Adila tidak malu tersingkir awal

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Saat-saat perpisahan yang sering dapat kita lihat dalam drama AF berlaku sekali lagi bila Adila tersingkir. foto The Star oleh EHFAN SHAH
Saat-saat perpisahan yang sering dapat kita lihat dalam drama AF berlaku sekali lagi bila Adila tersingkir. foto The Star oleh EHFAN SHAH

PENYINGKIRAN Nas Adila Mohd Dan dalam Konsert Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) minggu kedua lalu memang sudah dijangka memandangkan peratus undiannya paling rendah iaitu 4 peratus sebelum peserta membuat persembahan.

Peratusan tersebut juga tidak berganjak di akhir konsert tersebut apabila markahnya masih kekal 4 peratus.

Adila pada mulanya tidak menyangka dia merupakan peserta pertama yang akan tersingkir.

Namun selepas hos AC Mizal bertanya tentang perasaannya jika tersingkir, terus penyanyi ini berasa tidak sedap hati.

Bagaimanapun dia tidak malu menjadi peserta mempunyai gelaran penyanyi yang terkeluar awal.

“Saya tak rasa malu sebab pengalaman dalam AF ini memang tidak boleh dijual beli.

“Saya nak buat bagaimana lagi apabila disingkirkan terlebih awal.

“Tetapi saya tetap bersyukur kerana saya terpilih antara 9,000 peserta yang menjalani uji bakat.

“Jadi, saya tak pernah menyesal apabila memasuki program ini,” ujar Adila selepas program itu berakhir di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Jelas Adila, dia berasa mungkin sikap pendiam dan kurang menonjol ketika di akademi membuatkan dia terkeluar awal.

“Mungkin penonton tidak dapat terima apa yang mereka lihat saya dalam Diari AF itu kerana saya lebih suka menjadi diri-sendiri.

“Saya tahu yang pengundi inginkan peserta yang menonjol dalam Diari AF,” ulas Adila yang mengaku AF boleh menjadi medan untuknya mempromosikan diri.

Dalam pada itu pengetua AF7 Datin Seri Tiara Jacquelina mencelah dia mendapat laporan dari fakulti mengatakan Adila merupakan peserta yang menampakkan peningkatan dan langsung tidak bermasalah.

“Adila sentiasa mendengar kata dan mengikut arahan yang diberikan oleh tenaga pengajar dengan baik.

“Dia tidak pernah ‘merengek’dan mencetuskan ‘drama’,” ungkap Tiara sejujurnya dan menyifatkan Adila merupakan peserta yang berbakat dan mempunyai ‘attitude’.

Adila yang seronok apabila dapat berjumpa dengan Tiara dan bergaul dengan pelbagai jenis rakan-rakan AF pula berkata dia masih akan menyanyi dan teringin untuk membuat ‘single’ jika berpeluang.

Tercapaikah transformasi emosi

Walaupun tidak dapat meneruskan perjuangannya dalam AF7, sekurang-kurangnya Adila keluar bermaruah bilamana dia telah menunjukkan persembahan yang mendapat pujian pengkritik serta meraih sorakan dan tepukan daripada penonton.

Adila ditugaskan menyanyikan lagu medley Merawat Luka Terpendam dan Asyik bagi memenuhi cabaran yang diberikan. Tiga belas peserta lain juga diminta menyanyikan dua buah lagu medley yang bukan menjadi pilihan mereka.

Akim memulakan persembahan dengan lagu Satu dan Buronan Cinta, Rubisa (Gagap dan Dingin), Qhaud (Bila Nak Saksi dan Lagu Untukmu), Aishah (Coba dan Gila), Obri (Akan Tiba dan Ada Untukmu), Zizi (Sembilu dan Wonder Woman), Sidi (Selamat Ulang Tahun Sayang dan Kukoo).

Turut serta adalah Aril (Benar-Benar dan Robot), Rini (Aku Sindarela dan Kiblatku), Yazid (Lelaki Ini dan Fikirlah), Claudia (Wanita dan Ku Mahu), Hafiz (Cinta Ini Membunuhku dan Toyol) dan diakhiri oleh Isma (Jat Da Da Da dan Hello).

Di akhir persembahan, dua pengkritik iaitu komposer Edrie Hashim dan pelakon Adlin Aman Ramlie memilih Hafiz sebagai peserta cemerlang manakala penyanyi Datuk Yusni Hamid lebih bersikap 'selamat' iaitu membiar penonton yang tentukan.

Ternyata penonton juga seolah-olah bersetuju dengan pilihan mereka apabila Hafiz memperolehi undian tertinggi iaitu 11 peratus , diikuti oleh Isma (10 peratus), Aril (9 peratus), Aishah (8 peratus), Akim, Zizi, Yazid, Rubisa dan Claudia (7 peratus), Sidi, Qhaud, Rini dan Obri (6 peratus).

Bercakap tentang transformasi emosi yang menjadi tema dalam konsert minggu kedua itu, Tiara berkata ia merupakan satu fokus silabus di mana setiap peserta boleh menyanyi dengan pelbagai emosi melalui bantuan Cikgu Ida Nerina.

“Ida banyak meluangkan masa untuk memberi ilmu kepada pelajar agar mereka faham apa yang saya cuba sampaikan.

“Saya harap mereka bukan sahaja pandai mencuri perhatian penonton menerusi kamera malah menguasai tiga elemen iaitu tarian, nyanyian dan penampilan.

“Saya sengaja memberikan tugasan yang sukar dari awal seperti mereka terpaksa mempelajari 28 buah lagu dalam tenpoh beberapa hari.

“Jadi, saya akan cuba melihat setiap kelemahan pelajar supaya membuat perubahan pada minggu hadapan.

“Ada antara mereka yang kurang menghayati sesebuah lagu dan sekadar menyanyi sahaja,” bicara Tiara penuh hemat.

Lagu tema Menuju Puncak di awal persembahan

Sementara itu, menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, lagu tema Menuju Puncak yang biasanya dinyanyikan di hujung persembahan diubah ke awal persembahan pada malam itu bukanlah gimik AF7 sebaliknya merupakan suatu transformasi.

“Selepas dibincangkan, kami rasa sesuai juga letakkan lagu Menuju Puncak di hadapan.

“Lagipun, malam ini kita ada 14 pelajar. Tengoklah, mungkin kita akan ubah kedudukan nyanyian lagu Menuju Puncak jika pelajar semakin berkurangan,” jawab Khairul Mizan.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan