Jangan Tegur ‘recycle’ babak Jangan Pandang Belakang

Diterbitkan: Selasa, 7 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FILEM seram ketiga pengarah dan penulis skrip, Pierre Andre berjudul ‘Jangan Tegur’ lebih suspen dan menyeramkan berbanding filem sulungnya, ‘Jangan Pandang Belakang’.

Terdapat elemen baru yang digarap dalam filem seram terbitan Metrowealth (MIG) Production Sdn. Bhd. ini yang menarik untuk ditonton.

Selain teknik suntingan, audio Dolby Digital Surround EX dan kesan bunyi yang digunakan mampu menimbulkan unsur seram dan suspens.

Susunan cerita ‘non-linear’ dan graf yang turun naik itu mampu membuatkan penonton kadangkala terkejut dan tidak lepas untuk menonton dari satu babak ke satu babak kerana sikap ingin tahu tentang apakah yang akan berlaku seterusnya.

Filem ini juga mampu memberikan mesej yang mengajar penonton agar tidak menyimpan perasaan hasad dengki lalu bertindak menyihir orang lain kerana akan mendapat balasan kemudiannya.

Jangan Tegur mengisahkan Natasya (Julia Ziegler) yang telah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu.

Sewaktu di dalam koma, Natasya telah bermimpi tentang seorang gadis, Baizura (Nadia Mustafar) yang disyaki telah hilang selama dua tahun secara misteri tanpa khabar berita.

Natasya sering diganggu dengan mimpi-mimpi aneh yang menceritakan akan kesengsaraan Baizura yang telah dibomoh dan sering didatangi makhluk-makhluk halus.

Tersedar dari koma, Natasya mula mengalami perkara yang sama seperti yang telah dialami oleh Baizura.

Daya penglihatannya tidak membataskan dia melihat makhluk-makhluk halus itu.

Ini menambahkan kerunsingan suami Natasya, Kamal (Pierre Andre).

Kamal pula adalah seorang yang tidak mempercayai benda-benda kurafat ini sehinggalah dia melihatnya sendiri.

Melalui mimpi-mimpi yang dialami, Natasya mula menyiasat apakah yang telah berlaku kepada Baizura.

Siasatan yang dilakukan telah menyebabkan dia sering diganggu oleh makhluk-makhluk yang menganggu Baizura seperti dalam mimpinya.

Kamal mencuba pelbagai cara termasuk meminta bantuan Ustaz untuk mengubati dan memulihkan semangat Natasya.

Natasya pula tanpa pengetahuan Kamal telah pergi menyiasat punca kematian Baizura dan kenapa Baizura selalu muncul dalam mimpinya.

Penyiasatan Natasya berjaya merungkai punca kematian Baizura tetapi membawa dirinya ke dalam satu lagi masalah yang lebih besar apabila dia sendiri dirasuk.

Terdapat juga elemen humor yang diselitkan seperti babak makhluk halus yang dipaparkan mempunyai kepala teleng dan gaya Natasya ketika dirasuk dan solekannya agak melucukan.

Namun begitu, terdapat babak dalam filem pertama arahan Pierre yang diulang guna dalam filem ini seperti babak Natasya menyangka suaminya berada dalam bilik rupanya berada di luar dan makhluk yang disangka suaminya itu adalah makhluk halus yang menghantuinya.

Babak itu sama seperti babak dalam filem Jangan Pandang Belakang di mana Darma (Pierre Andre) menyangka neneknya berada dalam pangkuannya tetapi rupa-rupanya neneknya sedang nyenyak tidur di dalam bilik dan makhluk yang dipangkunya itu adalah makhluk halus.

Menyentuh tentang lakonan, penulis lebih suka memuji lakonan Nadia Mustafar sebagai Baizura.

Nadia pandai bermain dengan karektor dan menyerap masuk perwatakannya sebagai seorang yang dirasuk dengan baik sehingga lakonannya nampak ‘real’ seperti dia benar-benar dirasuk.

Watak Mak Su yang dipegang oleh Ellie Suriati juga nampak hidup apabila dia pandai bermain dengan emosi dalaman dan mimik muka yang bersahaja.

Jangan Tegur akan menghantui penonton di pawagam tempatan mulai 9 April ini dan di pawagam Singapura mulai 30 April ini!

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan