Joe- Malique: Dulu bersama, kini bersaing sengit!

Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Joe dan Malique bersaing sengit menerusi kategori Lagu Hip Hop Terbaik di mana Joe dengan tiga pencalonan iaitu lagu Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta? manakala Malique dengan dua pencalonan (Mentera Beradu dan Ok). -foto mStar oleh SITI AZIRA
Joe dan Malique bersaing sengit menerusi kategori Lagu Hip Hop Terbaik di mana Joe dengan tiga pencalonan iaitu lagu Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta? manakala Malique dengan dua pencalonan (Mentera Beradu dan Ok). -foto mStar oleh SITI AZIRA

SUATU ketika dahulu, penyanyi lagu irama hip hop iaitu Joe Flizzow atau Johan Ishak dan Malique Ibrahim berganding sekali dalam kumpulan Too Phat.

Kumpulan duo ini begitu popular dengan lagu Anak Ayam, Dua Dunia (duet Datuk Siti Nurhaliza), Too Phat Baby dan Alhamdulilah (duet Yasin) sejak di awal kemunculan mereka.

Kali ini, mereka kembali bertemu sebagai pesaing ketat menerusi Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16) yang bakal berlangsung pada 2 Mei depan pukul 8.30 malam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mereka berdua bersaing sengit menerusi kategori Lagu Hip Hop Terbaik di mana Joe dengan tiga pencalonan iaitu lagu Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta? manakala Malique dengan dua pencalonan (Mentera Beradu dan Ok).

Mereka juga bertemu lagi dalam kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik di mana Joe dicalonkan lagu All Around My World manakala Malique pula dengan KL Streets

Selain itu, Joe Flizzow tercalon dalam 2 kategori lain iaitu Kulit Album Terbaik menerusi album President (Pereka Nadia Jasmin) dan Album Inggeris Tempatan Terbaik (Produser DJ T-Bone, Goldfish, Koko, Syaheed, Terrytyelee, DJ Iman, Don M, Joe Flizzow dan Khan),

Menurut Joe, dia menyifatkan saingannya dengan Malique sebagai penghormatan untuk mereka berdua dan Too Phat.

“Apabila nama saya dan Malique diumumkan dalam pertandingan ini, saya rasa saingan ini memang kelakar kerana dulu kami buat persembahan sekali tetapi kali ini secara berasingan.

“Saya tak kisah jika menang atau tidak. Saya juga tak rasakan yang kami sedang bersaing antara satu sama lain,” ulas Joe yang merasakan lagu Isabella mempunyai kekuatannya tersendiri kerana ia merupakan lagu lama dan lagenda dalam industri ini.

Tambah Joe, hubungannya dengan Malique tak pernah putus dan tidak hairan jika mereka berkolaborasi semula tetapi bukan sebagai ahli Too Phat.

“Insya-Allah, jika tiada aral saya dan Malique akan berduet bersama pada tahun depan,” ujar Joe dalam nada ceria.

Joe turut meluahkan perasaannya tentang skop pertandingan ini yang tidak mencalonkan kategori melibatkan lagu hip hop kepada artis bukan Melayu.

Sebolehnya dia mahukan lebih ramai persaingan dalam kategori tersebut. Katanya, jika lebih ramai penyertaan, lebih seronok untuk bertanding.

“Mungkin akademi (Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia) boleh membuka penyertaan ini bukan sahaja kepada lagu hip hop berbahasa Melayu tetapi turut melibatkan lagu hip hop berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan Kadazan.

“Saya nak bersaing dengan mereka,” ulasnya yang belum tahu sama ada akan membuat persembahan dalam AIM 16 atau tidak kerana sehingga hari dia ditemubual sebelum ini dia belum mendapat undangan untuk melakukan persembahan oleh pihak penganjur.

Dalam perkembangan lain, Joe berkata dia bersyukur dengan sambutan album President yang diterbitkan oleh syarikat rakamannya sendiri, Kartel Records.

“Alhamdulillah, sambutan album sangat memberangsangkan. Dalam masa yang sama, saya mendapat tahu lagu Duit-Duit dan Isabella menduduki carta Top 10 di radio selepas dua minggu album itu dikeluarkan,” luah jejaka berusia 30 tahun ini.

Joe juga memberitahu yang dia sedang sibuk mengatur persembahannya di luar negara seperti Jakarta, Amsterdam dan London.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan