Orang tua Que-Linda sepakat

Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Besan..Ibu Linda, Datin Kay Hashim dan ibu Que, Rahmah Hussein ketika majlis resepsi Linda dan Que di Bora Ombak pada 14 Februari lalu. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Besan..Ibu Linda, Datin Kay Hashim dan ibu Que, Rahmah Hussein ketika majlis resepsi Linda dan Que di Bora Ombak pada 14 Februari lalu. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

SEBELUM upacara akad nikah berlangsung pada petang Hari Kekasih lalu, ibu pelakon Que Haidar sudah menitiskan air mata dan menunjukkan wajah sugul ketika baru sampai di Bora Ombak, Ampang.

Selepas majlis tersebut selesai, pada mulanya, Rahmah Hussein, 55, tidak mahu ditemubual kerana belum bersedia untuk menjawab segala persoalan dan meminta diberikan ruang untuk menenangkan diri.

Namun, semasa majlis persandingan anak dan menantunya, koreografer Linda Jasmine Hashim berlangsung pada sebelah malamnya di tempat yang sama, barulah wanita ini membuka peluang untuk ditemubual.

Jelas Rahmah, dia tidak mampu membendung kesedihannya kerana terkenangkan suaminya yang telah pergi sejak tujuh tahun lalu.

“Dari rumah lagi, saya sudah rasa sedih kerana hubungan saya dengan Que memang rapat.

“Saya berasa sedih kerana terkenangkan arwah bapa Que yang tidak dapat melihat anaknya mendirikan rumahtangga,” ujar Rahmah dalam keadaan tenang.

Apabila ditanya tentang pilihan Que, Rahmah berkata dia bersetuju dengan pekahwinan yang dibina oleh anaknya itu.

“Saya juga berasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada Que dan Linda. Semoga jodoh mereka berkekalan dan sentiasa bertolak-ansur antara satu sama lain.

“Biar mereka bahagia ke akhir hayat dan saling mempercayai,” tuturnya.

Cerita Rahmah mengenai reaksinya apabila Que memberitahu hendak memperisterikan Linda, dia pada mulanya tidak percaya dengan tindakan anaknya itu.

“Saya tak percaya pada mula-mula Que memberitahu hendak berkahwin dengan Linda sehingga saya menelefon dia semula untuk mendapatkan pengesahan.

“Saya takut kalau Que hanya hendak mempermainkan anak orang. Jadi, saya tanya Que betul-betul.

“Jadi, apabila dia kata dia serius, saya tiada masalah dan mengikut sahaja kehendaknya jika itu yang dia suka. Asalkan dia bahagia,” ulas Rahmah.

Tambah Rahmah, apa yang membuatkan dia tertarik dengan Linda adalah sikap lemah-lembut dan pandai mengambil hatinya.

Menyentuh tentang persiapan perkahwinan di Felda Taib Andak, Kulai yang bakal berlangsung pada 15 Mac depan, Rahmah berkata sebahagiannya sudah disempurnakan hasil bantuan orang kampung.

Ditanya tentang bagaimana dia menepis gosip yang melanda anak dan menantunya sebelum ini selepas mereka mengumumkan untuk berkahwin, Rahmah menjawab:

“Saya tahu dan memahami Que jenis yang macamana. Saya tidak kisah tentang apa yang orang hendak cakap apa-apa pun kerana setiap apa yang berlaku dia akan memberitahu kepada saya terlebih dahulu.

“Que tahu saya mempunyai penyakit jantung dan dia tidak akan membuat perkara yang saya tidak suka,” giat Rahmah yang akui amat rapat dengan anak kelimanya itu.

Dalam pada itu, ibu Linda, Datin Kay Hashim, 70, turut menumpang rasa gembira dengan perkahwinan anak dan menantunya itu.

“Saya sangat gembira dengan mereka. Saya doakan yang terbaik untuk mereka,” luah Kay.

Kay turut menggambarkan Que merupakan seorang yang sangat ikhlas, ‘charming’ dan mempunyai personaliti yang baik.

Sementara bapa Linda, Datuk Murad Hashim, 76, juga memuji sukakan majlis perkahwinan anaknya itu.

“Majlis perkahwinan ini amat romantik dan ‘charming’. Namun, saya rasa bersalah kerana tidak terlibat sepenuhnya dalam majlis ini.

“Kedua-duanya sangat bertuah kerana ada orang lain yang sanggup menolong seperti Jeslina Hashim.

“Jadi, jangan lupa untuk membalas budi mereka yang telah banyak menolong melancarkan majlis ini,” kata Murad.

Cerita Murad mengenai perkara menarik yang boleh dikongsi tentang hubungan Linda dan Que sebelum diijabkabulkan, dia melihat hubungan anak bongsunya dan aktor muda itu mampu bertahan hingga ke jinjang pelamin selepas empat hingga lima bulan mereka bertandang ke rumahnya.

“Saya rasa hubungan ini akan berkekalan selepas Que selalu datang ke rumah kami kira-kira empat hingga lima bulan selepas bersama Linda dan Que juga menyukai Qalif.

“Que dan Qalif selalu pergi ke mana-mana bersama. Saya juga mula rasa selesa dengan hubungan mereka.

“Memandangkan Linda menyukai lelaki yang ringkas, jujur dan merendah diri, jadi saya tidak teragak-agak untuk menyatukan mereka berdua.

“Saya sangat sukakan Que menjadi menantu saya dan doakan mereka bertuah dan bahagia selamanya,” luah usahawan berjaya ini.

Dalam pada itu, anak Linda, Qalif Khan, 9, turut meluahkan perasaan gembiranya apabila mendapat bapa baru.

“Saya sukakan Daddy Que kerana dia seorang yang baik. Saya rasa mesti kami akan gembira bersama. Saya juga sukakan majlis perkahwinan ini kerana ia menarik,” ulas Qalif ringkas yang kadangkala masih tersasul memanggil Que dengan panggilan ‘uncle’.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan