Rajuk Cikgu Noordin terubat, Mana Setangginya dipentaskan selepas 10 tahun

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Teater Mana Setangginya akan dipentaskan mulai 13 hingga 21 Jun depan, pukul 8.30 malam, di Panggung Sari, Istana Budaya. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Teater Mana Setangginya akan dipentaskan mulai 13 hingga 21 Jun depan, pukul 8.30 malam, di Panggung Sari, Istana Budaya. -foto mStar oleh SITI AZIRA

SELEPAS kira-kira tiga kali tidak jadi dipentaskan, akhirnya naskhah Mana Setangginya karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Noordin Hassan, 80, akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 13 hingga 21 Jun depan.

Naskhah ini merupakan karya agung ke-7 Datuk Noordin atau yang lebih mesra dengan panggilan 'Cikgu Noordin' bakal diarahkan oleh pengarah teater tersohor Zaifri Husin, 43.

Naskhah ini sepatutnya dipentaskan pada September 1999 sempena pembukaan IB tetapi tidak menjadi kenyataan.

Naskhah Mana Setangginya merupakan antara Edisi Khas SN bertajuk Mana Setangginya- Kumpulan Drama Pilihan Noordin Hassan yang dibukukan dan berada di pasaran sejak tahun 2001.

Daripada empat karya Noordin Hassan yang dikumpulkan itu, hanya naskhah Disentuh Bulan Pun, Selendang Umi dan Malam Ini Penyu Menangis yang telah dipentaskan.

Mana Setangginya dikatakan sebuah naskhah yang hebat dan mampu mencipta sejarah drama Malaysia.

Mungkinkah disebabkan itu Mana Setangginya lambat dipentaskan kerana sukar hendak mencari pengarah yang betul-betul berani menyahut cabaran mengangkat naskhah ini di pentas teater.

Ditanya kepada pengarahnya tentang apakah yang memberinya kekuatan untuk mengarah teater Mana Setangginya, Zaifri berkata dia menerimanya setelah diberi mandat besar oleh Noordin Hassan yang digelar sebagai ‘cikgu’ itu.

“Pada peringkat awalnya, saya tidak berani sebab naskhah ini agak besar dan membabitkan nama Seniman Negara Datuk Noordin Hassan di mana dia lebih lain dari yang biasa.

“Saya takut sekiranya ia tidak sampai seperti apa yang beliau inginkan. Tetapi setelah dia sendiri yang menelefon dan memberi mandat serta menyokong saya, jadi saya beranilah menerima tanggungjawab ini,” jawab Zaifri ketika sidang media di Istana Budaya semalam.

Sebelum ini Zaifri pernah mengarah teater Sarah karya Noordin di Stor Teater Dewan Bahasa Pustaka (DBP).

“Jika dibandingkan antara Sarah dan Mana Setangginya, saya rasa teks Mana Setangginya lebih besar daripada teks Sarah. Namun begitu saya dapat rasakan yang Sarah boleh dibuat dalam persembahan besar.

“Mana Setangginya berlandaskan kitab Taurat yang memasukkan isu kuasa, fitnah, penganiayaan dan kejatuhan seseorang.

“Cikgu suka ambil rujukan seperti itu. Kalau kita baca sepintas lalu, kita dapat nampak bagaimana dia garapkan dan isu yang digunakan.

“Tidak banyak perubahan yang saya akan lakukan sebab Cikgu Noordin tidak suka karyanya ditukar-tukar.

“Saya akan cari pendekatan terbaik supaya orang faham, agar teks ini lebih senang didengar dengan penggunaan muzik, set, efek dan visual yang lebih membuatkan teks ini lebih menarik,” ulas Zaifri.

Mana Setangginya yang akan dipentaskan kira-kira dua jam itu mengisahkan tentang sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai.

Penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pohon setanggi.

Nelayan ini dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu hari beribadat.

Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit.

Walaupun hidup mewah, mereka melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing telah membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka.

Juda, iaitu anak kepada Hawar mengahwini kekasihnya Iriam, iaitu anak kepada Ibra.

Tetapi Silbi dan Subhat telah menabur fitnah akan asal-usul Iriam. Juda bermuka-muka akan kebaikannya untuk mengaburi penduduk kampung.

Lantaran itu, beliau dan ayahnya mahu kampung-kampung nelayan yang bertaburan mengiktirafkan kedudukan mereka selaku ‘raja’.

Yang ingkar akan diserang. Mereka menguasai kampung-kampung ini dan inginkan segala tangkapan hendaklah dijual kepada mereka.

Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda telah ditangkap oleh Uzza. Ibra dan Iriam yang datang untuk membebaskan paderi telah dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan.

Iriam juga diserahkan kepada Uzza dengan persetujuan Juda. Tiba-tiba turunlah ribut yang maha dahsyat serta halilintar yang membelah suasana.

Belut gergasi yang dibela Uzza akhirnya memakan tuannya serta membunuh Hawar. Akhirnya, Juda telah pun menemui ‘sodom wa gamurah’nya.

Di akhir cerita ini, penonton akan mendapat pengajaran iaitu manusia dijadikan di tahap yang tinggi, tetapi ia kembali kepada Tuhannya dalam tahap serendah-rendahnya.

Noordin pernah berkata yang beliau ingin merealitikan naskhah di pentas seperti seekor belut gergasi, kapal layar yang boleh bergerak, kota yang akan roboh apabila diserang belut dan banyak lagi perkara yang memainkan peranan untuk menyampaikan cerita ini.

Menurut Zaifri, sukar untuk dia ceritakan tentang kaedah yang akan digunakan untuk merealisasikan impian Noordin tetapi dia akan membuatkan penonton kagum dengan setiap babak itu.

“Susah saya nak cakap sebab naskhah ini perlu melalui proses artistik. Apa yang ada di dalam kepala saya sekarang ada dua bentuk iaitu dalam bentuk visual dan efek serta bentuk objek,” ujar Zaifri yang belum dapat memberitahu nama pelakon utama teater ini.

Katanya, mereka masih belum menerima kata putus daripada pelakon yang mempunyai nama besar dalam industri seni ini untuk watak utama iaitu Juda dan Iriam.

Sementara antara 150 pelakon teater itu telah pun dipilih dari kalangan pelakon dan aktivis teater yang dijangka akan memulakan latihan pada minggu hadapan.

Ditanya tentang respons Noordin apabila mendapat tahu teater yang dinanti-nantikan ini dipentaskan, Zaifri berkata Noordin menerima dengan hati terbuka seolah-olah tidak serik walau karyanya itu sudah tiga kali tidak jadi dipentaskan.

“Kali ini cikgu kata ‘Tak pelah, dah 10 tahun cikgu tunggu tak jadi...’. Bagaimanapun, beliau memang inginkan Mana Setangginya dipentaskan di IB,” ulas Zaifri yang mengenali Noordin sejak tahun 1993 di Kompleks Budaya Negara.

Zaifri mempunyai kelulusan Ijazah pertama dalam Komunikasi (Pengkhususan Filem, TV dan Seni Lakon), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan juga memiliki Ijazah Sarjana Pengarahan Teater dari Middlesex University, United Kingdom.

Anak kelahiran Muar, Johor ini juga berpeluang mendalami teknik 'Mayerhold dan Biomekanik' di Russian Federation Theatre Arts Academy of Moscow, Rusia.

Zaifri pernah mengarah teater 'Sarah', Gadis Melayu, Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda, Belalang Kenit, Muzikal Ali Baba, Gamat dan mono drama 'Angin Mengambang'.

Antara lakonan pentasnya seperti Nyonya, Rubiah, Lantai T. Pinkie, Selendang Umi, Tiang Seri Tegak Berlima dan Puteri Gunung Ledang.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani tidak dapat memberikan sebab Mana Setangginya lambat dipentaskan.

“Saya tiada jawapannya kerana waktu itu ada banyak naskhah..Cikgu Noordin ada beberapa kali nak angkat Mana Setangginya tapi tak jadi kenyataan kerana ia karya yang baik dan harap berada di pentas IB.

“Kali ini, saya anggap pementasan ini sebagai rezeki beliau selain dapat melahirkan bintang besar dalam dunia lakonan. Misalnya dia pernah melahirkan bakat besar seperti Erra Fazira, Vanida Imran dan Ida Nerina.

“Saya harap teater yang berkonsepkan Lord of The Rings versi Melayu ini berjalan dengan lancar,” jawabnya.

Juhari juga memaklumkan yang IB akan mula memperbanyakkan pementasan naskhah berbentuk sastera supaya tidak hanya pentaskan karya berbentuk komersial.

“Insya-Allah, kita akan banyakkan lagi pementasan karya sastera seperti karya Usman Awang, Keris Mas dan sasterawan tempatan yang lain,” akhirinya.

Teater Mana Setangginya akan dipentaskan mulai 13 hingga 21 Jun depan, pukul 8.30 malam, di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tiket dijual pada harga RM30, RM50, RM70 dan RM100.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan