'Anu Dalam Botol' bukan filem 'blue', kata Raja Azmi

Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERDASARKAN temubual yang dibuat dengan produser Raja Azmi Raja Sulaiman mengenai filem terbarunya, ‘Anu Dalam Botol’, beliau seolah-olah memberikan ‘lampu hijau’ kepada golongan ‘gay’ membuat hubungan songsang itu.

Persoalannya, bagaimana beliau boleh menghalalkan hubungan seks yang bakal dipaparkan dalam filem ini tanpa memikirkan kesan negatif yang bakal tercetus kepada penonton.

Bagi Raja Azmi, tafsiran mengatakan filem tersebut bakal mengundang maksiat adalah tidak tepat.

“Maksiat berlaku di mana-mana dan ia akan berlaku kalau tidak ditonton.

“Filem ini boleh mendatangkan maksiat jika menunjukkan persembahan atau lakonan ‘terlampau’.

“Kalau terlampau kita kategorikan ia sebagai filem ‘blue’ namun filem ini bukan filem ‘blue’.

“Tetapi, gambarannya lebih kepada bagaimana sepasang lelaki sejenis itu bercinta,” jelas Raja Azmi mengenai filem yang sudah mula mengundang kontroversi akibat tajuknya itu.

Apabila diajukan tentang kriteria pelakon yang bakal membawakan watak ‘gay’ iaitu Ghaus dan Rubidin, Raja Azmi berkata pelakon yang mempunyai ciri-ciri seorang ‘gay’ tidak semestinya mudah untuk mendapat watak tersebut.

“Setakat ini, kita masih mencari pelakon utama filem ini di mana setakat ini kita baru ada sembilan orang yang menghadiri uji bakat.

“Tetapi, tidak semestinya mereka yang sudah menghadiri uji bakat itu tidak akan terpilih.

“Saya tak berani nak cakap siapa yang menonjol dalam uji bakat setakat ini kerana kita akan senaraipendek pelakon menerusi uji bakat seterusnya.

“Lima daripada 20 orang yang menghadiri uji bakat pertama itu akan menjalani uji bakat terbuka di hadapan publik dan dua daripada mereka akan dipilih menerusi suara ramai.

“Uji bakat kedua ini akan diadakan pada 15 Mac ini di pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang.

“Kami inginkan seorang pelakon yang betul-betul boleh menjiwai watak supaya penonton dapat merasai pahit maung yang dideritai oleh ‘gay’ itu,” kata Raja Azmi.

Tambah Raja Azmi, melalui gambaran cerita yang diberikan, pengakhiran filem itu tidak semestinya akan memaparkan ‘anu’ secara betul-betul.

“Kita akan buat pelakon itu seolah-olah merenung ‘anu’ tetapi sebenarnya dia memandang benda lain.

“Kita akan fokuskan renungannya yang penuh penyesalan. Jadi, pelakon itu perlu mempunyai jiwa yang kental kerana filem ini akan bermain dengan emosi dan melakonkan kehidupan sebenar seorang ‘gay’.

“Kita akan paparkan kehidupannya dari sisi gelap dan terang melalui pergerakan dan wajahnya,” cerita Raja Azmi mengenai skrip filem yang ditulis olehnya sejak 2007 dan dijangka berdurasi 90 minit itu.

Di sebalik penghasilan filem itu, Raja Azmi menanamkan niatnya untuk ‘berdakwah’ tanpa menghiraukan kegagalan filem-filemnya sebelum ini.

Antara filem yang pernah diterbitkan oleh Raja Azmi adalah Black Widow, Cinta 200 Ela, dan Haru Biru.

“Saya dah lali dengan filem saya yang tidak ‘laku’. Saya tak kisah lagi tentang ‘box-office’.

“Saya hanya hendak berdakwah menerusi filem ini. Saya harap filem ini akan dapat tunaikan niat saya itu. Kalau filem ini mendapat sambutan, Alhamdulillah.

“Harap-harap ada orang yang menonton,” akhiri Raja Azmi yang memasang angan untuk membawa filem ini menempa kejayaan seperti filem ‘Slumdog Millionaire’ di Anugerah Academy ke-81 baru-baru ini.

Ady Putra ingin cuba kelainan

Sebelum ini, pelakon Ady Putra, Fauzi Nawawi dan Iqram Dinzly, Calvin Lau, Mers (model dan pelakon drama Cina), Arja Lee, Kefli AF, Jessie Lim dan adik pelakon Zulhuzaimi, Firdaus telah menghadiri ujibakat filem Anu Dalam Botol secara tertutup di pejabat Finas.

Uji bakat itu dikendalikan oleh pengarah filem itu, Shadan Hashim bersama Adlin Aman Ramlie selaku pengarah uji bakat.

Di dalam uji bakat itu, Ady diminta membuat gerak-geri dan beraksi seperti seorang wanita, cara tenungan dan diuji dari segi dalaman.

“Agak berlainan sebab saya sudah diubah menjadi wanita dan bukan senang untuk membawakan watak seorang wanita.

“Saya rasa kalau betul-betul tak cukup pengalaman, agak sukar juga kerana saya bukan merupakan golongan ‘gay’.

“Cabaran yang paling besar kerana susah untuk kita yakinkan penonton dan ‘transform’ menjadi seorang wanita,” ulas Ady yang menganggap penting untuk dia ‘memberi’ dan ‘menyampaikan’ apa yang dimahukan.

Bagi Ady, dia membuat keputusan untuk berlakon dalam filem itu kerana ia memberikan satu kelainan kepada watak yang pernah dilakonkan olehnya sebelum ini.

Menurut Ady, dia menganggap tajuk filem itu sebagai satu tarikan yang lain dan ‘gay’ sebagai suatu yang relatif.

“Kalau kita nak letakkan ‘gay’ sebagai persepsi, mungkin mereka yang ‘gay’ dan tidak ‘gay’ akan memberikan pandangan yang berbeza.

“Jadi, saya ambil kenyataan dan hakikat sebenar yang terjadi dan wujud dalam dunia zaman sekarang sejak dahulu lagi.

“Bagi saya benda ni normal,” terang Ady yang pertama kali mengenakan pakaian wanita ketika sesi uji bakat itu.

Apabila diaju tentang respons orang lain termasuk isteri dan keluarganya, Ady berkata:

“Alhamdulillah, mereka memberikan komen yang positif dan bertanya bila saya nak mula pengambaran filem itu seolah-olah saya sudah terpilih untuk melakonkan watak itu.

“Jadi, saya tak berani nak kata apa-apa sebab kata putus terletak di tangan pihak produser.”

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan