Fazley bantu kempen di Bukit Selambau

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TURUT SAMA BERKEMPEN..Penyanyi, Dr Fazley Yaakob turut membantu jentera BN  dalam kempen pilihan raya di Bukit Selambau.
TURUT SAMA BERKEMPEN..Penyanyi, Dr Fazley Yaakob turut membantu jentera BN dalam kempen pilihan raya di Bukit Selambau.

SUNGAI PETANI: Penyanyi dan Perunding Motivasi Dr Fazley Yaakob, 31, atau lebih dikenali sebagai Fazley hari ini turut hadir memeriahkan jentera kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Flat Paya Nahu dekat sini hari ini.

Fazley yang popular dengan lagu 'Asmara Ini' dan 'Bila April' itu ditemui pada Program Mesra Ibu Tunggal bersama Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) dan Puteri Umno Kedah, turut mengingatkan pengundi mengenai kepentingan mengundi.

Kira-kira 200 penduduk kawasan berkenaan turut terhibur apabila Fazley mengalunkan lirik lagu 'Asmara Ini' dan 'Bila April' yang diubahsuai mengajak penduduk di Bukit Selambau keluar mengundi pada 7 April ini.

Beliau yang sinonim dengan gelaran 'Abang Asmara' ketika ditemui selepas ceramah itu, berkata setakat ini beliau belum berminat untuk menjadi 'orang politik' tetapi tidak menolak untuk membantu dalam kempen pilihan raya.

"Saya menganggap ini sebahagian daripada tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan membantu menyampaikan amanat kerajaan kepada rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Fazley bersama Puteri Umno turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan kanak-kanak di kawasan itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan