OIAM: Prestasi Aweera ibarat yo-yo!

Diterbitkan: Isnin, 16 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aweera gagal menambat hati juri pada minggu ini
Aweera gagal menambat hati juri pada minggu ini

PERSEMBAHAN Aweera yang tidak konsisten minggu dan nyanyiannya yang kurang menyengat membuat ketiga-tiga juri melahirkan sedikit rasa kekecewaan mereka.

"Intonasi ada sedikit cacamarba. Pitching (larasan pic) lari....kalau minggu lepas, gergaji itu memang dah elektrik gila, minggu ini balik semula pakai kapak. Bagaimana?," keluh juri tetap program "One In A Million (OIAM) musim ketiga anjuran 8TV, Syafinaz Selamat terhadap persembahan hambar Aweera.

Minggu lepas, umum mengetahui Aweera telah dianugerahkan imuniti kerana berjaya menawan hati Syafinaz selain juri tetap, Paul Moss serta juri undangan, Jaclyn Victor.

Bagaimanapun, kehebatan Aweera yang tenggelam timbul tidak menjustifikasikan penerimaan imuniti tersebut.

Dipendekkan kata, faktor wow (daya penarik) langsung tidak terasa. Tiada 'percikan bunga api elektrik persembahan'. Terdetik di hati penonton malah penyokong penyanyi bergenre rock itu, "Itukah Aweera?"

Dari awal lagi, nyanyiannya serba tidak menjadi. Fokusnya tersasar jauh. Antaranya, lirik terlupa, pitch lari dan tidak mengikut tempo.

Seolah-olah terkena sumpahan imuniti, penyanyi itu gagal mengulangi kejayaan prestasinya minggu lepas yang jelas bertenaga!

Lantasan, penonton gagal diuja untuk sama-sama rock. Mereka duduk kehampaan. "Minggu lalu, anda (Aweera) melayangkan kita semua dengan pertunjukan memberangsangkan. Minggu ini, ia (nyanyian) umpama angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa pada hari panas. Bagi saya, persembahan anda normal sahaja.

"Barangkali anda mungkin cuba membuktikan anda turut boleh menyanyi biasa tanpa jeritan. Suara anda mempunyai identiti tersendiri dan unik. Anda sepatutnya menggunakannya,'' kata Moss yang kecewa.

Juri Undangan, Fauzi Marzuki pula beranggapan penyanyi berusia 18 tahun itu kurang menjiwai lagu Janjiku gubahan Taja itu.

Nasihatnya kepada Aweera, jangan bimbang apabila menyanyi dan kena menjiwai sesebuah lagu itu.

Pun begitu, para penonton mula dibuai aksi bertenaga apabila Amy, 22, mendendangkan lagu "Yang Pernah". Ia digubah Estranged. Inilah penawar yang dinanti-nantikan.

Dengan jari-jemarinya memetik tali gitar mengalunkan melodi sambil melontarkan suara emasnya, penyanyi yang juga penulis lirik lagu ini berjaya menggamit hadirin agar berpesta.

Penulis terikut-ikut rentak nyanyian Amy yang lunak lagi bertenaga itu. Ternyata, penyanyi berusia 22 tahun ini telah berjaya mengadunkan elemen rock dalam genre muzik jaznya.

Bagaimanapun, suntikan variasi genre rock muzik itu menjadi tanda tanya Syafinaz dann Moss yang keliru dengan identiti Amy sebenarnya.

Menurut Syafinaz, Amy mula mengorak langkah nyanyian dengan genre jaz pada peringkat awal pertandingan dan oleh itu, perlu konsisten dalam perkara tersebut.

"Daripada jazz kepada rock, jadi apa direction (hala tuju) Amy? Mana originality tersebut (keaslian),'' tanya Syafinaz.

Jika persembahan Amy baik, Tomok pula berjaya membawa lagunya satu paras lebih tinggi. Seperti nama lagu itu, semua hadirin dibangkitkan untuk La La La Kerjalah (dalam erti kata lain, berhiburlah).

Ini kerana, Tomok dari Kuala Lumpur itu berada dalam kelas tersendiri. Dia begitu menghayati lagu gubahan Taja itu sekali gus mengajak pendengar muziknya turut serta berbuat demikian.

Malah kelincahan gerak kaki di serata sudut pentas, kelembutan lenggok tari serta lambaian tangannya mencetuskan suasana penuh hangat tersebut.

Maka tidak syak lagi apabila sejurus persembahannya selesai, semua juri menghamburkan pujian melangit untuk Tomok. Syafinaz misalnya berkata, kehadiran penyanyi itu membuatkan pertandingan itu bagai konsert setiap minggu.

Jelasnya, rahsia kejayaan Tomok ialah komitmen tinggi dan mampu berkomunikasi secara berkesan dengan para penonton.

Kerana itu juga, untuk rekod, Tomok telah diberikan imuniti dan ini bermakna dia bebas daripada fasa penyingkiran untuk ke pusingan selanjutnya.

Sementara itu, peserta-peserta lain seperti Simon dengan lagu Generasiku, Rizu (Cinta), Anith (Mungkin), Nine (Aku dan Kamu) dan Fify (Kalis Rindu) turut menyajikan persembahan bertenaga. Masing-masing mempunyai keistimewaan vokal, stail dan lenggok tarinya.

Mungkin apa yang menyedihkan ialah, Esther gagal melagukan Dialah Di Hati hasil ciptaan Aidit Alfian mengikut acuannya sendiri.

Barangkali Esther cuba menuruti arahan komposer agar mempertahankan citarasa penyanyi asal lagu tersebut. Akibatnya, dia tidak dapat menonjolkan bakat suaranya sendiri.

Justeru, ini mendorong Syafinaz meluahkan isi hatinya bahawa peserta-peserta OIAM sepatutnya diberi kelonggaran untuk membawakan lagu masing-masing. Mengikut gaya sendiri dan bukannya mimik penyanyi asal lagu tersebut.

Untuk melangkah lebih jauh lagi, ada baiknya para peserta mendengar nasihat Moss - You don't change your style to suit the song, but you change your song to suit your style(Anda tidak mengubah stail tersendiri untuk mengadaptasi lagu, tetapi anda mengubah lagu untuk memadankan stail anda)".

Berikut adalah komen dari peserta tentang prestasi mereka pada malam itu.

Esther: "Memang saya nak ubah ini dan itu tetapi saya menghormati pendapat komposer lagu. Saya belum matang lagi (dalam industri muzik).

"Apa pun saya ada cara sendiri, namun saya simpan. Seperti yang Syafinaz katakan, saya berharap mempunyai kebebasan untuk buat (nyanyikan lagu) cara sendiri."

Aweera: "Crowd menjerit .. sepatutnya naikkan sound agar dapat saya dengari.''

Bagaimana pula perasaan Pija setelah tersingkir? Demoralised atau lemah semangat?

Pija: "Bagi setiap persembahan, saya telah membuat yang terbaik.

"Apa-apa yang saya belajar di sini akan saya bawa ke pertandingan masa depan."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan