Pelakon veteran 'beralah' soal bayaran dengan artis muda

Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Norlia Ghani (kiri), Mariani dan Wan Maimunah antara pelakon lama yang dipinggirkan dari segi bayaran.
Norlia Ghani (kiri), Mariani dan Wan Maimunah antara pelakon lama yang dipinggirkan dari segi bayaran.

JIKA di Hollywood, masalah bayaran pelakon mungkin tidak menjadi masalah memandangkan semakin tua pelakon itu, semakin tinggi bayaran yang diberikan kepada mereka.

Terbalik pula dengan situasi yang berlaku di kalangan artis veteran tempatan bilamana mereka seolah-olah dipinggirkan dari segi bayaran.

Menurut maklumbalas daripada tiga aktres veteran iaitu seniwati Mariani, Norlia Ghani dan Wan Maimunah, setakat ini mereka memang bersyukur kerana produser masih memerlukan khidmat mereka untuk berlakon di dalam mana-mana drama dan telefilem serta tidak kurang juga yang ditawarkan berlakon filem.

Namun, apabila disoal tentang bayaran, terdetik juga rasa tidak puas hati dikalangan mereka apabila bayaran sengaja dilebih-lebihkan kepada pelakon muda.

Sebelum ini, di sebuah akhbar perdana, pelakon Rubiah Suparman pernah berkata: “Sebagai pelakon berapa sangatlah pendapatannya, terutama pelakon veteran macam saya.

"Kita bukan di Hollywood yang menilai artis menerusi bakat, industri kita masih belum terbuka, hakikatnya lebih muda, segak dan popular lebih mahal bayarannya.”

Kini, Rubiah Suparman sudah bersara dari dunia lakonan dan memilih untuk mengendalikan Restoran Puteri hasil titik peluhnya bersama penulis lirik dan produser terkenal, Habsah Hassan.

Mariani tidak pernah berkira tentang bayaran

Berbalik kepada luahan tiga pelakon yang mewakili artis veteran, Mariani berkata bayaran lakonan yang diterima bergantung kepada rezekinya di mana bayaran paling tinggi yang diterimanya setakat ini adalah RM1,000 untuk sehari.

"Saya tak pernah berkira tentang harga. Saya sudah 59 tahun di dalam industri ini, jadi saya hendak orang mempertimbangkan harga yang harus dibayar kepada saya.

"Saya hanya akan bertanya tentang watak, jadual pengambaran dan pakaian.

"Saya tak kisah tentang harga hingga kadangkala ada yang bayar RM1,000 untuk empat hari.

"Saya pernah mendapat duit selepas tiga bulan berlakon dan ada yang tidak dapat langsung.

"Ada juga yang minta untuk dikurangkan bayaran saya kepada RM200. Waktu itu, memang saya sedih dan menangis kerana merasakan diri saya ibarat ikan yang dijual di pasar," ujar Mariani yang membahasakan dirinya ‘mummy’.

Jelasnya, mulai tahun 1972, sejak Allahyarham P. Ramlee meminta setiap pelakon dibayar dengan harga RM500 pada setiap hari, barulah beliau merasai bayaran sebanyak itu.

"Zaman sekarang pun saya terima kalau mendapat RM500 untuk sehari," kata ibu kepada pelakon Melissa Saila ini.

Lebih membuatkan beliau terkilan, terdapat pihak stesen televisyen mengatakan beliau tidak layak untuk meminta bayaran royalti walaupun filem lakonannya ditayang berulang kali di televisyen.

"Jika selepas ini ada orang ingin berikan penghargaan, saya rasa memang dah terlambat.

"Bukan hanya pangkat Datuk, tetapi anugerah pun tak dapat lagi. Itupun adalah sekali saya terima daripada Berita Harian.

"Saya sudah berpesan dengan anak-anak, jika suatu hari nanti saya sudah ‘tutup mata’, saya minta mereka jangan menerima apa-apa yang diberikan.

"Sepatutnya mereka perlu memikirkan cara untuk menghargai perjuangan kita yang kais pagi makan pagi ini," beritahunya yang selesa berlakon bersama pengarah dan produser Rashid Sibir.

Kata Mariani, setakat bekerja dengan pengarah dan penerbit drama bersiri Keliwon ini, beliau tidak pernah dikecewakan.

"Rashid tak pernah berkira dengan kami malah selalu menolong dan bersimpati dengan artis veteran seperti kami. Kalau dengan dia, biasanya kami mendapat dalam RM800 sehari," luah Mariani yang melakonkan watak nenek di dalam drama slot Seram di TV3 itu.

Selain itu, Mariani baru selesai pengambaran drama rantaian Matahari terbitan Ziela Jalil serta akan berlakon di dalam drama rantaian ‘Anak Emak’ arahan Uwei Haji Shaari dan ‘Diari Mak Ayam’ arahan Rashid Sibir.

Norlia mahu persatuan bela nasib artis veteran

Sementara itu, Norlia Ghani yang membahasakan dirinya ‘mama’ ini berkata beliau turut mengalami nasib yang sama seperti Mariani di mana beliau terpaksa menerima setiap bayaran yang diberikan.

"Saya tak boleh berkira tentang hal bayaran. Hendak atau tidak, saya terpaksa menerimanya. Jika kita tidak ambil, nanti bagaimana hendak teruskan kehidupan?

"Saya tahu di mana duit yang banyak disalurkan jika tidak kepada pelakon muda. Tetapi, apabila saya bertanya kenapa bayaran terlalu sedikit, alasan bajet gawat yang diberikan.

"Sebab itu artis muda memandang rendah kepada kami..," ujar ibu kepada pelakon Rusdi Ramli ini.

Tegasnya, walaupun banyak persatuan yang terdapat di dalam industri hiburan tempatan, namun begitu nasib artis veteran masih tidak terbela.

"Sepatutnya persatuan yang banyak ini perlu memperjuangkan nasib artis veteran untuk menerima bayaran yang sama rata," katanya.

Apabila bertanya tentang bayaran yang diterima oleh Rashid Sibir, Norlia berkata dia bersyukur kerana produser itu tidak berkira dan memberikan bayaran yang berbaloi.

“Namun, saya tidak berpuas hati dengan sesetengah produksi itu yang memberikan tawaran tidak masuk akal di mana pelakon tambahan yang diberikan lebih berbanding pelakon utama.

“Misalnya, saya hanya mendapat RM500 sehari untuk watak utama. Ada juga yang memberikan RM200 untuk 20 babak.

“Yang memalukan, produksi itu agak besar dan terkenal,” luahnya dalam nada kecewa. Mengenai perkembangan seninya, Norlia berkata dia masih mendapat tawaran lakonan.

Terbaru, beliau melakonkan dua watak di dalam drama 'Keliwon' iaitu dukun dan mak andam.

Selain itu, Norlia juga baru selesai menjalani pengambaran telefilem 'Ayam Goreng Bersamamu' dan bakal berlakon di dalam telefilem 'Diari Mak Ayam' serta filem ‘Kapow’.

Wan Maimunah terima bayaran ikut nasib

Dalam pada itu, aktres yang terkenal dengan persembahan lakonan yang tidak mengecewakan, Wan Maimunah juga bersetuju dengan pendapat rakan-rakannya.

Beliau menyifatkan bayaran yang diterima bergantung kepada nasib seseorang pelakon itu.

"Sekarang, produksi lebih memandang kepada pelakon-pelakon muda. Memang saya mengalami sedikit masalah tentang bayaran dan hal itu amat menyedihkan," luah aktres yang menggelarkan dirinya sebagai ‘ibu’ ini dalam nada rajuk.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak setiap tawaran yang diberikan walaupun bayarannya tidaklah begitu banyak.

"Saya masih berlakon dan sebelum ini saya baru selesai pengambaran telefilem ‘Cucu Mat Salleh’, ‘Ayam Goreng Bersamamu’ dan ‘Bidadari Mimpi’.

"Memanglah kadangkala itu, saya dan Norlia akan berjumpa di dalam satu drama kerana secara tak langsung sesebuah produksi ini telah membantu kami," ujarnya.

Wan Maimunah pasti disebabkan artis muda sekarang terlalu meminta bayaran yang terlalu tinggi, artis veteran yang menjadi mangsa hingga mereka terpaksa menerima bayaran rendah.

"Saya tahu yang bayaran itu bukan ditetapkan oleh stesen televisyen tetapi seseorang artis itu yang meminta bayaran tinggi.

"Tetapi artis muda ini perlu beringat juga di mana jika mereka membuat kami seperti ini, tidak mustahil jika suatu hari nanti mereka akan mengalami nasib yang sama seperti kami," tegasnya yang sebolehnya menahan daripada bercakap banyak kerana bimbang akan ‘tergigit lidah’ suatu hari nanti.

Menyentuh tentang perkembangan seninya sekarang, Wan Maimunah berkata dia sedang menunggu mana-mana tawaran lakonan setakat ini selepas berlakon di dalam drama bersiri 'Keliwon'.

Kata Wan Maimunah, beliau berlakon sebagai ‘hantu kopek’ yang memanggil kanak-kanak ketika bermain di padang pada waktu senja.

"Yang menariknya tentang siri ‘Hantu Kopek’ ini, saya akan menyuruh kanak-kanak di dalam cerita itu makan cacing dan mereka memang betul-betul memasukkan cacing ke dalam mulut masing-masing," ulas Wan Maimunah mengenai sedikit babak menarik yang perlu ditonton di dalam 'Keliwon'.

Drama bersiri 13 episod 'Keliwon' sedang disiarkan oleh TV3 pada setiap Khamis, pukul 9.30 malam.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan