Tiara susun strategi 'transformasikan' peserta AF7

Diterbitkan: Selasa, 10 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tiara cipta sejarah baru dalam program AF apabila dipilih menjadi pengetua wanita pertama program popular itu - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Tiara cipta sejarah baru dalam program AF apabila dipilih menjadi pengetua wanita pertama program popular itu - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

TERJAWAB sudah teka-teki siapa yang layak memegang jawatan Pengetua pada musim ketujuh Akademi Fantasia (AF7) yang bakal memulakan konsert mingguan pertamanya pada 14 Mac ini.

Setelah beberapa nama disebut-sebut selama ini antaranya Datuk Sheila Majid, Norman Abdul Halim, Anita Sarawak dan Aznil Nawawi, akhirnya kerusi 'panas' itu menjadi milik pelakon, penerbit dan penggiat teater terkenal, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Pengumuman yang dibuat menerusi episod pertama program Diari AF yang disiarkan di saluran Astro Ria, pada pukul 9 malam tadi bagaimanapun bukan satu kejutan, apatah lagi Tiara juga sebelum ini turut disebut-sebut akan 'dilamar' Astro bagi memegang jawatan itu.

Cuma apa yang pasti, pemilihan selebriti yang sinonim dengan watak Puteri Gunung Ledang ini sebagai Pengetua AF7 mencatat sejarah baru di dalam program AF kerana menjadi Pengetua wanita pertama untuk menerajui musim terbaru program realiti popular itu.

Sebelum ini, jawatan itu pernah disandang oleh Freddie Fernandez (AF1), Ramli MS (AF2 dan AF6), M.Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).

"Pada saya, tidak ada apa yang perlu dihairankan tentang siapa yang bakal menjadi Pengetua...sama ada wanita atau lelaki. Yang penting adalah apa yang akan saya tinggalkan setelah AF musim ini berakhir kelak.

"Tawaran ini datang pada masa yang tepat. Ramai wartawan pernah bertanya apa yang akan saya buat selepas tamatnya Puteri Gunung Ledang The Musical dan saya pernah luahkan hasrat saya untuk tubuhkan sebuah Akademi seni selepas ini.

"Tapi nampaknya, tawaran ini (Pengetua AF7) yang saya terima dulu. Saya hanya memberi kata putus pun baru-baru ini saja.

"Apapun, saat saya ditawarkan jawatan ini, saya tahu tanggungjawab yang akan saya pikul itu cukup berat, apatah lagi bila mendengar tagline musim ini iaitu 'satu transformasi akan berlaku'. Tapi, saya sukakan pada cabaran.

"Saya rasa, dengan bantuan barisan tenaga pengajar yang hebat musim ini, kita akan cuba sedaya-upaya membawa transformasi itu," kata Tiara pada sidang media di Restoran Courtyard Garden, Bukit Damansara, di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai pemilihan Tiara, kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pelakon dan penerbit tersohor itu merupakan penghibur yang hebat dan mempunyai pengalaman besar dalam industri hiburan.

"Apa yang kita titikberatkan ialah kelainan yang dia mampu lakukan pada musim ini. AF bukan hanya sekadar nyanyian, tetapi merangkumi aspek persembahan secara keseluruhannya dan kami merasakan Tiara layak untuk jawatan ini kerana pengalamannya dalam bidang ini cukup besar.

"Tetapi kami tidak nafikan ada lima hingga enam nama yang pernah kami terfikir sebelum ini. Ia mengambil masa lebih kurang lima bulan sebenarnya untuk kami meneliti kriteria setiap calon Pengetua musim ini," kata Khairul.

Mengulas mengenai transformasi yang ingin dilakukannya pada musim terbaru ini, kata Tiara, dia telah menyusun visi dan misi yang akan diterapkan kepada semua peserta.

"Transformasi bagi saya ialah perlu berani buat sesuatu yang baru. Saya ingin menjadikan AF7 ini adalah yang terbaik. Kalau boleh, saya ingin AF7 melahirkan bakat-bakat yang luar biasa dan menjadi ikon di tanahair.

"Mungkin impian itu terlalu tinggi, tetapi industri kita memang memerlukan transformasi seperti ini. Saya sengaja letakkan matlamat yang mungkin kedengaran agak tidak masuk akal untuk semua projek yang saya lakukan termasuklah AF7, agar saya dapat lihat sejauhmana ia boleh dicapai.

"Bagi saya, tidak salah meletakkan 'benchmark' yang tinggi. Jika kita tidak berazam dan berusaha, kita tidak tahu kemampuan kita. Dan semua ini akan dilakukan secara bersepakat di antara saya, pelajar dan barisan tenaga pengajar," kata Tiara, bersemangat.

Ternyata Tiara cukup dedikasi dengan tugas barunya itu. Malah, pada sidang media itu juga, Tiara turut membuat 'presentation' tentang misi dan visi yang ingin dicapainya menerusi AF7.

"Saya meletakkan tujuh syarat untuk memastikan pelajar-pelajar ini berjaya mencapai misi transformasi itu antaranya, bakat nyanyian mereka perlulah luar biasa, serba-boleh, yakin serta berani, bersikap profesional, mempunyai pakej menarik dan ada 'x-factor'.

"Perubahan pertama yang saya ingin lihat ialah dari segi imej dan identiti kerana tidak guna mempunyai vokal yang bagus jika tidak ada identiti tersendiri. Saya bukannya mahu perubahan mendadak, mungkin selepas beberapa minggu, baru kita akan dapat lihat transformasi itu.

"Kita akan panggil perunding khas untuk ajar mereka cara 'grooming' dan juga pakar diet untuk memberi khidmat nasihat dari segi kesihatan dan makanan

"Saya juga ingin menekankan tentang penggunaan Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar ini. Bagi saya, jika seseorang artis itu ingin pergi jauh dalam bidang ini, dia perlu mahir bertutur dalam Bahasa Inggeris.

"Sama juga jika menyanyi lagu bahasa itu, kita tidak boleh hanya sekadar menyanyi tetapi faham butir-butir yang terkandung dalam lirik itu," tegas Tiara.

Musim terbaru AF ini masih mengekalkan AC Mizal sebagai hos konsert mingguan. Bukan saja AC, malah Sarimah Ibrahim juga masih kekal sebagai hos bagi program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF7 manakala Reza Mohamed akan mengendalikan program Diari EXT AF7.

Barisan tenaga pengajar musim ini juga masih mengekalkan Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal persembahan, Fatimah Abu Bakar selaku guru motivasi dan Bahasa Inggeris serta Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal.

Tiga tenaga pengajar baru turut dipilih iaitu pelakon Ida Nerina sebagai guru lakonan, A.Aris Kadir yang mengambil alih tugas Linda Jasmine selama enam musim sebagai koreografer serta Hashridz Murshim atau Acis selaku Pengarah Muzik.

Empat belas finalis AF7 juga telah diumumkan pada program Tirai AF, Ahad lalu dan mereka adalah Mohd Yazid Ibrahim, Khairil Azam Pilus, Mohd Qhauhd Abdul Rashid, Mohd Rashidi Mohamad Isa, Ahmad Sobri Hasmuni, Mohd Hafiz Mohd Suip, Afiq Hakim Ahmad, Rubisa Tiasin, Claudia Fay Geres, Nas Adila Mohd Dan, Siti Aishah Bujang, Nur Fazelah Mohd Tahil, Zuzafrini Zulkifli dan Ismaliza Ismail.

Kesemua peserta ini akan membuat persembahan di konsert mingguan pertama pada 14 Mac ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan