Kehangatan 'Konsert Alam Muzik M. Nasir' yang syahdu dan sentimental

Diterbitkan: Sabtu, 28 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Persembahan 'pantomin' kurang menarik perhatian penonton. -foto The Star oleh SAMUEL ONG
Persembahan 'pantomin' kurang menarik perhatian penonton. -foto The Star oleh SAMUEL ONG

PELBAGAI elemen menarik boleh dipertontonkan dalam Konsert Alam Muzik M. Nasir mulai hari ini selama tiga malam berturut-turut.

Penyanyi, komposer dan pelakon ini secara keseluruhannya mampu menghiburkan para penonton yang hadir menyaksikan konsert di Istana Budaya itu nanti.

Semalam, penulis sempat menonton persembahan ‘full dress rehearsal’ dan pratonton konsert tersebut.

Melalui persembahan itu, penyanyi Mohamad Nasir Mohamad atau M. Nasir, 52, telah berjaya membuktikan yang beliau mampu membuat konsert solo tanpa bantuan artis jemputan.

Antara yang menjadi tarikan penonton adalah gimik permulaan yang memaparkan sekujur tubuh manusia di layar skrin.

Menariknya, tubuh yang merengkok itu berkumat-kamit mengikut alunan suara M. Nasir ketika beliau menyanyikan lagu pembukanya.

Lama-kelamaan tubuh itu menghilang dan barulah penyanyi yang digelar sebagai ‘Sifu’ ini muncul di depan khalayak.

Seterusnya, M. Nasir membawakan satu kumpulan ‘pantomin’ yang mengaitkan persembahan itu dengan lagu bersifat kemanusiaan itu.

Namun begitu, kumpulan ‘pantomin’ itu seolah-olah ‘menyemakkan’ mata penulis yang dirasakan jika tiada pun tidak mengapa.

Bercakap tentang senarai pemilihan lagunya, M. Nasir juga menyanyikan lagu-lagu bersifat keamanan dan kemanusiaan selaras dengan matlamat konsert ini yang turut menyumbang kepada dana amal untuk Gaza.

Konsert ini juga diadakan bersempena meraikan 30 tahun penglibatannya di dalam industri dan menggambarkan perjalanan seni M. Nasir yang berwarna-warni.

M. Nasir juga pandai membeli hati penonton dengan menghidangkan lagu-lagu popularnya seperti Raikan Cinta, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Suatu Masa, Ada, Di Balik Cermin Mimpi, Falsafah Cinta, Pheonix Bangkit dan Keroncong Untuk Ana.

Sebelum ini, M. Nasir pernah mengatakan lagu-lagu yang dinyanyikan olehnya itu kebanyakannya adalah lagu pemintaan yang disenaraikan oleh peminatnya di laman web FaceBook.

Oleh itu, M. Nasir turut menyanyikan lagu Gong Impian, Hati Emas, Rajawali Terbang Tinggi, Dah Lagu Tu, Bukalah Hatimu, Balada Seorang Teman, Langgam Pak Dogo, Keroncong Nostradamus, dan Sahabat Gua.

Konsert selama dua jam itu berlangsung tanpa henti dengan nyanyian 17 buah lagu dari M. Nasir.

Hanya sekali-sekala dia akan berbual mesra dengan penonton sementara menunggu masa untuk menyampaikan lagu seterusnya.

Dengan bantuan band yang diketuai oleh pemuzik Nan dan dianggotai oleh 10 orang pemuzik profesional itu, penulis mula merasakan kehangatan konsert selepas setengah jam berikutnya.

Ketika M. Nasir menyampaikan lagu berentak syahdu dan sentimental, terus suasana di dalam Panggung Sari, Istana Budaya itu bertukar sepi dan penonton bagaikan sedang menghayati setiap bait lirik serta alunan lagu yang dipersembahkan.

Apabila lagu rancak berkumandang, panggung diselubungi suasana ceria dan kebanyakan penonton bertepuk tangan mengikuti rentak lagu.

Paling menggamatkan suasana apabila tiga wanita berbadan 'montel' menari-nari tarian Jawa ketika M. Nasir menyanyikan lagu ala Jawa.

Ada yang bersorak mesra, melaung-laung memanggil nama ‘Sifu’ dan pelbagai suara lagi yang bergema sehingga menggamatkan keadaan di dalam panggung itu.

Dari situ, wujudlah suatu ‘intimasi’ yang diinginkan oleh pengasas kumpulan Kembara pada tahun 80-an ini.

M. Nasir juga pandai mengaplikasikan skrin berwajah awan berarak yang kadangkala berwarna biru dan sekali-sekala berubah warna kepada kelabu.

Layar putih itu juga memaparkan flora hijau, bunga-bungaan serta air yang mengalir senada dengan alunan lagu sekaligus membuatkan hati penonton lebih menghayati lagu yang didendangkan olehnya.

Bukan itu sahaja, suami kepada pelakon Marlia Musa ini juga menghias pentas dengan gantungan fauna (haiwan) seperti siput dan cengkerang yang dilukis secara satu-persatu.

Segala keindahan yang dicetuskan dalam konsert ini dianggap tidaklah keterlaluan dan sedap mata memandang.

Pujian harus diberikan kepada penyanyi Usop Kopratasa yang bertindak selaku pereka pentas konsert ini.

Selain itu, variasi genre muzik yang dimainkan turut menghiburkan penonton. Misalnya, lagu yang mempunyai unsur muzik Jawa, lagu berloghat Kelantan, bernada keroncong, dan funky dinyanyikan untuk santapan para penonton.

Ia sekaligus mengabulkan niat M. Nasir untuk melihat semua penonton menikmati persembahannya mengikut perkembangan muzik yang berubah-ubah bermula daripada zaman sentimentalisma, lagu-lagu kerakyatan, lagu-lagu rock, ‘Malaysia world beat’ dan ‘hip hop’.

Sebelum ini, M. Nasir telah banyak menjayakan puluhan konsert mega seperti Malam Bonda M. Nasir di UKM pada tahun 1994, Konsert Canggung M. Nasir di Johor Bahru, 1995, Konsert Akar Manifestasi Akustika M. Nasir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 1995, Konsert M. Nasir Crossing Uk’ 97 di Manchester, 1997 dan Konsert Gembala M. Nasir di Harbour Pavilion, Singapura, 1999.

Dengan pengalaman yang dihimpunnya sebelum ini, maka tidak hairanlah jika dia mampu menyanyikan lagu dengan penuh bertenaga dan dalam masa yang sama mendapat bantuan vokal daripada empat orang penyanyi latar.

Mulai malam ini sehingga 1 Mac, barulah penonton mula menyerbu konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu.

Bagi yang sudah membeli tiket, jangan lupa untuk menyaksikan persembahan M. Nasir yang turut menyanyikan lagu yang diciptanya untuk penyanyi lain.

Antara puluhan lagu ciptaan M. Nasir yang dinyanyikan oleh penyanyi lain adalah Hati Emas nyanyian Kembara, Hingga Akhir Nanti (Alleycats), Sekuntum Mawar Merah (Alleycats), Fantasia Bulan Madu (Search), Istana Menanti (Rahim Maarof), Sejati (Wings), Dari Kekasih Kepada Kekasih (Hattan), Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Aduh Saliha (Mawi).

Namun begitu, M. Nasir berkata dia hanya akan menyanyikan lagu yang bersesuaian dengan suaranya.

Dimaklumkan, tiket masuk konsert untuk tiga malam itu telah habis dijual. Tahniah buat M. Nasir, penganjur Boxoffice Malaysia Sdn. Bhd. dan Istana Budaya atas kejayaan konsert ini sekaligus mengumpul banyak kutipan hasil jualan tiket yang dijual pada harga RM45, RM85, RM150, RM200 dan RM 250.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan