Eira Syazira pelapis Erra Fazira?

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mungkinkah bakat Eira akan bersinar seperti aktres Erra Fazira. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Mungkinkah bakat Eira akan bersinar seperti aktres Erra Fazira. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

AKTOR Zamarul Hisham pernah menganggap aktres Eira Syazira sebagai pelapis Erra Fazira dengan mengatakan ‘dulu kita ada Erra Fazira tetapi sekarang kita ada Eira Syazira’ selepas mereka berdua digandingkan bersama dalam sebuah telefilem ‘Restu’.

Bukan hendak meninggi diri, Eira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi juga menganggap tuahnya itu bermula apabila dia berlakon dalam drama rantaian Ku Milikmu yang telah disiarkan di TV3.

“Mungkin orang nampak bakat saya selepas bekerja keras.

“Boleh dikatakan semua watak saya sudah cuba mulai dari watak ‘second leading’, pembantu dan sekarang barulah merasa watak utama.

“Saya memandang pada karektor terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk menerima tawaran lakonan itu.

“Saya rasa lebih baik saya ‘naik’ dalam industri seni ini secara perlahan-lahan dengan cara tersendiri kerana saya betul-betul ikhlas membuat kerja ini.

“Saya sanggup menerima komen positif mahupun negatif.

“Saya juga tak kisah untuk menunggu pelakon lain lama-lama ke set pengambaran,” beritahu Eira ketika sidang media dan pelancaran drama rantaian Embun Mutiara untuk TV3.

Walaupun sebelum ini dia banyak kali ditawarkan watak gadis baik, namun tidak bermakna Eira tidak boleh membawakan watak gadis nakal seperti Embun dalam drama Embun Mutiara.

“Watak saya bukan seorang yang jahat tetapi gadis kolej yang gemarkan populariti.

“Apa yang menarik tentang drama ini adalah nama watak iaitu Embun dan Mutiara.

“Saya teruja sebab watak lakonan saya adalah gadis belasan tahun sedangkan saya berumur 25 tahun.

“Jadi, watak itu membawa fikiran saya kembali ke zaman persekolahan. Ini merupakan pertama kali saya membawakan watak seperti ini.

“Saya tengah fikir apa yang saya nak tonjolkan dalam drama ini dengan memotong rambut, membuat imej ala-ala ‘next top model’ dan manja,” ujarnya yang menerima tawaran tersebut atas permintaan pihak TV3.

Sebelum ini, Eira juga pernah terlibat dengan drama Sindarela, Ku Milikmu dan terbaru Cinta Balqis yang bakal muncul di slot Akasia untuk TV3.

Jadi, tidak mustahil jika Eira dilabel sebagai pelakon kegemaran TV3.

“Alhamdulillah, akhirnya saya diterima di TV3 kerana bukan mudah untuk saya menembusi TV3.

“Percubaan pertama saya adalah drama bersiri Sindarela di mana saya hanya memegang watak pembantu iaitu Tushee, walaupun nampak ‘skema’ tetapi ada sesuatu yang orang nak tengok,” ulasnya yang mula berlakon sejak usia 18 tahun.

Cerita Eira, drama pertama lakonannya adalah Meniti Bara terbitan Skop Production manakala filem pula adalah Bisikan Remaja.

Jawab gosip bercinta dengan suami Wan Sharmila

Apabila semakin meningkat naik, nama Eira bukan sahaja dikaitkan dengan bakatnya malah ada juga yang menjaja namanya dalam sebuah blog yang mendakwa dirinya bercinta dengan suami artis.

Artis yang dimaksudkan itu adalah aktres Wan Sharmila di mana suaminya adalah produser Radius One Sdn. Bhd, Mohd. Fazli.

Eira akui yang dia mengenali Fazli tidak lebih sebagai produser Radius One ketika mereka bekerjasama menerusi drama Sindarela.

“Saya hanya tergelak apabila membaca gosip tersebut. Terima kasih sebab memberi publisiti kepada saya.

“Yang saya tak faham, kenapa saya yang menjadi mangsa dan cerita itu baru keluar sekarang.

“Saya rasa mungkin orang nak jatuhkan saya. Saya anggap ia sebagai ‘trend’ seperti Memey Suhaiza dengan Norman Hakim, Fasha Sandha dengan suami Nora Danish.

“Saya tak rasa apa-apa sebab dakwaan itu tidak betul dan tiada bukti, jadi buat apa saya nak takut.

“Wan Sharmila juga tak tanya saya pun tentang hal itu dan hubungan kami ok seperti dulu mahupun semasa kami mengadakan sesi fotografi bersama baru-baru ini,” katanya.

Jadi idaman pelakon bujang

Sebelum itu, Eira juga pernah digosipkan dengan pelakon Ryzal yang popular menerusi drama Jelatang.

Namun Eira menepis dakwaan tersebut dan menganggap mereka hanya kawan baik selepas digandingkan sebagai pelakon utama drama Issandra.

“Saya tidak mempunyai sesiapa yang ‘special’.

“Memandangkan saya solo, ada kawan saya yang juga seorang pelakon meluahkan perasaan ‘I ‘admire’ You’.

“Dia kata ‘suka tengok You sebab muka Melayu dan baik’. Waktu tu kami sedang menjalani pengambaran sekali,” kata Eira yang enggan menyebut nama lelaki berstatus bujang itu.

Eira berkata mungkin dia lambat lagi menamatkan zaman bujangnya kerana banyak komitmen yang perlu dihadapinya sekarang.

Selain Issandra dan Restu, anak kedua daripada enam beradik ini juga baru selesai menjalani pengambaran telefilem Calon Isteri, dan Air Mata Buaya.

“Memang saya ada terfikir juga tentang jodoh tetapi masa belum sesuai. Mak saya pun ada bertanya bila saya nak kahwin tetapi saya jawab nanti dulu,” tuturnya yang gemarkan lelaki yang berilmu di dunia dan akhirat, tinggi, berwajah ‘man look’, hormat orang tua, terima seadanya sebab Syazira Shuhaimi, dan memahami kariernya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan