Bicara kes Azlin diteruskan tanpa Yazli, bersambung 2 Jun

Diterbitkan: Rabu, 8 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini tetap meneruskan perbicaraan kes tuntutan nafkah aktres Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain ke atas suaminya, Mohd. Yazli Yaacob dengan mengambil keterangan sebelah pihak setelah Yazli gagal menghadirkan diri.

Azlin, 41, yang diwakili oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan memberikan keterangan pertama pada hari ini di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad.

Keterangan Azlin disambung pada 2 Jun untuk tuntutan nafkah diri-sendiri manakala 24 Jun untuk tuntutan nafkah anak-anak.

Dalam keterangan hari ini, Azlin menjawab soalan yang diutarakan oleh peguamnya, Fakhrul Azman di dalam kandang saksi.

Ketika perbicaraan tersebut berlangsung kira-kira 1 jam 25 minit, wajah Azlin kelihatan stres kerana dia perlu menjawab satu-persatu soalan yang ditanya kepadanya.

Selepas perbicaraan tersebut ditangguh, Azlin akui perasaannya bercelaru kerana tidak biasa dengan situasi tersebut.

“Biasanya, saya hanya berlakon sebagai Hakim. Tetapi hari ini, saya cuba kuatkan semangat untuk menuntut hak saya dan anak-anak.

“Oleh sebab masa yang diambil terlalu lama, saya rasa agak penat kerana perlu mengemukakan setiap tuntutan dengan bil-bil dan semua itu mengambil masa juga,” komen Azlin menjawab reaksinya selepas keterangan pertama diberikan.

Antara keterangan yang diberikan oleh Azlin adalah:

“Saya membuat tuntutan nafkah untuk diri-sendiri dan anak-anak kerana defendan (Yazli) telah meninggalkan saya dan anak-anak buat kali ketiga pada 10 Julai 2008 tanpa memberi nafkah kepada diri dan anak-anak saya.

“Jumlah yang saya tuntut adalah untuk diri-sendiri sebanyak RM5,000 setiap bulan kerana sudah menjadi kebiasaan defendan memperuntukkan RM2,000 setiap bulan untuk kegunaan peribadi seperti pakaian, penampilan diri, mekap dan rawatan muka saya manakala jumlah RM3,000 lagi untuk kegunaan bayaran telefon bimbit, servis kereta Mercedes, minyak kereta dan tol, mengaji al-Quran oleh Ustazah yang datang mengajar di rumah saya.

“Yang kedua, perbelanjaan rumah sebanyak RM2,000 setiap bulan iaitu belanja dapur sebanyak RM500 setiap minggu untuk membeli barang basah dan barang keperluan dapur.

“Yang ketiga, bayaran wang Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM1,000 setiap bulan untuk simpanan masa depan sekiranya berlaku kesusahan pada masa akan datang disebabkan tiada kerja tetap untuk sara kehidupan saya.

“Yang keempat, insurans diri (nyawa dan kesihatan) sebanyak RM500 setiap bulan kerana sekarang saya tiada apa-apa insurans.

“Yang kelima adalah ansuran rumah sebanyak RM3,500 setiap bulan yang perlu dibayar kepada Bank RHB. Sudah tiga tahun bayaran rumah saya tertunggak iaitu RM544,743.51.

“Bank RHB memberikan tempoh sebanyak sebulan untuk melangsaikan bayaran sebanyak RM26,000 mulai 19 Mac lalu.

“Yang keenam, saya juga perlu membayar ansuran kereta Mercedes sebanyak RM1686 setiap bulan.

“Yang ketujuh, bayaran keperluan rumah seperti bil air dan Astro sebanyak RM500 setiap bulan.

“Yang kelapan, bayaran penyelenggaraan rumah sebanyak RM500 setiap bulan,” kata Azlin.

Sementara itu, antara tuntutan untuk anak-anak iaitu Danial Luqman, 8, Danny Iskandar, 7, dan Dania Camelia, 4, pula adalah:

“Yang pertama, tuntutan RM1,000 untuk setiap seorang anak meliputi makanan dan minuman, persekolahan, tuisyen, yuran-yuran aktiviti sekolah, mengaji al-Quran dan membawa berjalan di hujung minggu dan cuti sekolah.

“Yang keduanya, tuntutan RM500 untuk setiap seorang meliputi belanja barang-barang sekolah, pakaian sekolah dan pakaian harian.

“Selepas suami tidak memberikan nafkah, anak-anak sudah berhenti tuisyen dan sudah bertukar ke sekolah kerajaan dan seorang lagi bersekolah di tadika swasta.

“Yang ketiga, bayaran mengaji al-Quran sebanyak RM800 untuk tiga orang anak tetapi sekarang mereka terpaksa berhenti mengaji disebabkan saya tidak mampu membayarnya.

“Selain itu, kos perubatan sebanyak RM500 untuk anak-anak pada setiap bulan, insurans kesihatan sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang, dan nafkah tahunan untuk persekolahan dan Hari Raya sebanyak RM3,000.”

Difahamkan, Azlin bersedia untuk mendengar berapa jumlah yang suaminya mahu berikan asalkan dia bertanggungjawab.

Pada 28 Januari lalu, mahkamah tidak membenarkan Azlin mengeluarkan waran tangkap terhadap Yazli disebabkan dia gagal mengecam alamat tempat tinggal suaminya itu.

Pada 15 Disember lalu, Azlin yang pernah menerima ugutan ‘ah long’ enggan melakukan proses Sulh semula seperti yang diminta oleh suaminya sebaliknya dia ingin meneruskan perbicaraan mengenai kes tersebut.

Pada 12 Disember lalu, Yazli hadir ke mahkamah dengan mengemukakan surat permohonan tersebut.

Pada 18 November lalu, proses Sulh Azlin yang difailkan pada 29 Oktober lalu gagal dibicarakan kerana Yazli tidak hadir ke mahkamah.

Sehingga kini, Yazli belum pulang selepas meninggalkan rumah sejak 10 Julai lalu. Pertama kali Azlin dan anak-anaknya ditinggalkan ialah pada tahun 2001 selama 40 hari, manakala pada tahun 2005 selama dua tahun.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Azlin telah disimbah cat merah kerana suaminya gagal membayar hutang ‘ah long’.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Yazli menjelaskan punca dia menghilangkan diri kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ‘ah long’ selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Kolumnis

iklan

Iklan