Kris hasilkan album duet dengan Siti

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kris terharu dirinya masih diterima peminat-peminat di Malaysia - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Kris terharu dirinya masih diterima peminat-peminat di Malaysia - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, ketika pertama kali meluncur namanya di persada hiburan negara ini, Krisdayanti tidak pernah menyangka sambutan peminat-peminatnya di Malaysia akan terus utuh sejauh ini.

Bagi diva tersohor berusia 34 tahun ini, dia menyedari bukan mudah untuk penyanyi dari seberang sepertinya dapat mempertahankan populariti di negara orang, apatah lagi dengan kemunculan begitu ramai muka-muka baru di Malaysia mahupun negaranya sendiri, Indonesia.

Dalam nada rendah diri, tutur Kris, dia sememangnya amat bersyukur kerana sehingga hari ini, peminat-peminatnya di Malaysia masih mampu menerimanya untuk memeriahkan persada muzik negara ini.

"Sejujurnya, ini adalah satu penghargaan yang cukup bermakna buat saya. Ternyata muzik saya sebenarnya masih diterima di sini. Malah, saya kini sudah mempunyai sahabat yang ramai di sini termasuklah rakan-rakan artis dan jurumekap juga.

"Adakalanya, kami akan menghubungi antara satu sama lain bertanya khabar. Ia memang amat menyeronokkan.

"Tapi tidak kiralah di mana-mana pun baik di Malaysia mahupun Indonesia, saya sentiasa sedar bahawa diri saya bukan muda lagi. Persaingan begitu banyak. Di Indonesia sendiri, pengaruh muzik band cukup kuat ketika ini.

"Jadi, apa yang penting, saya kena selalu berusaha dan kena pandai cari peluang untuk lebih berjaya," kata Kris yang ditemui sejurus persembahannya sempena Secretaries' Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, semalam.

Ini merupakan tahun kelima penyanyi yang popular dengan lagu Menghitung Hari ini diundang ke Kuala Lumpur untuk menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha.

Menurut Kris, dia akui cukup bangga kerana masih mendapat kepercayaan penganjur di negara ini untuk mengadakan 'show' Minggu Setiausaha.

Dan seboleh mungkin, tutur ibu kepada dua cahaya mata ini, dia akan sentiasa memikirkan kelainan untuk ditampilkan di dalam persembahan Minggu Setiausaha yang dijayakannya itu.

"Kali kelima dijemput membuat persembahan Minggu Setiausaha di sini pastinya membuatkan saya harus berfikir apa kelainan yang perlu saya lakukan untuk 'show' ini kerana mungkin ada penonton yang pernah menyaksikan saya beraksi di acara sama sebelum ini.

"Dan persembahan saya sebentar tadi sebenarnya telah menampilkan kira-kira 50 peratus susunan muzik yang baru terhadap lagu-lagu yang saya persembahkan. Susunan muzik baru ini sebenarnya adalah antara persiapan sempena konsert saya di Esplanade, Singapura pada 9 Mei depan.

"Jika diikutkan, memang saya teringin juga untuk bawa lagu-lagu baru, tetapi saya fikirkan lebih baik bawakan banyak lagu yang penonton tahu," kata Kris yang turut ditemani suaminya, Anang.

Pada acara Minggu Setiausaha yang dihoskan oleh Dee itu, Kris telah mendendangkan kira-kira 10 buah lagu termasuklah lagu-lagu popularnya seperti Mencintaimu, Menghitung Hari, Cinta, Cubalah Untuk Setia, I'm Sorry Goodbye dan Pilihlah aku.

Kelantangan vokal Kris mempersembahkan lagu-lagu tersebut telah berjaya memukau kira-kira 1,000 tetamu yang memenuhi dewan tersebut sejak jam 12 tengah hari lagi.

Terdahulu, tetamu dihiburkan oleh persembahan Dasha Logan yang merupakan anak kepada mendiang Logan Nathan daripada kumpulan Alleycats sebelum Kris mengambil alih pentas sekitar pukul 2 petang.

Rakam album duet dengan Siti

Bercerita tentang perkembangan karier seninya, kata Kris, selepas menjayakan Minggu Setiausaha semalam, dia akan terus membuat persiapan rapi sempena konsertnya di Esplanade itu, setelah dua tahun tidak mengadakan sebarang konsert.

Kali terakhir Kris beraksi di pentas konsert ialah ketika menjayakan Konsert 3 Diva pada tahun 2007.

Selain itu, Kris juga akan bekerjasama dengan komposer dan penyanyi Melly Goeslow untuk sebuah lagu tema filem Indonesia 'Ketika Cinta Bertasbih' berjudul Menanti Cinta.

Menurut Kris lagi, dia juga sedang di dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah album duet bersama rakan artis yang cukup akrab dengannya, Datuk Siti Nurhaliza.

"Insya-Allah, kami akan hasilkan album duet bersama. Sebenarnya idea ini sudah kami bincangkan sejak November tahun lalu.

"Apa yang pasti, album itu nanti akan menampilkan khidmat komposer dari Indonesia dan Malaysia. Saya mungkin akan berduet dengan Siti untuk buah lagu dan dua buah lagi adalah lagu-lagu lama kami," kata Kris yang akui cukup teruja dengan idea perancangan album duet itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan