Yatt seronok jadi isteri

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yatt dan Talib kini bahagia melayari kehidupan berumahtangga - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Yatt dan Talib kini bahagia melayari kehidupan berumahtangga - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

PUTRAJAYA: Meskipun baru seminggu bergelar isteri, pelakon dan pengacara Haryati Hamzah atau mesra dengan panggilan Yatt, 29, akui cukup seronok memegang status baru itu dalam hidupnya.

"Walaupun dalam tempoh seminggu ini saya dan suami sibuk menguruskan persiapan untuk dua majlis persandingan kami, tetapi saya tetap tidak melupakan tanggungjawab sebagai isteri.

"Sempat juga saya memasak untuk suami dalam dua hari ini," kata Yatt dalam nada ceria, ketika ditemui pada resepsinya di De'Seri Endon Puspanitapuri, di sini, semalam.

Yatt kelihatan anggun dengan gaun pengantin berwarna putih rekaan Lynda Rahim pada majlis persandingannya dan suami, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29, yang berkonsepkan moden dan santai itu.

Sekitar 500 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan kedua-dua belah pihak hadir menyerikan majlis yang bertemakan warna putih dan ungu itu.

Resepsi kedua di sebelah pihak Yatt turut berlangsung di lokasi yang sama pada sebelah malam nanti.

Menariknya, hari bersejarah pasangan ini juga turut mendapat tajaan yang melimpah-ruah; bermula dengan kad jemputan perkahwinan, rawatan kecantikan, baju pengantin, pelamin, solekan dan katering.

Butik Lynda Rahim adalah penaja utama sebagai perancang perkahwinan, persalinan dan hiasan majlis persandingan. D&D Beauty House pula menaja pelamin nikah manakala hiasan majlis pernikahan sebelum ini ditaja oleh Butik Pesona Anggun.

Antara penaja lain ialah Saddiq Solutions (kad jemputan), Den Wahab dan Udaimatunnur (persalinan nikah), Amy Janz dan Fiza Zainudin (solekan), Chef Zainal Tanjung Puteri (kek perkahwinan), My Aroma dan KK Cleaning Services (cenderahati), Kickstart Gymnastic (persembahan), Skin Basic (rawatan pelansingan badan) dan Seri Keningau Catering (katering).

"Kebanyakan penaja ini sebenarnya adalah rakan-rakan saya dan ada diantaranya pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini.

"Jadi, saya anggap ini sebagai tuah kerana mereka sudi menaja majlis saya ini," tambah Yatt.

Yatt dan Mutalib selamat dinikahkan pada 29 Mac lalu di Seremban, Negeri Sembilan.

Pada majlis pernikahan mereka itu, Yatt menerima mas kahwin sebanyak RM280.80 serta lima dulang hantaran oleh pihak lelaki dan berbalas tujuh oleh pihak perempuan.

Yatt bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran yang diberikan oleh suaminya itu.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 2 Februari tahun lalu setelah hampir lima tahun mengenali hati budi masing-masing.

Setelah merasakan keserasian antara mereka wujud, Yatt akhirnya yakin jejaka yang bertugas sebagai pengurus SportsPlanet di Ampang itu adalah lelaki yang paling layak bergelar suaminya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan