Diana-Zamarul sah bergelar suami isteri

Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DENGAN SEKALI LAFAZ..Zamarul dan Diana sah menjadi pasangan suami isteri.Foto THE STAR Oleh: NORAFIFI EHSAN
DENGAN SEKALI LAFAZ..Zamarul dan Diana sah menjadi pasangan suami isteri.Foto THE STAR Oleh: NORAFIFI EHSAN

SHAH ALAM: Hanya dengan sekali lafaz, aktor Zamarul Hisham, 38, akhirnya sah bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi, Diana Rafar, 27, pada majlis pernikahan mereka di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pagi tadi.

Pasangan ini telah dinikahkan sekitar pukul 10.30 pagi oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Negeri, Khairuddin Haiyon yang mewakili wali pihak perempuan iaitu abang Diana, Airul Azmi Rafar.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Diana yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Shahril Nordin menerima mas kahwin RM165, wang hantaran sebanyak RM16,500 serta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihaknya.

Momen bersejarah pasangan mempelai itu disaksikan oleh kira-kira 100 orang tetamu termasuklah ibu Diana, Zainon Abd Rahman, ibubapa Zamarul iaitu Mohammad Mohd Zain dan Zaleha Abd Rahman serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang lain dan kenalan rapat mereka.

Anak sulung Zamarul, Izzat Haiqal, 10, yang merupakan hasil perkongsian hidup pelakon itu menerusi perkahwinan terdahulu, juga hadir pada majlis tersebut.

Ditemui selepas majlis berakhir, Zamarul yang kelihatan sebak sebaik akad nikah itu melahirkan rasa bersyukur setelah hubungan cinta mereka yang terjalin selama lapan tahun itu berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.

"Saya bersyukur, lega dan amat gembira kerana akhirnya kami disatukan juga setelah lapan tahun mempertahankan benteng hubungan ini.

"Memang ini adalah tarikh yang istimewa buat saya. Malah, angka 165 itu ada makna tersirat kerana ia membawa maksud satu ihsan, enam rukun Iman dan lima rukun Islam. Angka itu yang memberi kekuatan kepada kami. Dan sebab itu, kami memilih tarikh 16 Mei serta mas kahwin RM165 dan wang hantaran, RM16,500," kata Zamarul.

Menurut pelakon ini, dia merasakan sudah sampai masanya untuk melamar kekasih hatinya itu, lebih-lebih lagi setelah mereka menghadiri sebuah kursus pada awal tahun ini.

"Kursus motivasi itu sebenarnya telah mengeratkan lagi hubungan kami dan dari situlah saya yakin memang dialah (Diana) orangnya yang ingin saya jadikan sebagai isteri.

"Kepada Mama (Diana), Papa ingin ucapkan terima kasih kerana memahami diri Papa selama ini. Kita berjaya bertahan juga walaupun ada yang cuba robohkan hubungan kita,," tutur Zamarul.

Ditanya tentang penerimaan dua orang anaknya dengan bekas isteri, iaitu Izzat dan Iqmal Haiqal, 7, tentang perkahwinan ini, kata Zamarul, mereka tidak mempunyai sebarang masalah. Malah, akui pelakon itu, anak sulungnya, Izzat juga amat rapat dengan Diana.

"Izzat ni ibarat 'kawan baik' Diana. Memang dia sangat mahukan kami berkahwin. Malah, dia asyik bertanya bila dia akan dapat adik baru," katanya yang menambah, dia dan Diana memilih cara berbulan madu dengan mengerjakan umrah tidak lama lagi.

Sementara itu, Diana juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar isteri kepada Zamarul.

"Selama lapan tahun ini, dia seorang yang amat mengambil berat tentang saya. Apa yang saya harapkan, semua yang diberikannya selama tempoh itu tidak akan berubah selepas ini," tutur Diana sambil mengukir senyuman manis.

Mengulas tentang status ibu 'segera' yang dipegangnya kini, kata Diana, dia tidak kisah tentang hal itu apatah lagi hubungannya dengan Izzat yang dipanggil 'Aboy' itu cukup rapat.

"Sejak tahun pertama saya mengenali Zamarul, dia sudah kenalkan saya dengan Aboy yang memang berada di bawah jagaan ibu Zamarul sendiri. Keluarga saya juga menyenangi Aboy kerana wajahnya yang ada iras anak-anak buah saya yang lain.

"Malah, kalau antara saya dan Zamarul ada tercetus pergaduhan, Aboylah yang akan cuba merapatkan kami semula dengan pelbagai cara," kata Diana yang setakat ini belum pernah bertemu dengan anak kedua Zamarul yang berada di bawah jagaan bekas isterinya.

Pasangan ini akan mengadakan majlis persandingan berkonsepkan 'garden wedding' pada malam ini di Bougainvilla Garden, Shah Alam manakala majlis resepsi di pihak pengantin lelaki pula akan diadakan pada 23 Mei di rumah keluarga Zamarul di Bangi.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan