'Saya tidak akan ambil hak orang'

Diterbitkan: Jumaat, 27 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Betty kesal dengan dakwaan kononnya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Betty kesal dengan dakwaan kononnya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

AGAK lama juga tidak mendengar perkembangan terbaru penyanyi dan pelakon kacukan Arab-Melayu-Jawa ini. Sesekali, wajahnya dapat dilihat menghiasi drama-drama di kaca televisyen. Namun, perkhabaran yang diterima baru-baru ini kononnnya Betty Banafe telah pun berkahwin dan menjadi isteri kedua kepada seorang kerabat cukup mengejutkan banyak pihak.

Diajukan tentang perkara itu, Betty hanya tersenyum sambil termenung sejenak. Tidak mudah melatah dengan isu itu, luah Betty, dia sama sekali tidak tahu bagaimana kisah tersebut boleh tercetus.

Menyangkal dirinya belum lagi berkahwin, selebriti berusia 30 tahun ini bagaimanapun mengakui dirinya memang sedang berkawan rapat dengan seseorang.

Namun, tegas Betty, dia tidak pernah lupa akan prinsip hidupnya untuk tidak mengambil 'hak' orang lain.

"Memang dari dulu saya telah tanam dalam hati saya untuk tidak mengambil 'hak' orang. Sejujurnya, kalau boleh saya tidak mahu berkasih dengan suami orang. Kalau saya nak, dari dulu lagi saya boleh buat memandangkan kebanyakan lelaki yang saya kenal dulu juga ialah suami orang.

"Tetapi saya memilih untuk tidak berbuat demikian. Seboleh mungkin, saya tidak mahu suami orang atau golongan VIP. Sudah banyak kali juga sebenarnya saya 'terkena' dengan golongan VIP dan VVIP walaupun mereka itu masih bujang

"Kalau boleh, saya hanya mahukan orang 'biasa-biasa' saja," kata Betty ketika ditemui pada majlis ramah-mesra bersama barisan pelakon drama bersiri slot Samarinda, Yusuff, di Bangsar, semalam.

Menurut Betty, kegagalan dalam percintaan sebelum ini banyak mengajar dirinya untuk lebih berhati-hati mencari pasangan hidup dan tidak hanya mengejar golongan yang mempunyai nama dan kemewahan sehingga dituduh sebagai perampas kebahagiaan rumahtangga orang.

"Saya akui, saya selalu berdepan dengan masalah cinta. Ramai lelaki yang saya jumpa kebanyakannya adalah 'fake'. Saya sering rasa diri saya ini sebagai 'display' supaya mereka juga turut glamor.

"Saya bukan nak seseorang itu kerana pangkat, jauh sekali kerana kemewahan. Saya hanya mahu seseorang yang kaya dengan hati budi. Tetapi saya tidak tahu mengapa yang sering datang pada saya ialah golongan seperti ini.

"Saya pernah putus cinta dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Sebab itu, saya lebih suka mencari lelaki yang biasa saja," kata Betty, jelas terpancar riak kecewa di wajahnya.

Namun begitu, Betty tidak mahu bercerita lanjut tentang jejaka yang sedang didampinginya kini. Bagi pelakon yang pernah melonjak namanya menerusi filem Buai Laju-Laju ini, dia lebih senang agar kisah peribadinya tidak terlalu didedahkan.

"Saya tidak mahu bercakap banyak tentang hal ini, sebab saya sudah banyak kali kecewa kerana cinta. Bagi saya, selagi belum ada apa-apa ikatan, saya masih bebas untuk terus 'mencari' dan saya rasa itu tidak salah.

"Apapun, setiap hubungan yang saya lalui, saya akan mendapatkan restu ibu terlebih dahulu. Dialah yang banyak memberikan nasihat kepada saya.

"Kita hanya mampu berusaha, tetapi apa yang terjadi pada masa depan adalah ketentuan Allah," kata Betty yang menambah, dia juga perlu berulang-alik ke Johor untuk melawat ibunya yang sedang sakit kerana menghidap ketumbuhan di otak.

Bercerita tentang keadaan ibunya ketika ini, kata Betty, walaupun dia sibuk menjalani penggambaran drama, dia tidak pernah lupa tanggungjawabnya untuk menjenguk ibu tercinta apatah lagi melihat kesengsaraan ditanggung ibunya.

"Saya memang risau melihat keadaan dia...dia cepat lupa apa yang dia buat gara-gara 'tumour' yang dihidapinya itu. Saya hanya mampu berserah kerana ketumbuhan itu nampaknya tidak boleh dibuang menerusi pembedahan.

"Sekarang ini dia berada di bawah jagaan ibu saudara saya. Memandangkan saya turut menghantar anak angkat saya bersama pengasuhnya pulang ke Johor, jadi ramailah juga jadi peneman ibu," kata Betty dalam nada sayu.

Bakal tampil album kedua

Beralih kepada kisah kariernya pula, Betty yang pernah menghasilkan album sulungnya, Ibtisam kira-kira dua tahun lalu kini sedang di dalam proses mengumpul material bagi album keduanya.

Namun, katanya, buat permulaan, dia akan tampil dengan sebuah single terlebih dahulu untuk melihat sambutan ramai.

"Sekarang ini sudah ada empat buah lagu, tetapi hanya sebuah lagu saya yang telah saya rakamkan. Insya-Allah, saya rancang untuk keluarkan single di radio dulu dan berkemungkinan akan muncul dengan album mini kemudiannya.

"Apa yang pasti, konsepnya kali ada sedikit kelainan. Saya banyak masukkan elemen muzik yang saya sudah biasa dengar dan nyanyikan seperti etnik Jawa.

"Apapun, album ini mungkin akan siap pada tahun ini juga," kata Betty.

Berbicara tentang bidang lakonan pula, Betty kini baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri 25 episod berjudul Yusuff, arahan Hitler Zami dan akan ditayangkan di TV3 menerusi slot Samarinda bermula 4 Mac ini.

Drama yang diinspirasikan dari kisah Nabi Yusuf ini menampilkan pelakon-pelakon seperti Ashraf Muslim, Zarynn Min, Datuk Jalaluddin Hassan, Abby Abadi, Intan Sarafina, Puteri Fateen dan Zed Zaidi.

"Cerita ini memang cukup menarik sebenarnya. Walaupun ia diinspirasikan dari kisah Nabi Yusuf, tetapi ia diolah dalam gaya cerita yang moden.

"Dan dalam drama ini, saya memegang watak Zahila, ibu tiri kepada Yusuff, lakonan Ashraf. Menariknya, Zahila jatuh hati pada Yusuff apatah lagi perbezaan umur mereka tidak jauh beza.

"Walaupun Zahila sudah berkahwin, tetapi dia merasakan Yusuff adalah cinta sejatinya. Tetapi Yusuff tidak dapat menerima cinta itu kerana Zahila adalah ibu tirinya walaupun dalam dirinya juga turut terdetik perasaan itu," cerita Betty.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan