My Starz LG 2: Wana sedia ikat kontrak dengan Warner Music

Diterbitkan: Isnin, 23 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lambaian seorang juara..Wana menjuarai My Starz LG. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Lambaian seorang juara..Wana menjuarai My Starz LG. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

TERTULIS sudah bahawa pengalaman yang ditimba oleh Noriezuana Syed Shafudin atau Wana, 23, di dalam bidang seni sebelum ini bukanlah sia-sia bilamana dia berjaya mengungguli takhta juara My Starz LG musim kedua sekaligus menewaskan tiga peserta lain.

Mereka adalah Wann Nashrinie Zafri atau Nashrin, 20, (naib juara), Cassandra Daniel Manja, 23, (tempat ketiga), dan Mohd. Hairi Kenneith atau Hairi, 20, (tempat keempat).

Sebelum ini, Wana mempunyai pengalaman di dalam bidang nyanyian, tarian dan teater.

Gadis berasal dari Skudai, Johor ini pernah bergelar penyanyi separuh masa di kelab malam iaitu Alpha Stars Entertainment, menari untuk persembahan makan malam, berlakon di dalam enam buah teater di bawah Kementerian Kebudayaan Negeri Johor serta pernah mencuba nasib di dalam ujibakat Akademi Fantasia musim keenam pada tahun lalu namun layak pada tahap top 25 sahaja.

Jelas Wana, selepas memenangi program realiti yang disiarkan oleh TV3 itu, cita-citanya untuk bergelar penyanyi seakan-akan cerah lebih-lebih lagi apabila dia ditawarkan hadiah berupa kontrak rakaman bersama label rekod Warner Music Malaysia.

Dengan kemenangan itu, Wana yang mendendangkan lagu medley nyanyian asal oleh Khadijah Ibrahim dan Agnes Monica, ‘Ku Pendam Sebuah Duka’ dan ‘Ku Telah Jatuh Cinta’ serta lagu duet bersama Jamal Abdillah iaitu ‘Kehebatan Cinta’ turut berpeluang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000 dan LCD TV (42’ LG LCD) tajaan LG.

Selepas meluahkan rasa gembira dan berjanji akan melakukan yang terbaik selepas ini, Wana juga berkata dia sudah tersangat bersedia untuk menyertai dunia senia hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya pada malam ini (semalam) tetapi tidak dinafikan yang semua peserta adalah hebat-hebat belaka.

“Saya sudah bersedia sangat-sangat untuk bergelar artis rakaman kerana bidang ini memang saya minati dari dulu lagi.

“Jadi, apabila sudah dapat, saya mesti membuat banyak persediaan untuk merakam album.,” tutur Wana ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Sewaktu mendengarkan vokal Wana yang begitu bertenaga ketika mendendangkan lagu-lagu untuk dua bahagian tersebut, penyanyi genit ini dirasakan lebih sesuai mendendangkan lagu bergenre pop.

Tuan empunya badan juga tidak menafikan hal tersebut lalu berkata dia sebolehnya mahu membawakan lagu bergenre pop untuk albumnya akan datang.

“Pada mulanya memang saya lebih kepada genre pop tetapi apabila memasuki program ini, saya mula belajar untuk menyanyikan lagu balada.

“Saya banyak belajar tentang bagaimana hendak meningkatkan tahap nyanyian melalui lagu balada.

“Jadi, sekarang ini saya meminati genre balada dan pop dan mungkin akan ketengahkan dua genre ini dalam album saya nanti,” ulasnya yang merancang untuk berhenti menyanyi di kelab malam dan melakukan apa sahaja yang dihidangkan di depan mata.

Dalam pada itu, pengurus A&R Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad yang dikenali sebagai Che Mokh berkata syarikat itu akan mengeluarkan album Wana dalam masa tiga bulan dari sekarang.

“Kami telah kemukakan kontrak untuk My Starz LG untuk mengambil juaranya sebagai artis rakaman.

“Jadi, kami akan berunding dengan pihak TV3 tentang proses pengeluaran album ini. Kita sudah mempunyai perancangan namun belum boleh dedahkan.

“Sekarang, kami telah perhatikan trend pembelian album. Jadi, kita tidak akan terbitkan 10 lagu dalam sebuah album.Mungkin kita buat ‘single’ dahulu,” jelas Che Mokh.

Kemenangan Wana dipersetujui oleh tiga juri

Bukan ingin mempertikaikan kemenangan Wana, namun jika dilihat kepada markah undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS), Wana pada mulanya memperoleh markah paling rendah.

Jika dilihat pada saingannya yang lain, Nashrin mahupun Cassie juga mempunyai harapan yang cerah untuk memenangi tempat pertama.

Namun, apabila ditanya kepada juri tetap, penyanyi Hattan, dia berkata kemenangan Wana memang lebih banyak dipengaruhi oleh keputusan juri.

Selain Hattan, keempat-empat peserta itu turut diadili oleh juri tetap penyanyi Liza Hanim dan juri jemputan, komposer Mohd. Faizal Maas atau Ajai.

Sebanyak 70 peratus markah diberikan oleh juri manakala selebihnya diputuskan oleh penonton melalui SMS.

“Jika diikutkan, semua peserta menunjukkan persembahan ‘at par’ namun Wana dilihat lebih konsisten.

“Kita bukan sahaja melihat kepada persembahan malam ini tetapi turut menilai persembahannya dari minggu ke minggu.

“Bagaimanapun, persembahannya cemerlang pada malam ini,” ulas Hattan.

Persembahan Nashrin dan Misha paling memukau penonton

Cassie membuka tirai persembahan dengan persembahan solo menyampaikan lagu-lagu medley yang dipopularkan oleh Sharifah Zarina dan Siti Nurhaliza iaitu ‘Langit Ke Tujuh’ dan ‘Ku Mahu’, diikuti Hairi yang menyusur kemudiaannya berduet dengan Fiq menyampaikan lagu-lagu bergenre rock oleh Lefthanded dan Wings iaitu ‘Debunga Wangi’ dan ‘Opera Hidup’.

Selepas persembahan Wana, Nashrin mula memukau penonton dengan persembahan lagu ‘Perlu Kamu’ bersama pasangan duetnya, penyanyi Misha Omar.

Ternyata persembahan anak muda berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang ini dan penyanyi bervokal lantang itu memang dramatik sekali sehingga ramai yang mengagak kemenangan mungkin diraih olehnya.

Bayangkan, Liza Hanim pun boleh berkata meremang bulu roma apabila melihat persembahan mereka lantas memuji keberanian Nashrin memilih Misha selaku pasangan duetnya.

Persembahan kedua Nashrin juga tidak kurang hebatnya dengan nyanyian lagu medley lagu Kaulah Segalanya nyanyian penyanyi Singapura, Hazrul Nizam dan lagu Si Gadis Ayu daripada Black Dog Bone.

Nashrin akui kesilapan tempo yang dibawakan semasa menyanyikan lagu Si Gadis Ayu membuatkan dia tersasar jauh ditinggalkan Wana yang dirasakan jauh lebih hebat daripadanya.

Namun, Nashrin tetap bersyukur apabila hanya bergelar naib juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta barangan LG, LCD TV (32’ LG LCD).

“Saya tetap gembira walaupun hanya mendapat tempat kedua. Yang penting, saya sudah melakukan yang terbaik pada malam ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kak Misha kerana banyak menolong saya ketika menyanyikan lagu ‘Perlu Kamu’,” luah Nashrin yang meminati Misha sejak dari awal pembabitan penyanyi itu di dalam industri ini.

Tambahnya, selepas ini, dia tetap akan menyambung tugasnya sebagai banker di Public Bank.

“Saya akan teruskan kerja saya sebelum ini dan akan seimbangkan antara kerjaya seni dan kerja di bank,” tutur Nashrin yang turut mempunyai kebolehan bermain bola sepak ini.

Ditanya tentang apakah yang akan dilakukan dengan wang tunai RM20,000 itu, Nashrin berkata dia akan mengagihkan untuk keperluan keluarga dan mungkin dia akan gunakan untuk menyambung belajar dalam jurusan Multimedia di mana-mana institut pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Cassie dan Hairie hanya menyampaikan persembahan pada tahap ‘boleh tahan’ dan ‘biasa sahaja’.

Cassie dinobatkan sebagai pemenang ketiga dan mendapat hadiah telefon bimbit LG (Renoir) selepas menyanyikan lagu medley ‘Langit Ke Tujuh’ dan ‘Ku Mahu’ serta lagu duetnya dengan Siti Sarah, ‘Mercy’.

Hairi yang mendendangkan lagu duetnya dengan Fiq, ‘Debunga Wangi’ dan ‘Opera Hidup’ serta lagu medley ‘Lagu Untukmu’ dan ‘Kau Yang Bernama Seri’ hanya berjaya membawa pulang hadiah penghawa dingin LG (Art Cool) selepas meraih tempat keempat dalam program yang dihoskan oleh Nazruddin Habibur Rahman dan Puteri Andreanna Syigim itu.

Persembahan akhir para finalis My Starz LG 2 turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada Faizal Tahir menerusi lagu ‘Sampai Syurga’, Jamal Abdillah dengan lagu ‘Terharu’ dan paling menarik adalah nyanyian lagu ‘Ayat-Ayat Cinta’ dan ‘Hey Ladies’ daripada penyanyi Indonesia, Rossa.

Mawi yang turut diundang melakukan persembahan tidak dapat berbuat demikian atas sebab tertentu. Lalu pihak TV3 meminta Jamal mengganti kekosongan itu dengan persembahan yang tidak mendukacitakan.

Semua peserta My Starz LG dilatih oleh penasihat vokal, penyanyi dan pencipta lagu Lah Ahmad, koreografer tarian Raimee Salleh dan Syaiful Bahrim sebagai konsultan imej.

Kesemua 12 peserta selama 12 minggu konsert mingguan ini berjalan menerima tunjuk ajar dan nasihat profesional serta sokongan latihan daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada penghibur dan penerbit ternama Malaysia, yang berlangsung di LG House, sebuah banglo yang diadaptasi khas yang tersedia dengan bilik latihan dan ruang persembahan yang dilengkapi sepenuhnya dengan produk LG.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan