Konsert Malam Seribu Karya diteruskan tanpa Siti

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Penganjur dan artis pada sidang akhbar Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Penganjur dan artis pada sidang akhbar Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

VISUAL laser bertulis kalimah Allah, Nabi Muhammad dan bismillah merupakan antara tarikan dalam Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 April ini.

Dalam konsert anjuran Karya Hadani Sdn. Bhd. itu juga, penonton akan disediakan pakej konsert seperti bunyi yang canggih, penataan cahaya yang baik, sedikit pentomin dan diselang-selikan dengan lagu mengikut jalan cerita.

Jalan cerita tersebut berkisarkan tentang kehidupan, perniagaan dan visi yang ingin dicapai oleh penaung Karya Hadani, Ustaz Harun Mat Saad.

Selain Ustaz Harun, konsert ini akan dijayakan oleh artis yang bernaung di bawah Karya Hadani Yantzen, Razak Ahmad, Ezam Akar, Sham Barongan dan Rahmad Mega.

Turut serta adalah penyanyi jemputan iaitu Mawi, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Nazrey Johani dan Amy Search.

Kumpulan Manik turut melakukan penampilan istimewa dalam konsert yang boleh menghimpunkan 6,000 penonton ini.

Konsert yang bermula 9 malam ini diiringi 14 pemuzik dan tiga penyanyi latar di bawah bimbingan pengarah muzik Md. Shaharil Shamsuddin.

Dengan anggaran kos sebanyak RM300,000, sebanyak 33 buah lagu berunsurkan ketuhanan dan kerohanian pilihan Ustaz Harun akan disampaikan melalui konsert berduradi tiga jam ini.

Daripada 33 buah lagu itu, kebanyakan 10 buah lagu penyanyi undangan merupakan lagu mereka sendiri.

Mawi akan menyampaikan lagu Allah Habeebi dan Kian, Ramli Sarip (Pernyataan dan Bukan Kerna Nama), Nazrey Johani (Wahai Kaum Muslimin dan Antara Dua Cinta), Jamal Abdillah (Ghazal Untuk Rabiah dan Berkorban Apa Saja) manakala Amy Search belum menetapkan lagi lagunya.

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan oleh artis-artis Karya Hadani termasuklah Zat Ilahi, Renung, Laksamana, Semangat Aku, Pesanan Untuk Ibu, Keindahan Cinta Suci, Warkah Untuk Isteri dan Janji.

Lagu-lagu tersebut dimuatkan dalam album Rock Rohani.

Karya Hadani merupakan nama baru dalam industri muzik tanahair, sebuah syarikat rakaman suara dan satu jenama label muzik yang telahpun ditubuhkan pada bulan September 2007.

Bertepatan dengan matlamat utama syarikat, kebanyakan lagu-lagu yang diketengahkan oleh Karya Hadani merupakan lagu berunsurkan ketuhanan disamping memberi nasihat kepada masyarakat melaluinya.

Menurut Harun, dia memilih konsep ‘Rock Rohani’ disebabkan maksudnya sendiri yang perlu disampaikan secara berhati-hati agar tidak membuat silap kepada Allah, manusia dan kerajaan.

“Elemen ini membawa orang berfikir bahawa hidup ini tidak lama dan kita perlu berhati-hati dalam apa jua keadaan.

“Kita cuba kehadapankan seni keIslaman tetapi mengikut arus pembangunan terkini dan bukannya dibuat dalam bentuk dondang sayang.

“Kita mahu bina satu platform supaya orang datang dan lihat perbezaan Rock Rohani iaitu bagaimana orang Islam berkarya.

“Kita juga ingin menunjukkan revolusi iaitu kebangkitan dalam industri muzik,” jelas Ustaz Harun.

Dia turut memberitahu sebab dia memilih idea untuk membuat konsert berdasarkan kisah hidupnya.

“Untuk membuat sesuatu benda, ia perlu datang daripada diri kita sendiri dan betul-betul zahirkan perkara tersebut.

“Cerita dalam konsert ini memanglah datang daripada saya namun secara kebetulan ia sebenarnya turut melibatkan semua orang,” ujar Ustaz Harun.

Dalam pada itu, bagi Pengarah Urusan Karya Hadani Sdn. Bhd. merangkap penerbit Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani, Raja Iskandar Raja Ibrahim atau Is Wow berkata, sudah tiba masa untuk peminat seni tanahair membuka satu lagi lembaran baru dan melihat bidang seni dalam konsep yang lebih luas.

“Tujuan dan matlamat kita mengadakan konsert ini adalah memberikan mesej kepada peminat dan menjadikan hiburan berlandaskan ajaran Islam.

“Sesetengah pihak melihat rock sebagai satu sisi hitam yang sering dikaitkan dengan perkara negatif dan kita tidak boleh mengubah persepsi orang ramai tetapi kita mengambil rock sebagai wadah dalam perjuangan.

“Jangan kita terus ‘mengharamkan’ sesuatu yang sepatutnya ‘dihalalkan’ dan apa yang paling penting mesej yang cuba disampaikan sebalik bait-bait lirik yang mengajak kita melakukan kebaikan,” kata Is Wow mengenai konsert yang 100 peratus ditanggung oleh Karya Hadani.

Is Wow turut memberitahu konsert yang telah dirancang sejak empat bulan lalu ini pada mulanya ingin menjemput penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza.

“Kami ada jemput Datuk Siti tetapi dia ada show dengan Istana Budaya. Kalau tak, ada penyeri,” tambah Is Wow.

Apa kata artis jemputan:

Ramli Sarip - “Bukan satu permulaan tetapi satu kerja dan tema yang baik terutama bukan sahaja menyentuh tentang aspek kerohanian tetapi jatuh bangun seseorang itu.

“Saya perlu menyanyikan lagu Pernyataan yang jarang dimainkan di radio dan tempat tertentu tetapi saya terima juga kerana ia unik.

“Semoga konsert ini berjalan dengan baik dan diberkati.”

Jamal Abdillah - “Saya bersyukur dengan anugerah dan bakat oleh Allah ini dapat digunakan untuk menjayakan program ini.

“Saya umpama salah sebuah restoran yang menghidangkan makanan rohani.

“Insya-Allah, saya akan buat dengan sebaik mungkin.”

Nazrey Johani - “Saya bersyukur kerana terpilih untuk sama-sama memberikan santapan rohani.

“Jalan ini merupakan jalan saya dari dulu hingga sekarang. Saya terharu dengan niat dan misi Ustaz Harun yang mahu mengumpulkan penggiat seni dan ia merupakan hiburan yang baik.”

Mawi - “Saya berbangga kerana dipilih untuk sama-sama sertai Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani, kebetulan saya yang paling muda dan baru di antara mereka.

“Saya harap konsert ini akan mendapat sambutan yang lebih gah dan hebat.”

Amy Search - “Ustaz Harun selalu menjemput saya dan saya berbesar hati apabila dijemput.

“Saya akan pergi lebih dalam dari ini dengan artis seperti Jamal, Ramli dan semuanya mempunyai tanggungjawab sendiri dan lebih baik.

“Saya harap konsert ini akan menjadi lebih besar dari yang dijangkakan.”

Tiket konsert telah mula dijual di pejabat Karya Hadani Sdn. Bhd., No. 5, Ground Floor, Jalan UP 1/6, Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor atau hubungi 03- 41475771 atau dapatkannya di Pertama Kompleks, PKNS atau Bukit Bintang Plaza mulai Isnin ini.

Tiket dijual pada harga RM200, RM150 dan RM60.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan