Malaysia bakal ada saluran TV sukan

Diterbitkan: Isnin, 4 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEBUAH saluran televisyen khusus untuk liputan dan berita sukan tanah air serta menampilkan kisah tokoh atlet negara dijangka akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar berkata MOM dan stesen berbayar Astro, sedang memuktamadkan butiran mengenai pengwujudan saluran TV itu yang akan meliputi aksi atlet tempatan pada kejohanan tempatan, serantau dan antarabangsa.

Tunku Imran berkata saluran TV sukan itu merupakan 'pelengkap' kepada usaha negara membangunkan sukan di persada antarabangsa.

"Kesemua rancangan sukan di TV kita memberi tumpuan kepada acara antarabangsa dan kami terdesak untuk memberi tumpuan kepada acara sukan domestik dan itu yang kami bincangkan dengan Astro," katanya dalam satu temubual dengan Bernama.

Beliau memberi contoh mengenai sukan skuasy yang popular di Malaysia. "Kenapa kini sukan skuasy amat popular? Kerana semua mengaitkan dengan Nicol David,", katanya mengenai pemain nombor satu dunia itu.

"Budak perempuan kini mahu menceburi sukan skuasy kerana ingin mengikuti jejak langkah Nicol David...jadi saya berpendapat model contoh adalah penting dan televisyen adalah saluran paling penting untuk itu," katanya.

Tunku Imran berkata beliau mulamula membangkitkan pengwujudan saluran sukan menerusi RTM kepada Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika itu beliau menjadi Menteri Penerangan.

Tetapi rancangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana kemudahan infrastruktur untuk sistem pendigitalan RTM belum siap tetapi ia mudah dilakukan melalui televisyen satelit seperti Astro.

Ahmad Shabery kini menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Tunku Imran berkata dengan impian mewujudkan saluran televisyen sukan tempatan bukan semestinya hanya meliputi Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia tetapi kejohanan skuasy lain di mana pemain negara mengambil bahagian.

Ini turut meliputi acara sukan seperti badminton, hoki, sepak takraw dan acara sukan lain. Tunku Imran juga berkata ramai orang tidak sedar bahawa Malaysia sebenarnya sebuah negara yang berjaya dalam bidang sukan walaupun masih memburu pingat emas pertama dalam temasya Sukan Olimpik.

Bagi membukti perkara itu, Tunku Imran berkata beliau melawat beberapa negara untuk menemui rakan sejawatnya dari negara lain dan barubaru ini berada di Bangladesh, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai 126 juta orang.

"Bangladesh mempunyai lebih 120 juta penduduk dan saya bertanyakan berapa ramai atlet mereka beraksi pada Sukan Olimpik dan mereka kata hanya bilangan kecil sahaja dan kesemua mereka sebenarnya mendapat tiket 'wildcard'.

"Mereka tidak mempunyai atlet yang layak ke Olimpik mengikut standard minima. Malaysia dengan jumlah penduduk 26 juta, kita mempunyai 26 atlet individu yang layak dalam 11 acara sukan," katanya. Tunku Imran berkata banyak negara lain yang lebih besar daripada Malaysia tidak dapat melahirkan atlet yang mampu layak ke Sukan Olimpik termasuk India yang sukar memperoleh atlet yang layak.

"Kita perlu menyokong atlet Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik bagi memastikan mereka menerima saingan yang secukupnya dalam kejohanan tempatan.

"Kemudian kita kena pastikan atlet yang bagus mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa dengan mendapat bimbingan kejurulatih terbaik dan satu hari nanti pasti kita dapat menang pingat emas Sukan Olimpik," katanya.

"Bagi saya, kelayakan ke Sukan Olimpik merupakan satu pencapaian cemerlang...kejayaan yang lebih bermakna berbanding impian pingat," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan