Vanidah ada karektor yang 'dekat' dengan Mahsuri

Diterbitkan: Sabtu, 7 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Vee bersama Arja, yang membawakan watak Wan Darus - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN
Vee bersama Arja, yang membawakan watak Wan Darus - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN

TERCAPAI juga hasrat aktivis teater dan pelakon tersohor, Fauziah Nawi untuk menyunting pelakon jelita, Vanidah Imran memegang watak puteri legenda, Mahsuri di dalam teater arahannya itu yang bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 24 hingga 30 April depan.

Pada sidang media bulan lalu, Fauziah akui tertarik dengan kelembutan Vanida yang mesra disapa Vee itu dan dilihat menepati kriterianya untuk watak tersebut. Namun, ketika itu, Vee sendiri belum memberi kata putus kerana terikat dengan komitmen kerja yang lain.

Namun begitu, kerana perasaan teruja dan minat yang mendalam untuk membawakan watak lagenda popular itu, Vee akhirnya sanggup menghadiri sesi ujibakat yang diadakan baru-baru ini dan akhirnya watak Mahsuri itu berjaya menjadi miliknya.

Menganggap pemilihannya itu sebagai satu peluang keemasan, kata Vee, ada sesuatu tentang Mahsuri yang membuatkan pelakon berusia 34 tahun ini tertarik untuk menerokai watak itu.

"Sejak kecil lagi, memang saya tahu Mahsuri ialah lagenda. Tetapi, saya tidak tahu secara mendalam bagaimana sebenarnya sifat Mahsuri.

"Apapun, berdasarkan apa yang telah diberitahu oleh Ibu Fauziah, Mahsuri digambarkan sebagai seorang yang kuat agama, pandai mengaji, lemah-lembut, tabah dan dia mempunyai firasat yang kuat terhadap orang yang rapat dengannya, terutama suaminya.

"Sebab itu bila Ibu cakap saya mempunyai karektor yang 'dekat' dengan Mahsuri, saya rasa cukup terharu. Walaupun pernah berlakon teater sebelum ini, tetapi rasanya teater Mahsuri ini amat menggusarkan saya sebenarnya," kata Vee yang ditemui pada majlis pengumuman barisan pelakon teater Mahsuri di IB, semalam.

Selain Vee, turut membintangi teater ini ialah pendatang baru, Azharudin Ramli atau Arja yang memegang watak Wan Darus, suami kepada Mahsuri; Azman Md Hasan (Deramang) dan Azizah Mahzan (Wan Endah).

Senarai pelakon bagi watak-watak lain seperti Wan Mahura, ibu mertua Mahsuri masih lagi diteliti oleh tenaga produksi teater ini.

Selain Fauziah yang bertindak selaku pengarah, teater ini juga dibarisi oleh Rahimidin Zahari sebagai penulis skrip dan lirik, Irwan Ismadi selaku Pengarah Artistik, Mohd Yazid Zakaria sebagai Pengarah Muzik dan Iryanda Mulia Irwadi sebagai komposer.

Bercerita lanjut tentang watak Mahsuri itu, kata Vee, dia ketika ini sedang membuat persediaan dari segi vokal kerana perlu menyanyi di dalam teater tersebut.

Malah, tambah isteri kepada pelakon Rashidi Ishak ini, kemungkinan watak tersebut juga memerlukan dirinya bersilat, yang mana dianggap Vee sebagai satu kelainan dalam watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini sama ada menerusi drama mahupun filem.

"Takut juga macam mana nak kawal suara untuk menyanyi nanti. Nasib baik saya akan dilatih oleh guru vokal teater ini nanti.

"Tetapi, kadang-kadang ada juga saya cuba berlatih menyanyi di rumah...Shidi la yang akan kritik tentang vokal saya selalunya," kata Vee yang akan sibuk latihan teater ini bermula minggu depan dan pada masa yang sama perlu menjayakan teater Sirah Junjungan yang akan mula dipentaskan di IB, Isnin ini.

Walaupun sibuk membahagikan masa antara dua teater tersebut, kata Vee, dia bagaimanapun amat berpuas hati kerana bagi ibu kepada dua orang anak ini, dia sememangnya seronok dapat beraksi di pentas teater.

Ujar Vee, dia sanggup menolak tawaran berlakon lain yang lebih 'besar' bayarannya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap teater ini.

"Sejujurnya, saya lebih seronok berlakon teater. Lagipun, bukan mudah untuk dapat peluang berlakon teater yang mampu berikan kepuasan sepenuhnya.

"Tanggungjawab berlakon teater cukup berat. Ketepikan dulu soal bayaran, kerana apa yang saya lakukan ini adalah berdasarkan minat. Bagi saya, teater adalah tempat saya membaiki apa yang kurang dalam lakonan saya.

"Peluang dapat bekerja dengan Ibu Fauziah memang sudah lama saya nantikan dan saya tahu dia memang cukup 'demanding' untuk memastikan yang terbaik," kata Vee yang pernah membintangi teater Wangi Jadi Saksi kira-kira dua tahun lalu.

Ditanya tentang gandingannya dengan pendatang baru, Arja, yang membawakan watak Wan Darus, kata Vee, dia tidak menghadapi masalah bekerja dengan pelakon baru apatah lagi bila melihat Arja juga mempunyai kebolehan lain seperti menyanyi dan menari.

"Saya baru dua hari mengenali Arja dan saya rasa dengan bakat yang dia ada, kami boleh bertukar-tukar tips. Dia boleh memberi tunjuk ajar kepada saya dari segi nyanyian dan tarian manakala saya pula mungkin boleh membantunya serba-sedikit dari aspek lakonan," tutur Vee.

Katanya, watak Wan Darus itu sebenarnya ditawarkan kepada Rashidi sendiri, tetapi suaminya itu terpaksa menolak kerana belum bersedia dan sibuk dengan komitmen lain.

"Mungkin orang melihat lebih senang jika Shidi saja yang bawakan watak Wan Darus kerana dalam teater ini juga ada adegan-adegan mesra Mahsuri dan suaminya.

"Tetapi, Shidi sangat 'sporting'. Lagipun babak-babak itu pun bukannya melampau kerana kita perlu sesuaikan juga dengan karya klasik Melayu kita ini," tambah Vee.

Dalam pada itu, Arja juga turut melahirkan perasaan gementarnya kerana perlu bergandingan bersama pelakon sehebat Vee, apatah lagi watak Wan Darus juga merupakan watak utama teater ini.

"Amat jauh sebenarnya taraf antara saya dan Vee. Tetapi saya memang berterima kasih kepada Ibu Fauziah yang mungkin nampak bakat saya dan beri peluang untuk saya cuba.

"Sebagai orang baru, saya akan cuba buat sebaik mungkin," kata jejaka berusia 25 tahun ini yang sebelum ini juga pernah terlibat di dalam Puteri Gunung Ledang The Musical pada musim pertama sebagai 'stand-in' watak Hang Tuah.

Arja juga aktif dalam bidang nyanyian dan pernah menyertai program realiti Gangstarz bersama kumpulan Equal Starz, Audition, Akademi Fantasia 6 (top 25) dan Malaysian Idol musim kedua (top 20).

Arja juga sudah menghasilkan sebuah single berjudul Rasa Seorang Lelaki yang kini sudah mula diputarkan di beberapa saluran radio.

Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100 untuk menyaksikan teater Mahsuri ini boleh didapati di kaunter Box Office Istana Budaya atau menerusi talian di 03-4149 8600. Ia juga boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.biz

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan