RTM aktifkan empat saluran baru

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk beroperasi secara digital sepenuhnya dan mengaktifkan rancangan Analog Switch Off (ASO) menjelang 2015, RTM mengumumkan rancangannya membangunkan empat saluran baru di samping saluran Muzik Aktif yang memulakan siaran, semalam.

Empat saluran baru sedang dibangunkan ialah saluran kanak-kanak, CY; saluran sukan, Arena; saluran multi-etnik dan multi bahasa, Harmoni; dan saluran gaya hidup, Bestari.

Rancangan itu diumumkan oleh Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam ucaptama pada perasmian Persidangan Industri Kreatif 2009 di sini, semalam.

"RTM sedang menjalani pengstrukturan semula. Wajah baru TV1 dan TV2 dan Muzik Aktif bukan penjenamaan semula, ia bukan penghujung, ia sebahagian dari proses berkenaan.

"Rancangan kami ialah untuk mengkhususkan semua saluran, dengan itu kami mewujudkan lima saluran baru.

"Walaupun platform pertama kami ialah Astro, kami akan pastikan setiap orang akan dapat menerima lima saluran baru kami. Mengenai ASO 2015, kami akan wujudkan enam zon pemancaran digital dalam negara, iaitu zon tengah, selatan, timur, utara, Sabah dan Sarawak," kata Shabery.

Beliau berkata RTM bercadang menyiarkan Harmoni menjelang hujung tahun ini. Shabery berkata industri kreatif berpotensi menjadi penyumbang besar ekonomi untuk negara dari segi eksport kreatif dan hak harta intelektual.

"Kita perlu mengenal pasti industri kreatif kita. Di Britain, satu daripada eksport utama ialah industri muzik. Di sana, industri kereta memerlukan bantuan kerajaan tetapi industri muzik tidak.

"Semasa kelembapan ekonomi 1999, Korea telah dapat memajukan industri hiburan dan kreatif mereka hingga ia menjadi eksport utama.

"Ini peluang kita untuk memajukan industri kreatif dan mengenalpasti apa yang menjadi industri kreatif dalam segala bentuknya, sekalipun dari segi demografi dan apakah sempadannya," kata beliau.

Berhubung halatuju negara untuk benarbenar mengiktiraf sumbangan ekonomi berpotensi oleh industri kreatif, Shabery berkata:

"Jika Persidangan ini bersetuju dan mencadangkan agar tahun depan (2010) menjadi Tahun Kreatif Malaysia 2010, saya akan mengemukakan kepada Kabinet bagi memulakan proses menyelaraskan dengan kementeriankementerian dan badanbadan lain yang relevan.

"Jika mereka setuju, satu pasukan petugas khas mungkin lahir dari persidangan ini bagi menjamin kebajikan artis kita dan mendapatkan takrif sebenar industri kreatif Malaysia," kata Shabery.

Lebih 500 orang menyertai persidangan dua hari itu yang membincangkan 31 kertas kerja oleh pembentang tempatan dan antarabangsa tentang tema "Industri Kreatif: Satu Dimensi Baru Pertumbuhan Ekonomi". BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan