Linda bunting pelamin, kongsi petua dengan ibu Que

Diterbitkan: Khamis, 9 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Linda menaiki beca ketika majlis resepsi keduanya di Kulai, Johor.
Linda menaiki beca ketika majlis resepsi keduanya di Kulai, Johor.

HASRAT aktor Que Haidar dan isterinya, Linda Jasmine Hashim untuk berbulan madu ke Amerika Syarikat terpaksa dilupakan buat sementara waktu setelah koreografer jelita itu ‘bunting pelamin’ dan kini sudah hamil kira-kira lebih sebulan.

Jelas Linda yang bernikah dengan Que pada 14 Februari lalu, mereka akur dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana dikurniakan anak dalam masa yang begitu pantas.

“Saya bersyukur sangat kerana ini yang kita nak dan Tuhan telah berikan rezeki. Insya-Allah, mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar.

“Banyak masa lagi untuk kami berbulan madu selepas ini,” luah Linda ketika dihubungi semalam.

Hamil kali kedua ini semestinya memberikan pengalaman baru buat Linda memandangkan dia berkongsi pelbagai petua baru dengan ibu mertuanya.

“Kali terakhir saya mengandung adalah sembilan tahun lalu.

“Apabila hamil kali kedua ini, pelbagai topik yang saya bincangkan dengan ibu Que.

“Misalnya, dia ada berpesan kepada saya supaya minum banyak air kelapa apabila waktu bersalin sudah dekat.

“Saya berasa seronok apabila berbincang, berkongsi perasaan dengannya dan dia memahami apa yang saya rasakan semasa hamil sekarang,” ulas Linda.

Sebelum mengetahui berita gembira tersebut, Linda dapat merasakan yang dia telah hamil melalui nalurinya.

“Pada mulanya, saya rasa pelik apabila dapat menghabiskan dua peket asam jawa. Memanglah saya menyukainya tetapi belum pernah lagi makan sehingga dua peket.

“Dalam masa yang sama, saya rasa badan seperti lain macam sahaja. Jadi selepas itu terus saya buat pemeriksaan sendiri.

“Kemudian, baru saya pergi berjumpa doktor dengan Que untuk mendapatkan pengesahan,” ujar Linda.

Ketika itu, Linda berkata terpancar sinar kegembiraan di wajah suaminya.

Mereka berdua terus berkongsi berita gembira itu dengan seisi keluarga.

“Saya nampak Que gembira sangat. Semasa awal-awal dulu, bukan saya sahaja yang ‘mabuk’ tetapi dia selalu juga ‘muntah-muntah’.

“Saya juga berasa sangat gembira, dalam masa yang sama rasa takut pun ada tetapi saya nak simpan ‘excitement’ itu.

“Memang ini yang kita nak selepas berkahwin dan saya bersyukur kerana ia berlaku dengan cepat sekali,” beritahu Linda yang baru mengetahui maksud ‘bunting pelamin’.

Dalam diselimuti kegembiraan, Linda turut tercuit dengan perasaan anak sulungnya, Qalif Khan yang begitu prihatin dengannya.

“Walaupun masih kecil, Qalif juga begitu ambil berat tentang saya. Beberapa kali dia cakap ‘kesian mummy’ dan berpesan kepada saya supaya jangan lupa makan.

“Dia nampak gembira dan berkata inginkan adik lelaki. Kadangkala dia bercakap dengan perut saya,” cerita Linda sambil tertawa ceria.

Linda akui sejak hamil, dia mengalami alahan dan cepat letih seperti yang dilalui oleh sesetengah ibu mengandung.

“Saya juga mengalami perubahan selera makan. Saya tidak suka makan nasi putih, roti dan makanan berminyak, tetapi saya boleh pula makan nasi lemak, dan nasi tomato.

“Sewaktu hamilkan Qalif dulu, saya tak suka makan ubi dan lada hitam tetapi sekarang terbalik pula.

“Saya juga sensitif dengan bau. Ada bau minyak wangi yang boleh diterima dan ada yang tidak,” tutur Linda yang akui lebih teruk mengalami alahan semasa mengandungkan Qalif berbanding anak kedua ini.

Rindu hendak menari

Dalam sibuk bekerja, Linda berkata Que begitu mengambil berat akan kandungan dan kesihatannya.

“Sekarang, Que ada mendapat tawaran berlakon dan bekerja seperti biasa.

“Dia begitu sabar dan banyak menjaga saya, kadangkala dia membelikan makanan jika saya mengidam untuk makan apa-apa.

“Banyak perkara yang dia belajar tentang wanita hamil kerana dia akan temankan setiap kali saya berjumpa doktor,” kata Linda yang tidak kisah tentang jantina bayi itu nanti.

Kini, Linda berasa rindu dengan dunia tarian kerana sejak hamil dia sudah lama tidak menari.

“Sejak hamil, banyak job yang saya tolak seperti tawaran berlakon, senaman ‘work out session’ dan bengkel,” akhiri Linda yang bersedia untuk berlakon dengan Que jika ada tawaran yang sesuai.

Mengenai perancangan masa depan, Linda berkata dia tetap akan mengutamakan dan memberikan perhatian yang lebih untuk anak-anaknya walaupun dijangka sibuk dengan kariernya sebagai guru tari di studio miliknya, ‘Linda Performing Arts’.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan