Siti: Saya tetap ada kelemahan

Diterbitkan: Khamis, 23 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Selepas dua tahun, kini Siti kembali beraksi di Minggu Setiausaha. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Selepas dua tahun, kini Siti kembali beraksi di Minggu Setiausaha. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

TERLALU senang menemui kesempurnaan ketika menyaksikan Minggu Setiausaha yang dijayakan oleh Datuk Siti Nurhaliza di Matrade semalam.

Hampir tiada cacat celanya dan 'secuit' kelemahan yang ditemui sepanjang konsert berlangsung selama 1 jam setengah terlalu kecil kalau dibandingkan dengan kepuasan yang terpancar di wajah hampir seribu orang yang menonton persembahan Siti.

Dua tahun lamanya, Siti tidak beraksi di Minggu Setiausaha. Kembalinya membawa peningkatan dari segi mutu suara dan 'vocal range' yang lebih besar, gemersik dan merdu.

Begitu indah sulaman lagu-lagu yang dilontarkan. Kedengaran lebih lunak dan mendayu-dayu seandainya anda salah seorang dari penonton di dalam dewan itu.

Jika dulu lagu 'Biarlah Rahsia' mahupun 'Bukan Cinta Biasa' kedengaran cukup sedap di halwa telinga. Susunan muzik pada petang itu dibawah pengarah muzik Jenny Chin lebih indah lagi kerana ianya dihalusi.

Garapan baru serta kebijaksanaan Siti mengalunkan suaranya dengan lenggok baru membuat lagu-lagu Siti kedengaran sungguh lunak.

Tidak lengkap kalau show Siti tidak menampilkan lagu lama. Tiga buah lagu lama, antaranya 'Jikalau Abang Merindu' dan 'Asmara' dipersembahkan di dalam bentuk medley.

Mungkin sukar untuk membuat pemilihan lagu kerana terlalu banyak hits dari 13 buah album telah tercipta sepanjang karier. Maka, pilihan 10 lagu hits yang dibuat pada persembahan petang itu mungkin yang terbaik pada pandangan Siti.

Tiada jemu yang bersarang di hati meskipun terpaksa menunggu diva jelita ini membuat kemunculan istimewanya selepas hiburan yang disajikan oleh pengacara 'nakal' Dee, pertunjukan fesyen oleh 4 Diva jelmaan dan juga persembahan fesyen dari pereka terkenal menggayakan kain ekslusif dari Jakel. Jakel juga merupakan salah satu penaja pada petang itu.

Pengalaman yang cukup bermakna dan imbas kembali suka dukanya sebagai anak seni disusun dalam lagu Aku Cinta Padamu, Wanita, Cinta Ini dan Di Taman Teman.

Siti tidak lepaskan peluang menampilkan artis baru, vokalis Fahmi dari kumpulan Coda, di bawah naungan Siti Nurhaliza Productions (SNP). Kemantapan dua vokal ini dalam lagu 'Lucky' memberi lebih seri.

Susuk badan Siti tampak lebih comel dan molek kini, ditambah dengan dandanan rapi Nurul Syukur dan busana merah jambu kusam yang disarungkan rekaan Amir Lokman menjadikan penampilan Siti begitu anggun sekali.

Bak 'patung'yang sungguh comel ditatap, mata tidak terkedip melihat kejelitaan Siti. Begitulah pesona yang dimiliki Siti hinggakan peminatnya berduyun-duyun mengerumuni mana-mana sudut dia berada.

Hinggakan ke mana saja Siti berdiri, tumpuan lensa tidak pernah sepi. Itulah kehebatan aura yang dimiliki Siti.

Katalah apa saja tentang kisah peribadinya, sokongan dan sambutan yang diberi kepada Siti tidak mudah surut.

Dan reaksi 'penyanyi kesayangan' ini saban waktu juga tetap cool dan tenang.

Tambah terharu bila official fan club, SitiZone, juga turut turun padang memberikan sokongan moral pada idola mereka.

Bukan saja kerinduan peminat Siti terubat, Siti sendiri mengakui dia begitu rindu beraksi di Minggu Setiausaha.

"Golongan berbeza sedikit. Mereka dari pelbagai lapisan dari segi usia dan pekerjaan. Siti memang menantikan saat begini...membuat show di siang hari.

"Kalau show malam itu dah biasa sangat tapi bagi show di siang hari, pengalamannya cukup berbeza," kata Siti.

Jelasnya, "Bila nyanyi sebelah siang, suara belum 'warm up' lagi."

Walaupun acapkali melahirkan rasa puas hati dengan persembahan yang diberikan, Siti ditanya mungkinkah ada kelemahan yang dirasakan pada persembahannya petang itu?

"Kelemahan itu tetap ada. Selagi kita manusia, kita tetap ada kelemahan. Tapi yang penting Siti puas melayan peminat dan menghiburkan mereka.

"Rasanya penonton saja yang boleh memberi komen mereka puas hati atau tidak dengan show saya," jelas isteri kesayangan tokoh perniagaan Datuk Khalid Mohd Jiwa ini.

Dan petang itu, kelibat suami kesayangan tidak kelihatan. Tentunya 'kehilangan' suami membuat media tertanya-tanya...

"Dah agak dah mesti tanya. Sehingga saat akhir, suami Siti tanya patut tak dia datang. Siti tidak memaksa dan terpulang pada dia untuk membuat keputusan. Lagipun, petang ini, kawan diapun tak ada. Mungkin sebab itu dia tidak datang.," jelas Siti sambil menguntum senyuman.

Sambungnya, "Sebagai isteri, tentulah Siti suka kalau husband ada bersama tetapi memandangkan dia bukan selebriti maka ada batasannya.

"Siti pula kalau dia tak datang, tak apa. Tak adalah sampai tak ada semangat. Husband Siti tahu bila di atas pentas, itu kerja Siti."

Ketika diasak soalan kenapa dia terlupa mengucapkan terima kasih kepada suaminya sewaktu memenangi anugerah 'Penyanyi Wanita Popular' di Anugerah Bintang Popular (ABP) baru-baru ini.

Dengan wajah yang tenang dan senyuman yang tidak lekang di bibir, Siti berkata, "Waktu itu Siti teringat arwah ayah....tahu sajalah....tapi bila Siti turun, Siti terus meminta maaf pada suami. Dia ok saja."

Kenangan arwah ayah masih terpahat dengan erat dalam benak terutama ibu tercinta yang bagai tidak mahu berpisah dengan segala memori yang ditinggalkan, terutama rumah peninggalan suami.

"Mak Siti lebih tenang tinggal di kampung. Dia akan ke kubur ayah pagi dan petang. Itu saja yang membuat dia tenang. Tengoklah nanti bila pergi holiday, Siti akan bawa mak sama," ujar Siti.

Album duet bersama penyanyi terkenal Kris Dayanti juga mendapat jawapan 'selamat' dari Siti.

"Album itu adalah usahasama dari kedua company kami. Yang lain-lain itu terlalu awal untuk diumumkan. Tunggulah...," kata Siti.

Begitu juga dengan perancangan konsert yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya bulan Jun ini. Semuanya masih di peringkat perbincangan.

"Team Siti akan buat perbincangan lagi dengan pihak sana. Nanti kalau semua dah ok, kita akan adakan satu sidang media untuk umumkan.

"Kemungkinan Kris Dayanti dijemput menjayakan konsert Siti di IB tapi semuanya masih terlalu awal untuk dihebahkan," kata Siti.

Awal bulan ini, Siti dan suami telah membuat kunjung hormat menziarah Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am Pas.

Kunjungan itu telah dipolitikkan hingga ditafsirkan seolah-olah Siti ada ura-ura untuk menyertai parti Pas.

"Kita semua manusia di atas bumi Allah. Niat Siti hanya menziarah Tok Guru kerana sudah lama kagum dengan beliau walaupun berbeza pendapat.

"Siti tetap sokong kerajaan kerana sudah beri yang terbaik untuk kita semua," kata Siti lagi.

Ditanya bagaimana perasaan Siti kerana masih laris dan popular, walaupun ekonomi gawat dan pendapatan artis lain teruk terjejas.

Dengan ayat yang disusun berhemah, Siti yang terkenal dengan kelembutan dan kesantunannya berlapik kata:

"Sebagai anak seni, Siti redha apa saja. Walaupun ada cerita yang tidak enak, Siti tidak ada masalah. Selagi Siti di tempat yang benar, Siti akan cuba tanganinya dengan bijak.

"Dan sebagai penyanyi, Siti akan terus bekerja keras membuat persembahan yang baik untuk peminat," kata Siti mematikan perbualan petang itu.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan