Jamal masih tunggu Siti

Diterbitkan: Selasa, 3 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jamal Abdillah memasang niat untuk berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza.
Jamal Abdillah memasang niat untuk berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza.

ADA ura-ura mengatakan penyanyi Jamal Abdillah mengidam untuk berduet dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin namun penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini belum menyatakan persetujuannya.

Sama ada ya atau tidak, Jamal dikatakan masih menantikan Siti.

“Saya kagum dengan suara Abang Jamal. Saya juga sudah banyak kali bekerjasama dengannya dalam beberapa persembahan pentas.

“Tentang permintaan Abang Jamal itu, saya belum boleh memberikan jawapannya kerana semuanya bergantung dengan masa,” beritahu Siti tanpa berselindung.

Idam buat konsert berkonsep kerohanian

Sebelum ini Siti juga pernah berkata yang beliau bercita-cita untuk membuat sebuah konsert berkonsepkan lagu-lagu Irama Tradisional.

Baru-baru ini, memandangkan beliau diundang oleh Rabbani Production Sdn. Bhd. untuk menjayakan Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1430H, penyanyi yang baru sahaja kematian bapa tersayang ini meluahkan hasratnya untuk menganjurkan konsert bercorak kerohanian pula.

Ketika terlibat di dalam konsert bersempena memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W itu, Siti telah mengalunkan dua buah lagu solo iaitu ‘Ketika Cinta’ yang merupakan lagu tema filem Indonesia, ‘Perempuan Berkalong Serban’ dan lagu lama yang dipetik dari album ‘Safa’, ‘Kudus Sinarmu’ serta lagu duet bersama Rabbani dan berselawat beramai-ramai.

Mereka yang turut serta adalah Amy Search, Mawi, Ustaz Akhil Hayy dan Ustazah Datuk Siti Norbahyah.

Selain itu, Siti pada mulanya tidak bersedia untuk menyanyi selepas pemergian ayahandanya namun akhirnya bersetuju juga disebabkan beliau perlu menyanyikan lagu bercorak dakwah dan ketuhanan.

Kata Siti, beliau mungkin bersedia untuk menyanyikan lagu rancak dan bukan bercorak kerohanian selepas 40 hari pemergian arwah bapanya, Tarudin Ismail.

“Buat masa ini, saya seperti tidak bersemangat untuk menyanyi tetapi jika melibatkan persembahan yang bercorak keagamaan, mungkin saya akan menerimanya.

“Selepas saya terlibat dengan Konsert Malam Sinar Maulidurrasul, saya akan terlibat dengan teater Muzikal Sirah Junjungan pula.

“Saya akan membuat penampilan khas di dalam muzikal itu sebagai penyanyi undangan. Saya perlu berselawat ke atas Rasulullah dan menyanyikan lagu Impian Rasulullah serta membuat persembahan berkait dengan sejarah baginda.

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat di dalam Muzikal Sirah Junjungan. Saya menerimanya kerana hubungan baik antara saya dan Kak Erma Fatima serta persembahan ke arah dakwah.

“Lagipun, jualan tiket muzikal ini akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa.

“Insya-Allah, selepas ini saya akan membuat konsert bercorak kerohanian pula tetapi peluang tak tahu bila,” ulas Siti.

Buku biografi 15 tahun dalam bidang seni tahun depan

Seiring dengan perjalanan karier seninya yang bakal mencecah 15 tahun pada tahun depan, Siti juga akan menerbitkan sebuah buku biografi mengenai dirinya.

“Buku tersebut lebih berkaitan tentang kisah hidup saya dari kecil hingga sekarang termasuk perjalanan karier saya dari mula-mula dahulu.

“Buku itu ditulis oleh kakak ipar saya, Kak Rozi Abdul Razak,” jelas Siti mengenai serba-sedikit tentang buku biografi itu.

Syukur tercalon top 5 ABPBH2008

Ternyata Siti masih berjaya mengekalkan popularitinya apabila beliau tercalon di dalam top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

“Alhamdulillah, syukur kerana saya masih mempunyai rezeki untuk mendapat top 5 dalam ABPBH. Jika tiada pun, bukan bermakna saya akan berundur sebaliknya saya perlu lebihkan usaha,” ulasnya ringkas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan