MPO cuba mesrakan muzikal klasikal

Diterbitkan: Sabtu, 18 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Konsert simfoni orkestra bertemakan 'Moving Pictures' itu menyaksikan persembahan pemuzik profesional di bawah pimpinan Konduktor Bersekutu MPO, Kevin Field.
Konsert simfoni orkestra bertemakan 'Moving Pictures' itu menyaksikan persembahan pemuzik profesional di bawah pimpinan Konduktor Bersekutu MPO, Kevin Field.

BAGI pelajar Wan Mohd Zahid Muhamad Nasir dan rakannya Ahmad Khairul Fahim Arif, nama Modest Petrovich Mussorgsky mungkin sangat asing kepada mereka.

Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mulia, Bandar Tun Razak ini malah bukan dalam kalangan mereka yang meminati muzik orkestra simfoni. Bagaimanapun Mussorgsky, nama yang terpahat dari era muzik klasik kurun ke18, punya kelebihan untuk meresapi jiwa dan minat keduadua pelajar ini.

Sungguhpun pertama kali mendengar nama komposer Rusia berkenaan, Wan Mohd Zahid dan Ahmad Khairul Fahim bertuah kerana mereka berdua merupakan di antara 1,300 pelajar yang berpeluang mengenali dan memahami muzik Mussorgsky menerusi Konsert Sekolah MPO, Moving Pictures yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC.

Persembahan muzik klasikal karya komposer legenda itu ialah di antara program yang dirancang di dalam kalendar 'Encounter'.

Konsert simfoni orkestra bertemakan 'Moving Pictures' itu menyaksikan persembahan pemuzik profesional di bawah pimpinan Konduktor Bersekutu MPO, Kevin Field. Konsert itu menjadi lebih bererti kerana menggabungkan seni muzik dengan seni tampak.

Menurut Field, Moving Pictures ialah gabungan karya Mussorgsky, 'Night on a Bald Mountain' dan 'Pictures at an Exhibition'.

'Pictures At Exhibition' juga ialah hasil karya terkenal komposer itu sebagai memperingati artis dan arkitek Viktor Hartmann yang meninggal dunia pada usia muda 39 tahun.

Karya itu mengandungi koleksi sususan muzik pendek yang digubah untuk piano oleh Mussorgsky pada 1874.

"Dalam konsert ini, karya Mussorgsky dihidupkan kembali dengan iringan 51 buah lukisan dari pelajar sekolahsekolah di Malaysia. Di sinilah kreativiti pelajar terserlah apabila mereka berimaginasi bagi menghasilkan lukisanlukisan dengan tema yang diberi."

DENGAR MUZIK DAN FAHAM JALAN CERITA

Ternyata bukan mudah mengambil pendekatan melalui muzik klasikal bagi menarik minat pelajar. Apa yang dilakukan MPO ialah satu langkah besar dalam usaha menjadikan muzik klasikal mesra di telinga rakyat Malaysia.

Sebelum konsert dimulakan, sesi pengenalan alat-alat muzik dan bunyinya diperdengar kepada penonton.

Gema irama alat muzik seperti biola, flute, cello, double bass, clarinet, oboe, tuba, trumpet, harp, trombon, bassoon, genderang dan keyboard diperkenalkan dahulu.

Tujuannya agar penonton dapat membayangkan muzik di minda sambil cuba memahami jalan ceritanya.

Bagi guru Zuraidah Abdullah, konsert itu merupakan peluang buat pelajar mendekati muzik orkestra.

Pelukis pula dapat menghasilkan kreativitinya di kanvas sambil cuba memahami karya Mussorgsky sementara di pihak penonton, mereka dapat menikmati satu proses yang mengasyikkan kerana minda mereka juga dapat mengaitkan muzik dengan lukisan.

Di sinilah peranan muzik sebagai bahasa yang mempunyai kuasa untuk merangsang minda dan memainkan peranan penting untuk pembangunan diri. Malah ada ketikanya muzik juga bertindak sebagai alat penenang jiwa dan terapi yang sangat berkesan.

Disebabkan itu jugalah, Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) mewujudkan Program Pendidikan & Luaran MPO atau 'Encounter' dengan menganjurkan lawatan ke badan-badan kebajikan, membawa muzik klasikal supaya lebih dekat dengan pesakit di hospital, rumah anak yatim, pusat warga emas dan pusat pemulihan dadah.

ANJUR KONSERT UNTUK PELAJAR

Menurut Juniwati Rahmat Hussin, Ketua Pegawai Operasi (CEO) MPO, (sehingga 1 Mac 2009), program Encounter ialah usaha serius bagi menyelaraskan minat generasi muda dalam muzik simfoni klasik dengan muzik arus perdana.

Antara usaha Encounter ialah menganjurkan konsert untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi dengan merangka persembahan yang menarik, ceria dan interaktif.

Selain mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran untuk menganjurkan konsert, bengkel muzik dan masterclass, 'Encounter' juga mendapat kerjasama penggubah muzik tempatan untuk menggubah lagu-lagu klasik rakyat kepada muzik simfoni seperti Rasa Sayang, Suriram, Can Mali Can, Jambatan Tamparuli, Tanah Pusaka dan Puteri Santubong.

"Ini antara langkah untuk memesrakan golongan remaja kepada muzik tempatan yang digubah dalam bentuk simfoni," jelas Juniwati.

Menurut beliau, dengan menubuhkan Encounter, ia turut membuka ruang buat golongan remaja khususnya pelajar untuk mengetahui lebih dekat mengenai MPO.

"Tujuan asal Encounter ialah untuk memperkenal muzik klasikal menerusi cara paling ceria kepada pelbagai lapisan umur dan golongan masyarakat Malaysia.

Program lain MPO yang turut diadakan ialah program pendidikan luaran, lawatan ke pusat komuniti, program pendidikan instrumental dan sesi apresiasi muzik.

"Sambutan terhadap usaha ini memang sangat menggalakkan. Sejak dimulakan 10 tahun lalu, MPO berjaya melibatkan lebih 5,000 pemuzik dan pelajar. Program Encounter juga melibatkan 150,000 orang di sekolah, institusi pengajian tinggi, hospital dan badan kebajikan di seluruh negara," katanya.

BERSEDIA DENGAN PEMUZIK MUDA

Setelah 10 tahun mengendalikan 'Encounter', MPO kini bersedia menubuhkan Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO). Menurut Juniwati, seramai 100 remaja dipilih melalui sesi ujibakat yang dijalankan pada tahun 2006 dan 2008.

"Ahli MPYO didedahkan kepada muzik simfoni klasikal dan bekerja dalam suasana profesional di bawah bimbingan pemuzik berpengalaman dari MPO. Mereka mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas buat pertama kali pada Ogos 2007.

"Mereka juga mempamerkan bakat mereka di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak," jelas beliau.

Hasil program pendidikan ini juga ialah bagi menggalakkan ibu bapa mendedahkan muzik orkestra kepada anakanak dan meyakinkan mereka bahawa muzik orkestra bukanlah minat yang sia-sia kerana ia turut membuka ruang kerjaya.

"Melalui Encounter, kami menyediakan platform kepada mereka yang berminat dalam bidang pengurusan seni dan muzik," jelasnya.

Encounter juga mengadakan program latihan berkolaborasi dengan institut pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah, University College Sedaya International dan Universiti Malaya.

Bersama-sama Jabatan Pendidikan dan Luaran, pemuzik-pemuzik MPO berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman komuniti dalam menghayati muzik klasikal.

Hasil daripada itu, MPO berjaya membentuk rangka kerja untuk mewujudkan peluang kerjaya kepada generasi muda.

Ia bukan sahaja untuk memenuhi inspirasi mereka menjadi pemuzik orkestra dan kakitangan dalam bidang kesenian, malah satu usaha berterusan bagi menjadikan muzik klasikal genre muzik pilihan di negara ini. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan