Chef Wan 'buka restoran' di udara bersama AirAsia

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chef Wan mendapat tawaran dari Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes untuk menjadi konsultant dan 'brand ambassador' untuk menukar menu bagi penerbangan popular ini.
Chef Wan mendapat tawaran dari Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes untuk menjadi konsultant dan 'brand ambassador' untuk menukar menu bagi penerbangan popular ini.

BILA selebriti chef Wan berkata dia sibuk dan tidak menang tangan, percayalah, memang begitulah lumrah kehidupan personaliti tersohor ini. Jadual kerjanya sudah siap dirancang seawal setahun yang lalu.

Malah, Wan sendiri kadang-kadang tidak terkejar dengan perancangan yang sudah diatur di beberapa lokasi termasyhur di serata benua ini.

Wan cuma sempat menghirup udara nyaman di sini selama enam bulan sahaja. Itulah masanya bersama famili, saudara, teman dan memenuhi tuntutan media untuk diwawancara atau menjadi hos program masakan.

Selebihnya, selebriti ini sibuk dengan tugasnya sebagai 'Duta Malaysia' mempromosikan masakan beraneka rasa ke seluruh pelusuk dunia. Kesibukan beginilah, yang membuat hidupnya sendiri tidak keruan sehingga membantutkan banyak aspirasi peribadinya. Antara cita-citanya yang belum kesampaian sehingga kini ialah membuka sebuah restoran berciri Malaysia.

Bukan saja perancangan yang rapi diperlukan tapi pelaburan yang bukan sedikit harus ada untuk merealisasikan impian restoran Wan. Impian ini mulanya hanya sebuah impian sehinggalah awal bulan ini bila dia mendapat tawaran dari AirAsia.

Siapa sangka di sebalik kesibukan Wan, tiba-tiba dia mendapat tawaran daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Seri Tony Fernandes untuk menjadikan dia perunding dan 'brand ambassador' untuk menukar menu bagi penerbangan popular ini.

"Saya macam tak percaya bila Tony menawarkan saya kerja itu. Bukan sahaja gembira sangat tapi memang itulah yang saya nanti-nantikan selama ini.

"Saya akan revamp semua menu onboard dan akan menjadi perunding pasal bab makanan di syarikat penerbangan ini. Nampaknya, tercapai jugalah cita-cita saya nak buka restoran.

"Chef Wan Restaurant On Air la! Bukan itu saja, Tony juga sudah bersetuju untuk mewujudkan 'Travel Air Asia' yang akan merangkumi projek 'gourmet travel fan club' yang akan digerakkan oleh Chef Wan Fan Club," jelas selebriti terkenal ini menerusi emel, SMS dan panggilan dari Abu Dhabi ketika mengumumkan projek terbarunya.

Rezeki yang datang bergolek itu membuat Chef Wan tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran ke hadrat illahi. Baginya, segala limpah dan kurnianya adalah doa kedua ibubapa dan seluruh peminatnya.

"Pada mulanya, Wan sendiri macam tak percaya. Jadual Wan lebih padatlah lagi tapi untuk tawaran yang sehebat ini, tidak mungkin Wan akan menolak.

"Tambahan pula, memang itu yang Wan idamkan dari dulu. Ini akan menjadi satu cabaran baru untuk Wan," kata Wan, 53 tahun yang berkelulusan associate degree Professional Chef Training and Hotel Management dari California Culinary Academy, San Francisco, United States.

Kata Chef Wan, Tony mula berbincang tentang projek baru AirAsia ini akhir tahun lepas.

"Tony kata Chef Wan sudah terkenal secara global. Begitu juga dengan AirAsia yang menuju ke arah global juga. Jadi dua nama besar dari Malaysia adalah satu permulaan yang baik," kata pemegang Diploma Ritz Escoffeir (Ecole Ritz-Esscoffier De Gastronomie Francaise) dari Ritz Hotel in Paris, France.

Lagipun, menurut Wan, Tony ingin buktikan bahawa anak tempatan juga mampu membuat perubahan dan perlu diberi peluang.

AirAsia juga mensasarkan untuk membawa 24 juta penumpang dari semua operasi penerbangannya seluruh negara tahun ini berbanding 19 juta tahun lalu. Ini adalah satu fenomena yang amat membanggakan.

"Tawaran ini juga adalah satu penghormatan dan pengiktirafan bagi semua hasil kerja saya selama ini," jelas bekas akauntan bertauliah yang menukar profesionnya kepada tukang masak professional.

Selain tugas 'rasminya' sebagai Duta Masakan, Chef Wan juga adalah seorang pelakon, pengarang dan pensyarah tamu di Thames Valley University-The London School of Tourism, Hospitality di mana beliau dianugerahkan Fellowship Award.

Beliau juga adalah pengarang lapan buah buku masak yang bertaraf 'best-seller'.

Antara anugerah internasional yang pernah dimenanginya ialah Salon International Du Livre Gourmand 2000 Periguex, France, a Gold Medal for Presentation Of ‘The Royal Dining Etiquette Of The Palace Of Perak’ In The Century In Malaysia.

Satu lagi ialah anugerah Salon International Du Livre Gourmand 2003 in Barcelona, Spain for the Best Malay Chef Book in Malaysia (‘Mengelilingi Dunia bersama Chef Wan’ by Times Edition) Tapi sejak akhir-akhir ini, Chef Wan sudah mula dilamar menjadi pakar motivasi pula untuk membakar semangat di kalangan pelajar-pelajar IPT dan golongan akauntan.

Tidak cukup dengan kesibukan yang tertera di atas, Wan juga sedang dalam rangka untuk mengeluarkan produk barang-barang dapurnya sendiri, yang akan dikomisyenkan oleh Grastomax & Sveico.

Antara barang-barang dapur itu termasuklah periuk, kuali, apron, tuala dapur, mesin pengisar, pisau dan set pinggan mangkuk juga segala jenis perkakas dapur.

"Wan buat banyak benda dalam satu masa. Semua pulangan atau imbuhan ini bukan untuk Wan seorang saja. Wan banyak tanggungan termasuklah keluarga kecil, keluarga besar, bekas isteri dan tanggungannya juga dua rumah anak angkat kebajikan yang Wan jaga.

"Kalau murah rezeki Wan bermakna murahlah rezeki semua mereka ini," kata Wan mengakhiri perbualan petang itu.

Bagi yang ingin mendaftar menjadi peminat Chef Wan Fan Club (Chef Wan FC) yang akan dilancarkan tidak berapa lama lagi, sila ke website rasmi: www.chef-wan.com.my untuk membuat pendaftaran.

Antara keistimewaan menjadi FC Chef Wan, anda akan mendapat diskaun untuk semua buku masak Chef Wan yang diautograf, menjadi tetamu untuk program masak, ikut serta Chef Wan’s Gourmet Travel Tours dengan harga diskaun yang akan dibuat dua kali setahun di destinasi ASEAN dan Eropah, diskaun 10% on kelas memasak Chef Wan, perjumpaan tahunan dan sesi makan malam dan tengahari bersama Chef Wan di berbagai restoran di mana demonstrasi masakan akan diadakan.

Untuk pengetahuan semua, pemegang siri nombor FC 1 hingga 50 telahpun 'ditempah' oleh peminat istimewa Chef Wan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan