Shamsul ambil risiko demi Bohsia

Diterbitkan: Selasa, 14 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shamsul berani menghadapi risiko menghasilkan filem Bohsia
Shamsul berani menghadapi risiko menghasilkan filem Bohsia

SETELAH filem sulung arahannya, Evolusi KL Drift melakar sejarah tersendiri buatnya apabila meraih kutipan sebanyak RM4.5 juta, Shamsul Yusof turut mendambakan respon yang sama menerusi filem keduanya, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Meskipun filem yang bakal ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan dan Singapura pada 23 April depan telah diklasifikasikan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tontonan 18 PL, tetapi Shamsul positif perkara itu tidak menjadi penghalang dari segi kutipan.

"Saya tidak kisah filem ini dilabel 18PL. Memang sejak awal lagi bila saya ingin hasilkan filem ini, saya sudah bersedia dengan sebarang risiko.

"Nak buat filem macam ni kenalah berani untuk tunjukkan perkara yang sebenarnya berlaku dalam hidup golongan seperti ini. At least, saya tetap bersyukur kerana tiada adegan yang dipotong oleh LPF.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang kutipan filem ini kerana saya percaya pada rezeki. Sudah tentu kalau boleh, saya berharap dapat kutipan yang balik modal," kata Shamsul yang ditemui pada majlis prebiu filem tersebut di Mid Valley, semalam.

Filem terbitan Skop Productions yang memaparkan kehidupan mat-mat rempit dan gejala bohsia ini dibarisi oleh pelakon-pelakon seperti Nabila Huda, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle dan Shamsul sendiri.

Mengulas tentang kepuasannya menghasilkan buah tangan keduanya ini, kata pengarah muda dan pelakon berusia 24 tahun ini, walaupun sudah memberikan usaha 100 peratus terhadap filem ini, Shamsul tetap merasakan secebis rasa kurang berpuas hati.

"Tanyalah kepada mana-mana pembikin filem, pasti mereka akan cakap tidak berpuas hati dengan karya masing-masing. Tetapi, saya telah cuba yang terbaik mengikut kemampuan saya.

"Apa yang pasti, banyak moral yang terselit dalam filem ini. Jika ikutkan, apa yang berlaku di luar sana lebih teruk dengan apa yang saya paparkan di dalam filem ini. Tetapi sudah tentu saya tidak boleh paparkan kesemuanya," kata Shamsul.

Tambah anak teruna kepada penerbit dan pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam ini, untuk memastikan filem ini benar-benar 'menyelami' kehidupan mat rempit dan bohsia, Shamsul turut mengenengahkan gaya bahasa golongan ini yang dituturkan oleh pelakon-pelakon tertentu.

"Pelakon-pelakon seperti Nabila mengambil inisiatif untuk belajar sendiri gaya bercakap golongan ini. Kami memang membuat kajian bagaimana gaya sebenar mat-mat rempit dan bohsia," katanya.

Ujar Shamsul, dia turut berpuas hati dengan mutu lakonan pelakon-pelakon filem ini termasuklah 'stuntman' yang terlibat.

"Pada awalnya, saya hadapi kesukaran juga untuk mencari pelakon yang mampu membawakan watak bohsia dengan baik. Tetapi apapun, saya kagum dengan Nabila Huda dan Salina yang berjaya bawakan watak tersebut.

"Begitu juga dengan pelakon-pelakon lain yang cukup komited dengan watak masing-masing. Sebenarnya, ketika penggambaran ada juga babak yang mengakibatkan kemalangan kecil, tetapi ia tidak membabitkan pelakon utama," tutur Shamsul.

Dalam pada itu, ditanya tentang Diana Danielle yang tidak dapat menjayakan promosi filem ini bersama pelakon-pelakon lain kerana menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kata Shamsul, dia tidak menghadapi masalah tentang perkara itu.

Malah, 'bekas kekasihnya' itu sendiri tidak kisah untuk turun padang mempromosikan filem ini jika tidak terbabit dengan PLKN, walaupun mereka sebelum ini pernah berdepan dengan insiden hitam gara-gara satu pergaduhan sehingga Diana membuat laporan polis kerana mendakwa dia dikasari oleh Shamsul.

"Apa yang saya tahu, bukan untuk filem Bohsia saja yang dia tidak dapat terlibat sama, tetapi ada beberapa projeknya yang lain juga telah ditangguhkan sehingga dia selesai PLKN.

"Tetapi jika tidak terlibat dengan PLKN, dia sememangnya tidak ada masalah untuk bersama-sama mempromosikan filem ini," katanya.

Ditanya sama ada hubungannya dengan aktres jelita itu sudah kembali 'jernih', Shamsul sambil tersenyum menjawab:

"Kami tetap kawan. Saya ada bertemu dengannya di Anugerah Bintang Popular pada Ahad lalu dan ketika itu dia kurang sihat. Terkejut juga saya apabila mendapat tahu dia pitam pada majlis 'post-party' selepas itu," tuturnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan