Patung Kertas 2: Jalal curi peluang perbaiki kelemahan

Diterbitkan: Isnin, 9 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Jalaluddin Hassan bakal menerajui teater Muzikal Patung Kertas buat kali keduanya. -foto The Star oleh GLENN GUAN
Datuk Jalaluddin Hassan bakal menerajui teater Muzikal Patung Kertas buat kali keduanya. -foto The Star oleh GLENN GUAN

SELANG setahun selepas membintangi teater 'Muzikal Patung Kertas' buat pertama kalinya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), aktor Datuk Jalaluddin Hassan kembali beraksi di pentas menerusi teater tersebut mulai 23 April hingga 3 Mac depan di situ.

Dengan perasaan teruja dan gembira apabila menerima peluang kali kedua ini, aktor yang mesra dengan panggilan Jalal ini menganggapnya sebagai medan untuk menebus kelemahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya akui semasa pementasan yang pertama dahulu, banyak kelemahan yang telah saya lakukan kerana saya hanya sempat melakukan latihan kira-kira seminggu sebelum pementasan berlangsung disebabkan terikat dengan komitmen lain.

“Saya rasa tak adil pula untuk semua orang termasuk diri-sendiri.

“Insya-Allah, saya akan gunakan pengalaman dan kreativiti yang ada untuk mengatasi kekurangan sebelum ini.

“Saya juga sayang dan hormati rakan-rakan pelakon lain (mak nyah) dan teruja untuk berlakon buat kali kedua bersama mereka.

“Banyak yang saya pelajari daripada mereka dan menanti untuk pementasan ini.

“Begitu juga dengan Ashraf Muslim. Saya tak kisah meminta pendapat pelakon muda sepertinya untuk mencantikkan persembahan kami,” luah Jalal ketika majlis pelancaran Muzikal Patung Kertas musim kedua di MaTiC semalam.

Namun begitu, Jalal tidak mahu penonton meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk melihat kejayaan lakonannya sebagai Kak Kay atau Abang Long di dalam muzikal tersebut.

“Sekarang, saya turut terikat dengan beberapa pementasan lain seperti teater ‘Muzikal Ibu Zain’ pada 13 hingga 22 Mac di sini, Bangsawan ‘Semerah Padi’ (10 hingga 12 April) di Panggung Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Jadi, untuk Muzikal Patung Kertas kali ini, Insya-Allah saya akan perhalusi. Saya tak nak janji yang saya akan berikan komitmen 100 peratus dalam teater ini kerana bimbang sekiranya cakap saya hanya indah khabar dari rupa,” ujarnya yang cuba mempelajari cara melakonkan sesuatu watak, dan intonasi suara menerusi eksperimentasi sendiri.

Menyingkap sedikit daripada pengalaman lalu, Jalal berkata dia tidak mahu terlalu yakin ketika berada di atas pentas kerana bimbang sekiranya tiba-tiba sahaja sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku.

“Hendak menjadi pelakon ni, kita kena ikhlas. Mana tahu kalau kita terlalu yakin dengan apa yang kita lakukan, mungkin sekejap sahaja Tuhan akan tarik semula bakat yang kita ada.

“Kita perlu ingat yang bakat yang Tuhan kurniakan ibarat seinci sahaja dan kita perlu gunakan semua anugerah Tuhan ini dengan sebaiknya,” ulas Jalal.

Ketika Jalal berlakon di dalam pementasan yang pertama dahulu, ramai peminatnya yang teruja untuk melihat aksinya berpakaian perempuan dan melakonkan gaya seorang ‘mak nyah’ buat pertama kalinya.

Khabarnya, berita tentang pementasan tersebut turut tersebar sehingga kepada peminatnya di Singapura.

“Selepas muzikal tersebut dipentaskan, peminat dan kawan-kawan memberikan maklumbalas positif sehingga bertanyakan sama ada akan ada sekuel yang kedua atau tidak.

“Diikutkan kami ingin mementaskan muzikal musim kedua ini pada tahun lepas. Bukan itu sahaja, karyawan dari Singapura juga ada bertanya untuk mementaskan muzikal ini di sana pada tahun ini.

“Jadi, kami akan membawa mereka untuk menonton Muzikal Patung Kertas musim kedua ini di sini dahulu sebelum membawanya ke sana,” beritahunya yang berusia 55 tahun pada 27 Februari lalu dalam nada gembira.

Dalam pada itu, Ashraf yang sedang sibuk dengan pengambaran bagaimanapun belum pasti sama ada dia dapat menyertai pementasan ini atau tidak.

“Saya masih belum membuat apa-apa keputusan dan 50-50 kerana takut tidak dapat memberikan komitmen,” ujarnya ringkas kerana terpaksa bergegas ke lokasi pengambaran.

Muzikal Patung Kertas musim kedua yang diterbitkan oleh Bintang Emas Pictures (M) Sdn. Bhd. ini mengisahkan kembara seorang pemuda lembut, Adik Chu yang akhirnya menjadikan dia salah seorang kumpulan patung kertas (paper doll).

Semuanya bermula apabila hubungan akrabnya dengan Abang Long yang menjadi idola Adik Chu.

Melalui Abang Long, Adik Chu berkenalan dengan Adik Wan, Donny dan lain-lain anggota patung kertas di mana mereka berkongsi masalah dan pengalaman dalam mencari realiti kehidupan.

Melalui aktiviti patung kertas itu, mereka menganjurkan pertunjukan kebajikan untuk membantu pesakit-pesakit kronik hingga membawa perkenalan mereka dengan Abang Yus dan seorang kanak-kanak pengidap jantung.

Muzikal ini sekali lagi diarahkan oleh pengarah Lokman Ghani manakala skripnya ditulis juga kali kedua oleh penulis skrip Wahid Nasir.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan