Imran, Saerah tak sabar menanti album baru

Diterbitkan: Selasa, 10 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Imran dan Saerah digosipkan sedang bercinta.
Imran dan Saerah digosipkan sedang bercinta.

SABAN hari bergelumang dalam industri seni ini, puas sudah dua penyanyi ini, Imran Ajmain dan Siti Saerah Tarudin berhempas pulas untuk memberikan hasil yang terbaik.

Penantian yang ditunggu-tunggu akan menjelang tiba tidak lama lagi memandangkan kedua-duanya bakal mengeluarkan album masing-masing.

Bagi Imran, masa tersebut akan termeterai sekitar bulan April depan diikuti dengan Saerah sebulan atau dua bulan selepas itu.

Pasangan yang digembar-gemburkan menjalinkan hubungan cinta ini menempelak gosip tersebut sekaligus bangkit dan selesa untuk mempromosikan karier seni mereka.

Imran pertama kali guna ‘live instrument'

Menurut Imran atau nama sebenarnya Ahmad Imranullah bin Ahmad Husaini Ajmain, 28, yang sedang popular dengan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang, dia sedang merakam album penuhnya di mana buat pertama kalinya menggunakan ‘live instrument’.

Selepas menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Metadome pada Disember lalu, Imran mula menghasilkan album keduanya itu dengan bantuan syarikat tersebut dan kenalannya.

Yang menariknya, Imran berkata jika album pertama dahulu mengambil masa selama dua tahun untuk merakam lagu sebaliknya album kedua ini hanya mengambil masa kira-kira sebulan.

“Selepas lagu Selamat Ulang Tahun Sayang, saya akan keluarkan single kedua iaitu Jika Engkau Pergi pada Mac ini.

“Kebetulan, lagu tersebut akan mula diputarkan di radio seiring dengan siaran drama bersiri Kisah Yusof yang turut menjadikan lagu Jika Engkau Pergi sebagai lagu tema,” ujar Imran.

Jelas Imran, dia juga bertindak sendiri dalam memilih lagu mengikut citarasanya selain mencipta lagu menggunakan bakat semulajadinya itu.

“Saya juga menggunakan lagu yang mendapat sentuhan daripada penulis lirik dan komposer lain.

“Misalnya, untuk lagu Selamat Ulang Tahun Sayang, saya menggunakan khidmat Fedtri Yahya sebagai penulis lirik di mana lagu tersebut digubah oleh saya sendiri.

“Begitu juga dengan lagu Jika Engkau Pergi yang dicipta oleh saya dan liriknya ditulis oleh Sulu Sarawak.

“Sementara lagu ketiga iaitu Radio digubah oleh Adib Fabulous Cats,” kata Imran.

Buat permulaan, dia juga merancang untuk mempromosikan lagu-lagu terbarunya itu dengan memuat naiknya dalam bentuk nada dering yang boleh didapati di laman webnya, imranajmain.com.

Selain itu, Imran akan mempromosikan lagu-lagunya menerusi muzik video yang boleh didapati di laman web YouTube.

“Memandangkan keadaan pasaran sekarang tidak terlalu mengizinkan, jadi saya akan fokuskan kepada jualan nada dering dengan menghasilkan video yang mempromosikan penjualannya.

“Lagipun, pembeli sekarang agak cerewet,” tutur penyanyi kelahiran Singapura ini.

Bercerita mengenai pemilihan genre muzik lagu-lagu terbarunya itu, Imran berkata dia sengaja memilih genre yang ‘old school’ tetapi yang penting mengekalkan rentak Pop Melayu.

“Saya memang sengaja membuat lagu Selamat Ulang Tahun Sayang kedengaran seperti lagu lama.

“Dari segi susunan, saya meminta komposer dan penerbit terkenal Eddie Marzuki membuat muzik lagu itu seakan-akan lagu nyanyian Alleycats, Khadijah Ibrahim dan Nassier Wahab.

“Sekarang ini, saya perhatikan kebanyakan muzik kita terlalu melihat ke barat.

“Jadi, saya nak kekalkan stail yang lama dan biasa dengan pengemar muzik.

“Selain itu, saya akan membuat sesuatu yang berbeza dan jika mengikut trend sekalipun, saya tidak akan menjadi ‘zombie’ yang mengikut membabi buta,” jelas Imran.

Bagaimanapun, Imran berkata tidak bermakna dia melawan arus kerana minatnya masih dengan pop Melayu.

Tambah Imran, misalnya, lagu Jika Engkau Pergi menggunakan pengaruh lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Jamal Abdillah di mana orang lebih mengenali suara P. Ramlee menyanyikan sesebuah lagu itu semasa zaman kegemilangannya manakala Jamal Abdillah juga dikenali melalui suara dan lagu-lagunya.

“Jadi, kadangkala penggubah lagu perlu syok sendiri. Saya juga masih mahu mengikut trend dan dalam masa yang sama membuat trend,” ulas Imran yang akan menjayakan sebuah roadshow di Sungai Petani dan Seberang Perai pada 21 dan 22 Februari ini bersama artis di bawah naungan Metadome.

Mereka adalah kumpulan Nitrus, Fabulous Cats, Sixth Sense, Zhana, Nurul dan Serina Redzuan.

Saerah buat album duo dengan Saida

Walaupun merasa sedikit tertekan dengan gosip yang melandanya dengan Imran, dengan sepantas kilat Saerah, 26, mengambil jalan untuk berfikir secara positif.

Namun, pada satu sudut lain, Saerah juga merasakan gosip ini juga mampu membantunya untuk menjadi sebutan ramai sekaligus lebih dikenali dalam industri ini.

Bukan sengaja hendak meraih publisiti murahan, sebaliknya Saerah berkata dia akur agak sukar untuk memulakan karier sebagai artis baru ini.

Selepas setahun menyusun perancangan sebagai penyanyi, kini Saerah semakin menampakkan hasil yang diusahakannya.

“Saya lihat pendengar di radio boleh menerima lagu saya seperti Hero Wayang dan Akhir Cinta.

“Pada masa akan datang, saya tidak tahu lagi apa yang akan berlaku. Cuma saya harapkan kerjaya dan bakat saya akan berkembang.

“Saya mengharapkan sesuatu yang terbaik dan lebih dari itu. Saya juga berharap pada masa akan datang peminat akan memberi peluang dan sokongan kepada saya,” luah adik kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza ini.

Bercerita tentang album duonya itu, tiga lagu solo dan dua lagu duonya bersama Saida merupakan antara lapan buah lagu yang dimuatkan di dalamnya.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai dua buah lagu single iaitu Hero Wayang dan Akhir Cinta. Sekarang, saya masih lagi mengumpul material untuk lagu-lagu lain,” tutur Saerah yang gemarkan konsep pop balada.

Memandangkan dua lagunya telah diputarkan di radio, Saerah berkata dia bersyukur kerana penerimaan pendengar bukan sahaja melibatkan orang tempatan malah turut serta orang Singapura.

“Alhamdulillah, sekarang saya mendapat maklumbalas yang baik dari pendengar di Singapura dan lagu saya juga telah berjaya memasuki carta lagu di radio.

“Ini membuktikan peminat sudah mula menilai dan melihat bakat yang ada. Saya juga berharap tidak akan dikaitkan lagi dengan Kak Siti,” ujar Saerah.

Usaha Saerah tidak sampai di situ sahaja keraan dia sebolehnya ingin cuba merapatkan hubungan dengan peminat dan menarik perhatian orang ramai agar dirinya lebih dikenali.

“Sekarang, saya juga mengikuti show amal untuk tabung Palestin. Jadi, dari situ saya boleh menggunakan peluang untuk lebih mendekati peminat,” cerita Saerah yang juga pernah mempunyai pengalaman mengadakan persembahan di Indonesia dan Singapura ketika mengikut kakaknya dulu.

Jelas Saerah, pendengar yang mahu memuat turun lagunya bolehlah melayari sitizone.com dan memuat turun dalam bentuk nada dering menerusi SN Mobile.

Sebelum menutup bicara, Saerah sempat menitipkan pesanan kepada penggemar muzik tanah air supaya memberi peluang dan menyokong dirinya serta Imran.

Kata Saerah: “Kami berdua masih baru dalam industri hiburan ini. Jadi, diharapkan mereka ketepikan gosip dan melihat bakat yang ada.”

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan