Rasukan Ablasa cabar kreativiti Razak

Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fouziah Gous antara pelakon yang membintangi filem Rasukan Ablasa
Fouziah Gous antara pelakon yang membintangi filem Rasukan Ablasa

HAMPIR tiga tahun filem ini 'terperap'. Namun, penantian barisan pelakon filem Rasukan Ablasa ini untuk menyaksikan filem tersebut ditayangkan tercapai jua apabila ia akan mula memasuki pawagam-pawagam tempatan pada 26 Februari ini.

Filem keempat bergenre seram yang dihasilkan oleh Prof Madya A.Razak Mohaideen ini sebenarnya memang sengaja dilewatkan tayangannya, yang mana salah satu faktor utama adalah disebabkan lambakan filem seram tempatan yang sering disajikan kepada penonton sekitar dua tahun lalu.

Itu merupakan salah satu strategi pemasaran pihak produksi terbabit, selain terpaksa mengambil masa yang lama untuk menghasilkan 15 peratus adegan yang memerlukan imej janaan komputer (CGI).

Namun, ujar Razak, meskipun tertangguh agak lama untuk ditayangkan, dia tidak melihat perkara itu mampu menjejaskan sambutan ramai terhadap filem ini kelak.

Mengibaratkan filem itu sebagai mencabar kreativitinya, Razak menganggap tayangan filem tersebut memang sesuai pada masanya.

"Memang salah satu sebab filem ini lewat ditayangkan ialah kerana begitu banyak filem seram ditayangkan tidak lama dulu. Sekarang ini sudah 'perlahan' sedikit, jadi saya rasa memang sesuailah.

"Jika dapat menjangkau jumlah penonton mencecah 200,000 orang, itu sudah memadai bagi saya. Faktor CGI juga turut menjadi antara penyebab kami terpaksa tangguhkan filem ini. Saya terpaksa menukar CGI dan kesan bunyi kerana tidak puas hati.

"Akhirnya saya minta bantuan Yusry KRU untuk hasilkan CGI filem ini. Tetapi ia juga tertangguh kerana kami menghasilkan filem Duyung pula. Hanya selepas itu baru dia dapat meneruskan penghasilan CGI filem ini," kata Razak pada sidang media sempena majlis prebiu filem tersebut di Cineleisure Damansara, baru-baru ini.

Filem terbitan bersama Line Clear Motion Pictures dan Primeworks Studio ini dibarisi pelakon-pelakon baru seperti Gambit Saifullah, Almy Nadia, Fouziah Gous, Hafiz Hanafiah dan Nurnadia.

Ia turut menampilkan kemunculan istimewa Datuk Jalaluddin Hassan dan Yusry KRU.

Filem ini bermula dengan sebuah tragedi 50 tahun lalu di Kampung Bukit Gemuruh, di mana Omar yang mendambakan ketaatan isterinya, Laila, memuja iblis bagi mengabulkan keinginannya.

Pemujaan itu sebaliknya membuatkan isterinya bertambah curang, malah berasmara di depan mata sendiri. Dikuasai marah, Omar membunuh isteri dan pasangannya. Sebagai balasan, rumahnya dibakar penduduk kampung bersama kesesatan amalannya.

Beberapa tahun kemudian, kawasan tragedi itu dikunjungi semula oleh Ashraf iaitu cucu kepada Omar dan lima orang rakan-rakannya. Mereka menemui sebuah peti milik datuk Ashraf, mengandungi alat muzik yang mengeluarkan bunyi aneh.

Peti itu dibuka dan dibawa pulang, dan sejak itulah mereka menghadapi gangguan. Ashraf akhirnya terpaksa bertindak untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang dimasukkan ke wad mental akibat diganggu rasukan gara-gara bunyi tersebut.

Bercerita tentang filem ini, Razak berkata, filem ini telah memperlihatkan cabarannya untuk membuat tafsiran sendiri tentang ablasa yang diambil daripada perkataan Arab bermaksud “roh yang terganggu” ke dalam bentuk filem. "Kebanyakan cerita seram yang kita lihat adalah 'stereotype'. Saya cuba tampilkan sesuatu yang berbeza tentang rasukan di mana bunyian juga mampu menyebabkan sesuatu rasukan itu berlaku.

"Susah juga untuk hasilkan bunyi yang saya mahukan. Beberapa komposer ada menghantar bunyi yang mereka buat, tetapi tidak ada satu pun yang saya rasa 'kena' dengan filem itu.

"Akhirnya Edry KRU yang berjaya hasilkan kombinasi bunyi muzik yang sesuai dengan subjek tulang yang dijumpai oleh enam rakan tersebut," kata Razak.

Mengulas tentang barisan pelakon yang membintangi filem itu, ujar Razak, walaupun mereka masih terlalu baru di dalam industri ini tatkala penggambaran filem itu dijalankan, namun dengan populariti yang semakin meningkat diraih oleh beberapa pelakonnya kini di samping jalan cerita yang ada kelainan, Razak yakin ia boleh diterima ramai.

"Bagi saya, cerita seram tidak terletak kepada siapa pelakonnya, ia hanya perlukan konsep cerita yang kuat. Sebab itu saya letakkan muka-muka baru di dalam filem ini untuk berikan sesuatu yang segar.

"Memang pada awalnya agak sukar untuk mengajar mereka, tetapi sikap profesional yang mereka tunjukkan cukup bagus. Saya turut memberi latihan kepada mereka selama sebulan setengah untuk mantapkan lagi lakonan mereka sebelum penggambaran bermula.

"Walaupun dulu mereka tidak dikenali, tetapi saya bangga apabila melihat sekarang ada di antara mereka yang mula melonjak namanya," ujar Razak.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan