Mampukah peserta AF7 bawa transformasi?

Diterbitkan: Rabu, 4 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dua puluh peserta yang terpilih untuk AF musim ini, sebelum disenaraipendek untuk beraksi di konsert mingguan AF7 bermula 14 Mac ini - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Dua puluh peserta yang terpilih untuk AF musim ini, sebelum disenaraipendek untuk beraksi di konsert mingguan AF7 bermula 14 Mac ini - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

DUA puluh peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) akhirnya telah pun diumumkan pada sidang media khas semalam. Ternyata pemilihan peserta-peserta musim ini cukup variasi; bukan saja disertai oleh penyanyi tempatan, malah bekas peserta kelahiran program realiti tempatan juga adalah antara wajah-wajah yang dapat disaksikan menerusi program popular ini.

Penyanyi Nas Adila serta tiga bekas peserta program realiti iaitu Khairul Azam Pilus daripada program Gangstarz yang juga merupakan adik kepada penyanyi Izwan Pilus; Abraham Edwin Dungot, daripada program One In A Million (OIAM) musim kedua dan Rubisa Tiasin, peserta kelahiran My Starz LG adalah antara peserta yang berjaya terpilih.

Turut berjaya ialah isteri kepada pelakon Ezany, Lizda Nuryanti Abidin serta kakak kepada vokalis kumpulan New Boyz, Tomok iaitu Ismaliza Ismail yang juga isteri kepada bekas anggota kumpulan 2 By 2, Zul.

Peserta-peserta lain yang berjaya melayakkan diri sebelum disenaraipendek untuk beraksi di Konsert Mingguan AF7 bermula 14 Mac ini ialah Siti Aishah Bujang dari Kuching, Sarawak; Cabrine Blaire Bernard Solibun (Kota Kinabalu), Claudia Fay Geres (Kuching), Alpaezah Manaf (Keningau), Zuzafrini Zulkifli (Kajang), Nurfazelah @ Zizie Tahil (Semporna, Sabah), Afiq Hakim Ahmad (Johor Bahru), Abd. Hamim Suleiman (Johor Bahru), Mohd. Hafiz Mohd. Suip (Kuching), Kelana Ayu (Bintulu), Ahmad Sobri Hasmuni (Johor Bahru), Mohd. Qhauhd Abd. Rashid (Selangor), Mohd. Rashidi Mohamad Isa (Ipoh) dan Mohd. Yazid Ibrahim (Johor Bahru).

Lebih menarik, musim ini juga mencipta rekod tersendiri dengan penyertaan lebih ramai peserta yang sudah berkahwin, berbanding musim-musim terdahulu yang rata-ratanya hanya mempunyai seorang atau dua peserta saja yang telah berkahwin.

Selain Ismaliza dan Lizda, empat peserta musim ini yang telah pun mendirikan rumahtangga ialah Rubisa, Mohd. Rashidi, Kelana Ayu dan Claudia.

Kesemua 20 peserta ini sedang mengikuti kursus orientasi selama seminggu dan senarai peserta yang layak menjadi finalis AF7 akan diumumkan pada Tirai AF7 yang akan disiarkan pada Ahad ini, pukul 9 malam di Astro Ria.

Seramai 12 hingga 14 peserta akan dipilih untuk bergelar finalis AF musim ini yang menampilkan tagline 'satu transformasi akan berlaku'.

"Melalui pemerhatian pihak produksi sejak sesi ujibakat pada awal Januari lalu, kami dapat melihat sambutan yang amat memberangsangkan dari semua pihak bagi menjayakan AF7.

"Di sepanjang sesi ujibakat yang telah berlangsung di empat buah negeri, kami berjaya meraih lebih dari 9000 penyertaan dan ini merupakan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan berbanding pada musim-musim lepas.

"Seperti yang semua sedia maklum, tahun AF telah menyuntik elemen perubahan apabila menjemput golongan artis dan warganegara Singapura untuk menyertai pertandingan realiti ini di samping mengekalkan had umur 18 hingga 45 tahun.

"Apapun, 20 calon pelajar yang terpilih ini merupakan yang terbaik di antara yang terbaik. Namun, hanya sejumlah pelajar yang benar-benar menonjol akan menerima transformasi selepas pengumumannya pada program Tirai Akademi Fantasia 7 nanti," kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul.

Mengulas tentang pemilihan barisan peserta musim ini, kata Khairul, mereka terpilih berdasarkan penilaian yang dibuat menerusi kriteria-kriteria tertentu seperti kebolehan menyanyi dengan baik serta mempunyai personaliti yang baik.

"Daripada 9000 penyertaan, kami 'shortlist'kan kepada 500 orang, kemudian 200 dan seterusnya 50 orang. Di peringkat ini sebelum kami memilih 20 peserta terbaik, pihak produksi membuat penilaian berdasarkan asas-asas tertentu.

"Peserta yang kami fikir mempunyai potensi untuk menyerlah dan sekaligus memenangi AF, kami akan pilih, tidak kira statusnya sebagai penyanyi atau pun tidak.

"Kami menilai peserta itu berdasarkan kemampuan diri mereka, tanpa melihat dari mana asal mereka atau faktor usia. Tidak ada kuota dari segi itu.

"Malah, kita turut memilih seorang peserta yang berusia 40 tahun, Kelana Ayu kerana merasakan dia layak untuk mara ke peringkat seterusnya.

"Begitu juga dengan penyertaan dari Singapura. Saya tidak nafikan, ada lebih kurang 60 warga Singapura hadir pada sesi ujibakat tempoh hari, tetapi seperti saya katakan tadi, kita menilai mereka berdasarkan bakat," kata Khairul.

Berbicara mengenai 'transformasi' yang ingin dilakukan menerusi peserta-peserta musim ini, kata Khairul, walaupun 'mempertaruhkan' beberapa bekas peserta realiti yang mungkin dilihat kurang menonjol ketika menyertai program realiti masing-masing sebelum ini, namun, dia yakin mereka mempunyai bakat hebat dan mampu digilap dengan baik.

"Penonton boleh saksikan sendiri bakat peserta-peserta ini pada Tirai AF7 bermula 7 Mac ini, sebelum mereka disenaraipendek. Bagi saya, mereka ini mempunyai mutu vokal serta karektor yang baik.

"Berilah mereka peluang untuk buktikan kemampuan mereka," kata Khairul yang menambah kemungkinan akan menjemput artis-artis AF sebelum ini menyertai 'team' produksi AF7 untuk memberikan tips berguna buat peserta-peserta itu di Akademi kelak.

Dalam pada itu, mengulas tentang jawatan Pengetua yang masih menjadi teka-teki sehingga kini, kata Khairul, pihak produksi telah pun memilih individu yang dilihat layak memegang kerusi tersebut.

Namun, kata Khairul, buat masa ini nama itu belum dapat didedahkan bagi mengekalkan elemen kejutan program tersebut.

"Pada awalnya memang kami rancang untuk umumkan nama Pengetua pada hari ini.

"Tetapi setelah berbicang semula, kami rasa lebih sesuai jika kami tampilkan Pengetua itu buat pertama kali di dalam program Diari AF pada 9 Mac ini, pada jam 9 malam," kata Khairul yang enggan mengulas lanjut tentang jawatan 'panas' itu.

Musim terbaru AF ini masih mengekalkan AC Mizal sebagai hos konsert mingguan. Bukan saja AC, malah Sarimah Ibrahim juga masih kekal sebagai hos bagi program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF7 manakala Reza Mohamed akan mengendalikan program Diari EXT AF7.

Barisan tenaga pengajar musim ini juga masih mengekalkan Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal persembahan, Fatimah Abu Bakar selaku guru motivasi dan Bahasa Inggeris serta Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal.

Tiga tenaga pengajar baru turut dipilih iaitu pelakon Ida Nerina sebagai guru lakonan, A.Aris Kadir yang mengambil alih tugas Linda Jasmine selama enam musim sebagai koreografer serta Hashridz Murshim atau Acis selaku Pengarah Muzik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan