Jamal-bekas isteri buat hubungan seks selepas dua hari lafaz cerai

Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jamal ketika di hadir di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pagi tadi. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Jamal ketika di hadir di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pagi tadi. -foto mStar oleh SITI AZIRA

SHAH ALAM: Bekas isteri penyanyi Jamal Abdillah, Fatimatuzahra Samat, 25, mengesahkan dia telah mengadakan hubungan kelamin dengan bekas suaminya itu selepas dua hari dia diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Ketika peguam syarie Hairunnajmi Najmuddin bertanya kepada anak guamnya itu sama ada dia ada membuat hubungan kelamin selepas lafaz cerai dilakukan, Fatimatuzahra mengakuinya dengan menjawab, “Ada, dua hari selepas itu”.

Menurut Fatimatuzahra, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidullah Ali, 47, telah melafazkan cerainya pada 15 Mei 2007 kira-kira pukul 8 malam di dalam kereta tanpa disaksikan oleh orang lain.

Ketika ditanya bagaimana lafaz yang dikeluarkan oleh Jamal, Fatimatuzahra dengan suara yang sebak menjawab, “Aku ceraikan kau dengan talak satu”.

Ditanya lagi, adakah sebutan itu jelas didengarinya, dia berkata, “Jelas”.

Tanya Hairunnajmi selepas itu, adakah Jamal berada dalam keadaan sedar ketika dia melafazkan cerai itu, Fatimatuzahra dalam keadaan teragak-agak menjawab, “saya tidak pasti sebab keadaan dia tidak seperti orang normal.”

Bagaimanapun, Jamal cuba mengusulkan bantahan tetapi prosiding tetap diteruskan dengan soalan yang bertubi-tubi ditanya kepada Fatimatuzahra.

Dalam pada itu, Jamal pula memberikan jawapan yang bercanggah dengan Fatimatuzahra ketika disoal beberapa soalan yang sama kepadanya.

Jamal berkata lafaz cerai dibuat pada pukul 10 pagi dan akui dia berada dalam keadaan sedar ketika itu.

“Saya dalam keadaan sedar dan tiada yang paksa saya lafaz. Saya faham apa yang dilafazkan,” kata Jamal.

Ditanya oleh Hairunnajmi sama ada dia dan Fatimatuzahra pernah merujuk semula, Jamal berkata ‘tidak pernah’.

Selepas itu, dia diusul dengan pertanyaan sama ada pernah membuat hubungan kelamin selepas melafaz cerai, Jamal menjawab dengan panjang lebar.

“Saya ada usahakan untuk membuat hubungan yang lebih baik dan fikirkan untuk anak-anak tetapi apa yang diusahakan itu tidak berjaya.

“Jadi, saya buat hubungan itu (hubungan kelamin) untuk tujuan itu (satukan hubungan demi anak-anak).

“Memang itu tujuan dan niat sebenar saya....tetapi saya tidak cakap hendak balik semula. Tujuan untuk kembali bersama dan bagi peluang juga. Apa yang saya harapkan untuk keluarga ini berjalan dengan lancar...,” tutur Jamal.

Fatimatuzahra dan Jamal bernikah pada 3 Januari 2006 di pejabat Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand.

Hasil perkongsian hidup selama lebih setahun, mereka dikurniakan seorang cahayamata iaitu Ahmad Zaki Yamani, 2.

Hakim Syarie Drs Atras Mohamed Zin menangguhkan kes ini ke tarikh 23 Jun depan untuk untuk pengesahan kes cerai.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan