mereka agar pensyarah universiti melatih anak-anak mereka berdikari.

"40 pelajar tersebut diberi pendedahan membuat filem dengan banyak tekanan, bajet, masa dan tenaga kerja yang terhad. Tujuannya adalah membentuk mereka agar boleh diguna pakai dalam industri kelak," katanya.

Dr. Hatta turut menyeru penggiat dan pengusaha produksi filem agar memanfaatkan bakat-bakat baru itu kerana mereka tidak mengenakan bayaran lakonan yang mahal seperti pelakon terkenal lain.

APA KATA MEREKA?

>>> EPOL

"Tidak tahu apa-apa. Bila datang skrip... wah, pedas skripnya. Selepas beberapa hari shooting (penggambaran), banyak masalah berbangkit.

"Bagaimanapun, produksi membuatnya seolah-olah tidak ada masalah, jadi saya rasa seronok," kata Aizam Othman (Aizam), 24, berasal dari Melaka dan pernah terlibat dalam teater, Alang Rentak Seribu.

>>> ZURIN

"Tertarik dengan skrip. Berkobar-kobar untuk terlibat dalam sesi penggambaran. Pengalaman yang sangat bernilai," kata Syahiera Abu Hassan (Yaya), 23, berasal dari Kuala Lumpur.

Yaya pernah terlibat dalam teater, RAM; iklan komersial Rexona dan filem-filem seperti Cewek dari Jakarta, Kemboja Cinta, Menanti Cahaya.

>>> NANA

"Terima kasih kepada pengarah (dan kru lain) yang tidak sangsi terhadap keupayaan saya... Pengarah bagi kebebasan. Kalau tidak suka, boleh beri maklum balas agar masalah tidak meruwet nanti.

"Penggambaran pertama dari Kuala Selangor ke Shah Alam agak meletihkan," kata Noor Fariza Hishamuddin (Ajune), 23, berasal dari Selangor dan pernah menyertai teater RAM.

>>> WAK KARMAN

"Cubaan yang berani. Filem sebelum ini tidak pernah yang kurang bajet... biasanya terlebih bajet," kata pelakon profesional, drama televisyen, filem dan teater, Zaidi Omar.

>>> MAK MILAH

"Jalan cerita ini menarik. Pendekatannya cukup berbeza iaitu 'very young (sangat muda)'. Macam orang muda bercerita sahaja dengan saya," kata pelakon profesional, drama televisyen dan teater, Liza Othman.

>>> ROCKER

"Mereka mempamerkan semangat, cita-cita dan kerja yang kuat. Mereka adalah `Zaidi Omar, Liza Othman dan Radhi Khalid' pada masa depan.

"Mereka bekerja dengan teratur. Mereka dah bersedia di set penggambaran ketika saya tiba. Mereka adalah permata yang sedang digilap dan memang berpotensi besar.

"Misalnya, pengarah filem bersemangat meluap-luap. Dia sangat fokus dan negara ini tidak akan kekurangan pembuat filem pada masa depan," kata pelakon profesional, komedi, pengacara drama televisyen, teater, filem, Radhi Khalid.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan