Ezlynn 'wajah' baru Muzik-Muzik ke-24

Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengacara Muzik-Muzik ke-24:(dari kiri)Faizal Ismail dan Cheryl Samad bergandingan dengan penyanyi, Ezlynn sebagai pengacara bersama.
Pengacara Muzik-Muzik ke-24:(dari kiri)Faizal Ismail dan Cheryl Samad bergandingan dengan penyanyi, Ezlynn sebagai pengacara bersama.

CARTA muzik paling popular siaran TV3, Muzik-Muzik kini telahpun memasuki musim ke-24. Kali ini, carta baru Muzik-Muzik menampilkan format dan segmen baru berbentuk pengetahuan seperti Trivia, Buzz dan Candid bagi memantapkan program hiburan tersebut.

Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria berkata, format baru musim ini yang telah disiarkan mulai 4 April lalu menyaksikan pencalonan lagu tidak memfokuskan kepada kategori.

Jelas beliau, ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu sekali gus memberi ruang kepada penggiat-penggiat seni muzik untuk bebas berkarya.

Selain itu, katanya, hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori utama sahaja, iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock.

"Oleh itu, lagu-lagu yang bakal dicipta lebih luas genrenya dan ini sekali memperkayakan hasil seni ciptaan pengkarya tempatan," katanya pada sidang akhbar selepas rakaman Muzik-Muzik pada minggu ketiga Muzik-Muzik, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Mohamed Nordin.

Pada minggu ini, artis Mila mendendangkan lagu Gila; Jinbara menyanyikan lagu Patri dan Sofaz menerusi lagu Dendam Kita sementara artis jemputan, Yuna (Artis jemputan) mempersembahkan lagu Dan Sebenarnya.

Fadzliniza memberitahu, setiap minggu, Muzik-Muzik ke-24 akan mempertandingkan maksimum 4 calon dan minimum 2 calon untuk mendapat tempat dalam carta 20 lagu-lagu yang tersenarai.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat undian secara khidmat pesanan ringkas (SMS) dan online di www.tv3.com.my (50:50).

Katanya, pada peringkat separuh akhir, lagu-lagu berkenaan akan disaring dan ditentukan kategorinya.

Dalam pada itu, program ini masih mengekalkan Faizal Ismail dan Cheryl Samad sebagai hos.

Namun, mereka turut disertai oleh penyanyi Ezlynn yang turut menjadi pengacara bersama.

"Kami merasakan pemilihan tiga pengacara sekaligus dapat mewarnai lagi program Muzik-Muzik sebelum ini.

"Ezlynn dipilih kerana pernah mengacara program Mentor sebelum ini dan dia memang sudah ada pengalaman yang banyak sebagai pengacara," kata Fadzliniza.

Mengulas mengenai segmen baru berbentuk pengetahuan: Trivia, Buzz dan Candid, Fadzliniza berkata, Buzz memaparkan apa-apa yang berlaku dalam industri hiburan tanah air.

Trivia pula, katanya, memfokuskan rentetan perjalanan hidup artis tertentu dari awal pembabitannya dalam industri muzik sehinggalah perkembangan terkini.

Menurutnya, segmen Candid mendekati peminat-peminat dan melihat mereka membuat aksi dan gelagat seperti artis-artis kesayangan mereka.

"Ketiga-tiga segmen ini dikelolakan oleh pengacara Adzri Faiz Adzlan (Faiz)," katanya.

Rakaman Muzik-Muzik adalah pada setiap Khamis, jam 8 malam sementara slot siaran pada Setiap Sabtu, jam 5 petang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan