Zeyna terhutang budi dengan Sazzy Falak

Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zeyna bersama Iqram Dinzly yang menjadi tunggak utama Rempit vs Impak Maksima
Zeyna bersama Iqram Dinzly yang menjadi tunggak utama Rempit vs Impak Maksima

PEMBABITANNYA dalam bidang seni hanya secara kebetulan. Jika tidak kerana sepupunya, pelakon dan pengacara Sazzy Falak yang membawanya ke arena lakonan, Zeyna Ibrahim tidak pasti sama ada dirinya sendiri sememangnya mempunyai bakat sebagai pelakon.

Zeyna atau nama sebenarnya Ani Zayanah Ibrahim tidak pernah menjangka percubaan pertamanya di dalam drama bersiri Kami dan Kami The Movie tidak lama dulu menjadi permulaan yang cukup baik dalam perjalanan seninya.

"Sazzy yang ajak saya untuk cuba nasib dalam drama bersiri Kami memandangkan dia memang rapat dengan mereka di Red Communications. Kebetulan pula ketika itu pengajian saya di Kolej Damansara Utama hampir tamat, jadi saya fikir tidak salah untuk mencuba.

"Tidak sangka pula, dari drama bersiri, saya turut ditawarkan juga untuk membintangi Kami The Movie pula. Itu adalah titik permulaan saya dalam bidang lakonan.

"Selepas itu, saya ditawarkan pula untuk menjayakan drama Rocky & Geri yang berkemungkinan akan mula ditayangkan di NTV7 tidak lama lagi," ujar Zeyna menceritakan perjalanan awal bidang seninya.

Meskipun populariti yang diraih Zeyna tidak sebesar artis-artis baru seangkatannya, namun anak keempat daripada tujuh beradik ini mempunyai pendirian tersendiri dalam bidang ini.

Bagi Zeyna, dia sudah cukup gembira dengan kepercayaan produser yang mula nampak kemampuan dirinya di dalam bidang lakonan ini.

Terbaru, gadis berusia 23 tahun ini diberi tanggungjawab besar oleh pengarah tersohor Ahmad Idham untuk memegang watak 'heroin' di dalam drama bersiri 13 episod, Rempit vs Impak Maksima yang sudah pun mula ditayangkan di TV3 pada 16 Februari lalu.

Membawakan watak sebagai Farhana, seorang gadis yang hebat di litar 'drift' dan cuba memartabatkan perlumbaan motosikal haram ke arah perlumbaan yang berprestij, Zeyna akui terpaksa berdepan dengan kesukaran pada awalnya apatah lagi dia sendiri tidak pandai memandu kereta.

"Awal-awal lagi saya sudah beritahu Idham bahawa saya tidak pandai memandu. Memang saya tidak ada lesen memandu pun. Tetapi Idham yakinkan saya dan tidak perlu risau kerana mereka menggunakan khidmat 'stuntman'.

"Sebab itu saya tidak risau sangat. Saya hanya fokus kepada watak saya," kata Zeyna yang menambah dia menerima tawaran tersebut sehari sebelum mengikat kontrak dengan produksi terbabit, Excellent Pictures.

Drama bersiri arahan bersama Idham dan Ismail Bob Hasim ini mengisahkan tentang Farhana, ahli korporat yang mengendalikan perniagaan kejuruteraan permotoran dan merupakan anak tunggal kepada Datuk Razali dan Datin Azizah.

Pembabitannya di dalam perniagaan ini secara tidak langsung menjadikan Farhana sendiri dekat dengan dunia permotoran dan sukan drift.

Pada masa yang sama, Farhana berjanji akan mengahwini lelaki pilihan keluarganya tetapi dengan syarat misinya untuk sukan permotoran motosikal dapat dilihat setaraf dengan sukan drift, sekaligus melenyapkan imej negatif Mat Rempit.

Pertemuan dengan Ijai, mekanik motosikal seolah-olah membenarkan hasratnya itu tercapai.

Selain Zeyna, antara pelakon lain yang turut menjayakan drama ini ialah Iqram Dinzly, Zed Zaidi, Nas-T, Puteri Fatin Nasuha, Dina Malaysian Idol dan Siti Elizad.

Mengulas lanjut tentang watak tersebut, kata Zeyna, walaupun agak mencabar, dia cukup menyukai sifat Farhana yang dirasakannya mempunyai sedikit persamaan dengan dirinya sendiri.

"Mungkin tidak sebanyak karektor saya di dalam 'Kami', tetapi watak Farhana ini tetap tidak jauh bezanya dengan sifat saya yang sebenar. Cuma dalam drama ini karektor Farhana lebih mendalam, tidak seperti dalam 'Kami'.

"Tetapi, saya tidak dapat menyangkal perasaan gementar berlakon dalam drama ini kerana inilah kali pertama saya diberi peranan utama. Saya sedar peluang ini bukan mudah untuk saya dapat.

"Banyak juga pengalaman dan ilmu baru yang saya kutip sepanjang penggambaran drama bersiri ini, terutamanya tentang lakonan kita yang perlu dilihat lebih dramatik untuk drama-drama Melayu seperti ini," kata Zeyna.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan