Norish enggan bertikam lidah dengan bekas suami

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perlukah diheret anak yang tidak berdosa ke medan 'perang' rumahtangga?
Perlukah diheret anak yang tidak berdosa ke medan 'perang' rumahtangga?

KENYATAAN demi kenyataan balas dikeluarkan oleh aktres Norish Karman dan bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir ibarat ‘cuba menegakkan benang yang basah’.

Semalam, Hashimuddin mengeluarkan responsnya terhadap kenyataan Norish atau NK selepas dia menafikan teman istimewanya, Mohd Luqman Mohd Amin dikatakan punca penceraiannya dengan bekas suaminya itu.

Ditanya tentang reaksi balasnya terhadap kenyataan Hashimuddin, NK berkata dia enggan bertikam lidah dengan bekas suaminya itu.

“Cukuplah sekali saya jelaskan tentang cerita itu. Saya tak nak bertikam lidah dan berperang dengan bekas suami lagi.

“Saya sudah tidak mempunyai apa-apa komen lagi. Saya ingin mendiamkan diri selepas ini selepas membuat pembetulan tentang beberapa fakta.

“Nanti kalau makin banyak saya bercakap, makin banyak hal yang meleret-leret kerana sekarang ini saya cuba untuk selesaikan kes berkaitan anak-anak saya dan sebolehnya saya tidak mahu melibatkan orang lain.

“Orang yang baik tak kan mengaku dia baik, begitu juga sebaliknya. Orang yang benar akan kurang bercakap dan orang yang salah selalunya banyak bercakap untuk menutup kesalahan sendiri.

“Kita perlu ingat, Allah Maha Besar,” kata NK ketika dihubungi semalam.

Jika begitu, tidakkah NK takut orang akan mengiyakan kenyataan yang diberikan oleh Hashimuddin?

“Lantaklah apa orang nak kata kerana saya hanya nak jelaskan kes yang belum selesai di mahkamah.

“Sama ada betul atau tidak, saya tak hairan. Tiada apa yang menjejaskan pemikiran saya walaupun kenyataan dia boleh menjatuhkan maruah saya.

“Itukah yang patut bekas suami buat kepada bekas isteri?,” jawab NK yang menjawab pertanyaan itu dengan persoalan.

Pada 27 April lalu, NK menuntut Hashimuddin membayar nafkah anak sebanyak RM1,500 setiap seorang bagi tiga anak hasil perkongsian hidup mereka.

Permohonan perintah nafkah sementara itu dikemukakan NK selaku plaintif mengikut peruntukan Seksyen 71 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

NK yang bercerai secara sah pada 15 Julai 2008 turut mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya Hashimuddin (responden) menjelaskan bayaran bulanan sewa rumah RM5,000 dan RM900 bagi bayaran gaji pembantu rumah yang menjaga anak-anak mereka.

Selain itu, NK memohon perintah mahkamah supaya responden mengembalikan dengan kadar segera sebuah kenderaan Nissan Murano yang sebelum ini digunakan pelakon itu untuk membawa anak-anaknya.

Dalam pada itu, perbicaraan tuntutan nafkah oleh Norish terhadap bekas suaminya itu telah ditangguhkan ke 17 Jun depan untuk penghujahan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Proses sulh (perundingan) nafkah pula ditetapkan pada 7 Mei ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Hari ini, Hashimuddin akan mengadakan satu sidang media di pejabatnya, Perspec Prime (M) Sdn. Bhd., Ampang pada pukul 3 petang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan