Kehidupan seni Jamal dipentaskan di Istana Budaya

Diterbitkan: Rabu, 1 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Album Tak Hilang Cinta akan berada di pasaran mulai 16 April ini. -foto The Star oleh LOW LAY PHON
Album Tak Hilang Cinta akan berada di pasaran mulai 16 April ini. -foto The Star oleh LOW LAY PHON

BIAR apa pun yang berlaku, penyanyi Jamal Abdillah tetap menjadikan bidang nyanyian sebagai nadi hidupnya.

Jamal telah berkecimpung dalam industri muzik seawal tahun 1979 selepas menjuarai Bintang RTM dan kini dia masih aktif menyanyi serta tampil dengan produk terbaru yang segar.

Bukan mudah untuk Jamal bertahan lama kerana dia sememangnya perlu menjalani pelbagai ranjau kehidupan.

Bagaimanapun, penyanyi popular yang mendapat gelaran Raja Pop ini turut menyimpan kenangan manis yang pernah dilalui sepanjang bergelar anak seni.

Begitulah sedikit cerita yang akan disampaikan oleh Jamal dalam teater muzikal ‘Kembara Seni Jamal Abdillah’ pada 5 hingga 9 Ogos depan di Istana Budaya.

“Teater muzikal ini akan menceritakan tentang kisah hidup saya sejak bergelar artis dan kisah hidup itu lebih berasaskan kepada lagu-lagu popular saya.

“Contohnya, saya akan menyanyikan lagu Seniman Menangis apabila menyentuh tentang peristiwa sedih yang saya lalui,” beritahu Jamal ketika majlis pelancaran album terbarunya, Tak Hilang Cinta di Red box, The Gardens, semalam.

Selain itu, Jamal menambah dia juga akan menampilkan babak melibatkan dirinya dengan artis lain seperti Datuk Dr. Ahmad Nawab dan Datuk David Arumugam.

“Setakat ini artis-artis seperti Ahmad Nawab dan Arumugam sudah tahu tentang perancangan saya namun mereka belum memberikan persetujuan sama ada akan turut serta dalam persembahan itu nanti atau tidak.

“Selain itu, saya akan menggunakan khidmat pelakon Istana Budaya.

“Saya juga akan menyediakan klip video orang kenamaan yang memberikan komen tentang saya,” kata Jamal yang akan berlakon dan menyanyi dalam muzikal anjuran syarikatnya, Bintang Channel Sdn. Bhd. dan Istana Budaya ini.

Menyentuh tentang muzikal ini, Jamal berkata dia memperuntukkan sejumlah wang dari syarikatnya sendiri untuk menjayakan muzikal ini.

Kekalkan 'trademark' sendiri

Mulai 16 April ini, para peminat Jamal boleh membeli album Jamal, Tak Hilang Cinta yang memuatkan 10 lagu seperti Tak Hilang Cinta Di Dunia, Apa Lagi dan Terpesona Dusta.

Lagu Terpesona Dusta merupakan lagu lama iaitu gabungan dua lagu, Terpesona dan Dusta yang diberikan nafas baru iaitu Jamal berkolaborasi dengan Daly Ahli Fiqir.

Jamal turut mencipta beberapa buah lagu dan lirik dalam album ini seperti Di Mana Akhirnya, dan Keindahan Mimpi. Jamal juga menggubah lagu Akulah Kekasihmu yang liriknya ditulis oleh Ad Samad dan mengadaptasi lirik lagu Terpesona Dusta bersama Palot dan Daly.

Buat pertama kalinya, Jamal bekerjasama dengan penerbit baru yang belum pernah menerbitkan mana-mana albumnya sebelum ini, Shah.

Jamal selaku penerbit bersama turut bergandingan dengan Eddie Marzuki dan Adnan Abu Hassan bagi menerbitkan lagu-lagu yang lain.

“Saya cuba memberikan tenaga yang baru dengan kontemporarikan muzik lagu.

“Semua lagu tersebut adalah pilihan saya sendiri kerana saya mahukan muzik yang agak moden dan terkini.

“Hampir dua tahun saya mengambil masa untuk proses penerbitan album ini kerana bukan mudah untuk membuat susunan lagu.

“Saya juga cuba untuk versatilkan diri dengan memilih apa jua genre muzik dan mendapat pendengar yang baru seperti mencuba genre hip hop dalam album terbaru ini.

"Yang penting trademark Jamal memang ada dalam album ini,” tuturnya yang turut mengkagumi bakat M. Nasir yang menyanyikan lagu Mantera Beradu bersama Malique.

Belum terlewat tulis dan cipta lagu

Walaupun usianya hampir 50 tahun, Jamal tetap merasakan yang dirinya belum terlewat untuk menulis skrip dan menggubah lagu.

Sebenarnya, Jamal telah lama menulis lirik dan pernah mencipta lagu seperti lagu Mati Hidup Semula dan Ghazal Untuk Rabiah.

Pada tahun lalu, Jamal kembali memeriahkan industri dengan lagu dan lirik ciptaannya di mana dia menulis lagu tentang lakaran kehidupannya.

“Ia merupakan proses kehidupan manusia biasa dan sekarang saya baru sedar yang saya boleh membuat lagu dan harus berusaha untuk berjaya.

“Saya rasa usaha saya ini merupakan peninggalan untuk masyarakat yang akan dikenang sampai bila-bila,” komennya yang teringin untuk berlakon lagi jika berpeluang dan diberikan tawaran.

Katanya, kalau boleh dia mahu memegang watak orang miskin, ayah yang bermasalah atau perompak kerana watak sebegitu lebih mencabar.

Bagaimanapun, Jamal tetap akan memilih bidang nyanyian kerana lebih mendatangkan pendapatan yang lumayan.

Mahu kahwin jika ada rezeki dan jodoh

Selepas mahligai yang dibina kecundang beberapa kali, Jamal masih belum menemui pengganti.

Semuanya diserahkan kepada Tuhan kerana dia lebih selesa untuk memberikan tumpuan kepada diri-sendiri.

“Jika saya tidak menjaga diri-sendiri terlebih dahulu, bagaimana saya nak menjaga orang lain.

“Namun, saya tak menolak jika ada rezeki dan jodoh pertemuan,” ujarnya yang selesa memakai rambut palsu buat masa ini bagi menutup parut di kepalanya kesan daripada pembedahan sebelum ini.

Bagaimanapun, Jamal enggan menceritakan lebih lanjut tentang pembedahan tersebut.

“Saya rasa tak perlulah saya ceritakan tentang pembedahan tersebut. Apa yang penting saya selesa dan semua orang menyukai penampilan saya dengan rambut palsu ini,” luahnya.

Jamal pernah melahirkan album Perpisahan Tanpa Relamu, Derita Cinta, Hatiku Luka Kembali, Layang-Layang, Sendiri, Mati Hidup Semula, Untukmu, Sepi Seorang Perindu, Seniman Menangis, Jamal, Penghujung Rindu, Samrah dan Aku Penghiburmu.

Secara keseluruhan, jualan album Jamal sepanjang menjadi bintang naungan Warner Music telah mencatat hampir 1.2 juta unit.

Selain menyanyi, Jamal juga merupakan seorang pelakon bertaraf box office menerusi lakonannya dalam filem Azura, Tuah, Kekasih Awal dan Akhir dan Sejati.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan