Nash komersialkan karier perancang perkahwinan

Diterbitkan: Selasa, 14 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nash sudah bergelar ‘wedding planner’.
Nash sudah bergelar ‘wedding planner’.

BUKAN mudah untuk mencari pengalaman sebagai perunding perkahwinan. Begitulah yang difikirkan oleh bekas vokalis Lefthanded, Nash, 50, yang sudah berkecimpung dalam bidang tersebut sejak lima tahun lalu.

“Saya sudah lama menjadi ‘wedding planner’ tapi tidak komersialkan karier itu.

“Sekarang baru saya bersedia untuk betul-betul komersialkan bidang ini setelah menimba banyak pengalaman dan betul-betul yakin untuk meluaskan perniagaan ini di bawah syarikat saya, Fanasha Resources Sdn. Bhd.,” ujar Nash yang memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikatnya itu.

Bercerita tentang pengalaman yang dikutipnya sepanjang bergelar seorang perunding perkahwinan, Nash berkata dia pernah terlibat dalam perkahwinan anak-anak Datuk dan Tan Sri.

“Saya pernah menguruskan perkahwinan anak sulung Tan Sri Mohamad Mohd. Taib dan anak Datuk Abu Bakar Amin.

“Apabila saya menceburi bidang ini, saya mendapat kepuasan apabila dapat memberi khidmat yang diperlukan dan menunaikan permintaan dengan penuh dedikasi,” kata Nash.

Syarikatnya yang beroperasi dalam tahun ini turut mengelolakan majlis ulang tahun, hari jadi dan hari keluarga.

“Kami menyediakan pelbagai jenis peralatan perkahwinan seperti ‘food catering’, khemah, kerusi dan meja, pelamin, dandanan dan busana pengantin dengan pakej menarik.

“Matlamat saya hanya satu iaitu untuk bergelar seorang usahawan yang berjaya dalam bidang ini.

“Bidang ini bukan sahaja menawarkan makanan untuk kenduri kahwin tetapi untuk pelbagai majlis seperti ulang tahun, hari jadi dan hari keluarga,” beritahu Nash yang masih lagi menyanyi walaupun sibuk dengan urusan bisnesnya.

Baru-baru ini, Nash dengan kerjasama Israin Catrus menganjurkan Ekspo Perkahwinan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Nash, projek tersebut merupakan projek pertamanya setelah merancang kira-kira tiga hingga empat bulan lalu dengan rakan kongsinya, Ismail Kaprawi.

Dengan bajet sendiri yang dianggarkan lebih RM100,000, Nash menganjurkan ekspo tersebut dengan bantuan saudara-mara dan kenalannya.

Ekspo tersebut bukan sahaja melibatkan pameran tentang perkahwinan malah turut menunjukkan persembahan kuda kepang, muzik piano, gamelan dan banyak lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan