Mentor: Mas Idayu bawa rotan ke pentas

Diterbitkan: Selasa, 5 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mas Idayu bersama protegenya, Black ketika ditemubual oleh Ally
Mas Idayu bersama protegenya, Black ketika ditemubual oleh Ally

SETELAH melalui kesukaran sewaktu proses pemilihan protege masing-masing, enam mentor bagi musim ketiga ini; Awie, Adibah Nor, Jaclyn Victor, Mas Idayu, Ajai dan Lah Ahmad buat pertama kalinya mempamerkan protege mereka di khalayak pada konsert pengenalan Mentor, Ahad lalu.

Enam protege yang bertuah itu ialah kumpulan Evo yang merupakan protege kepada Jac, Tahiruddin Sain (Adibah Nor), Hanifah Md Hanafiah (Mas Idayu), Camellus De'lelli Anam (Ajai), Suriana Abdul Wahab (Awie) dan Hunanis Zafira Huzaini (Lah).

Konsert pengenalan itu mempamerkan kehebatan persembahan setiap protege beraksi di pentas sebelum memulakan pertandingan pada minggu depan.

Apa yang pasti, meskipun setiap mentor mengetengahkan genre muzik tertentu, namun ternyata setiap protege diberi kebebasan dari segi muzik, asalkan memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang ditetapkan oleh mentor masing-masing.

Selain disajikan dengan persembahan semua protege, Mentor kali ini juga cukup menghiburkan dengan 'keletah' mentor-mentor yang dilihat 'bersaing' sesama sendiri untuk membuktikan protege masing-masing lebih hebat!

Konsert pengenalan yang berlangsung selama sejam setengah di Auditorium MBSA, Shah Alam itu dimulakan dengan protege Jac, kumpulan Evo yang dianggotai oleh Khairul Najmuddin Abu Samah (Hyrul) dan Halhusani Razmi (Sani) yang menyampaikan lagu Hanya Kau Yang Mampu dendangan Aizat.

Menariknya tentang kumpulan ini, mereka sebenarnya digandingkan atas kehendak Jac sendiri meskipun kedua-duanya sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain.

Namun begitu, Hyrul pada awalnya dikatakan tidak begitu selesa dengan gabungan itu kerana merasakan tiada keserasian antaranya dan Sani sehinggakan Jac terpaksa mengambil keputusan dengan hanya memilih Sani.

"Sewaktu sesi ujibakat yang pertama, memang mereka dipilih secara individual. Tetapi ketika sesi ujibakat kedua, saya melihat Hyrul dan Sani sebenarnya akan jadi lebih mantap jika digandingkan.

"Walaupun pada mulanya saya terpaksa memilih Sani memandangkan Hyrul rasa tidak serasi, tetapi akhirnya Hyrul bersetuju juga untuk bersama-sama dengan Sani di dalam Evo," kata Jac yang turut berpuas hati dengan persembahan sulung mereka itu.

Jika Jac mempertaruhkan duo, bekas anggota VE, Lah Ahmad pula memilih peserta berusia 18 tahun, Hunanis Zafira Huzaini atau Fira. Jika diikut kepada kriteria asal, Lah sebenarnya lebih berminat untuk mempunyai protege lelaki.

Namun, tuturnya, setelah melihat tahap persembahan peserta pada sesi ujibakat, Lah nampaknya mengambil keputusan untuk memilih protege wanita.

"Apa yang saya lihat, Fira berjaya 'menambat' hati saya. Memang dia yang paling menyerlah sewaktu ujibakat," kata Lah.

Fira pada konsert tersebut telah menyampaikan lagu Killing Me Softly di dalam versi bahasa Melayu dan berjaya mempamerkan mutu vokal yang cukup baik.

Bagi Awie pula, protege pilihannya yang diharap mampu menjadi pelapis kepada Ratu Rock Negara, Ella, nampaknya mempunyai 'aura' tersendiri. Belum pun Suriana Abdul Wahab atau Keena memulakan persembahan, keriuhan di dewan sudah cukup membayangkan peserta berusia 22 tahun ini mampu menjadi antara peserta 'favourite' Mentor musim ini.

Membawakan lagu Permata Biru, Keena dilihat berjaya lari daripada 'bayangan' Ella dan menonjolkan gaya tersendiri.

Menurut Awie, pemilihan Keena sememangnya memenuhi kriteria protege idamannya yang mana peserta itu dilihat mampu membawakan genre rock dengan baik.

"Saya memang ingin mencari protege wanita untuk menjadi pelapis rocker wanita di Malaysia. Bakat yang dia ada memang sudah mula nampak, tetapi saya sedar Keena masih banyak yang perlu digilapkan," tutur Awie yang telah mencetuskan sedikit 'isu' gara-gara menghalau peserta-peserta lelaki yang hadir pada sesi ujibakatnya bulan lalu kerana kriteria yang dicarinya adalah wanita.

Penyanyi dangdut, Mas Idayu yang tampil bersama protegenya Hanifah Md Hanafiah atau Black selepas itu telah menggamatkan suasana apabila penyanyi tersebut turut membawa rotan di pentas.

"Saya nak mengajar cara kampung. Kalau tak rotan, dia akan jadi manja," tutur Mas.

Namun begitu, berdasarkan persembahan Black yang menyampaikan Lagu Untukmu, Mas akui berpuas hati dengan prestasi awalnya.

"Secara peribadi, saya berbangga dengan dia dan saya akan terus berusaha mendidiknya," katanya.

Konsert Mentor itu diteruskan dengan persembahan Tahiruddin Sain atau Thye yang merupakan protege kepada Adibah Nor dengan lagu Lelaki Ini. Thye pada awalnya adalah salah seorang daripada dua calon akhir untuk menjadi protege Mas Idayu, namun nasib tidak menyebelahinya apabila Black yang dipilih sebagai penyanyi itu.

Apapun kesungguhan Thye yang meneruskan perjuangan di sesi ujibakat bersama Adibah akhirnya telah meyakinkan penyanyi itu untuk mengambil Thye sebagai anak didiknya.

"Dia konsisten dan menunjukkan semangat yang membara ketika ujibakat. Dia ada potensi untuk berjaya dalam bidang ini," kata Adibah.

Dalam pada itu, penyanyi dan komposer Ajai yang ingin mencari 'Justin Timberlake Malaysia' telah memilih abang kepada penyanyi Stacy, Camellus De'lelli Anam atau Chaq sebagai protegenya.

Kebolehan Chaq yang boleh menyanyi dan menari pada masa yang sama merupakan keistimewaan peserta ini yang juga pernah menyertai program Gangstarz musim pertama.

"Saya ingin cari kelainan...menyanyi sambil menari. Dan saya rasa memang dia adalah orang yang tepat," kata Ajai.

Pertandingan akan bermula pada minggu depan yang akan menyaksikan tiga orang protege dari kumpulan A iaitu Evo, Chaq dan Fira membuat persembahan. Setiap protege akan diberi peluang untuk membuat persembahan sebanyak tiga kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang akan diadakan secara berselang-seli antara kumpulan A dan B.

Markah dari ketiga-tiga persembahan itu akan digabungkan bagi menentukan dua peserta yang mendapat markah tertinggi dari setiap kumpulan untuk ke semi-final. Protege yang mendapat markah terendah akan disingkirkan.

Pada peringkat semi-final, dua protege dari kumpulan A dan B itu akan digabungkan semula untuk berentap dan seorang protege akan disingkirkan setiap minggu bagi mencari dua peserta akhir.

Dari segi format pemarkahan, markah akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus dari juri profesional, 30 peratus melalui undian SMS dan 20 peratus lagi menerusi juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan dan golongan semi profesional dalam bidang muzik.

Mentor musim terbaru ini menampilkan pengacara terkenal Ally Iskandar sebagai hos. Selain itu, wartawan sensasi Nas Ahmad juga turut sama dalam program ini bagi mencungkil kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan