Mainan ilusi PGLM...

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kisah cinta agung Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah tetap berjaya menarik perhatian ramai meskipun sudah dua kali dipentaskan di Istana Budaya
Kisah cinta agung Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah tetap berjaya menarik perhatian ramai meskipun sudah dua kali dipentaskan di Istana Budaya

FENOMENA yang dicetuskan oleh Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) nampaknya masih belum hilang bisanya.

Memasuki musim ketiganya sejak 6 Februari lalu, PGLM yang mula mencipta sejarah tersendiri sejak pementasan pertamanya pada tahun 2006, terus mengukir kegemilangan apabila sekali lagi jualan tiket bagi pementasan yang akan berakhir pada 21 Februari itu habis dijual, mengulang kembali senario yang sama ketika dipentaskan buat kali pertamanya dulu.

Apa hebatnya PGLM hingga masih diterima ramai? Sedangkan dunia teater muzikal tempatan sudah mula bercambah dengan begitu banyak produksi lain juga mula mengambil pendekatan yang sama seperti Enfiniti Productions di bawah kendalian Datin Seri Tiara Jacquelina dan menghasilkan karya mereka dalam bentuk teater muzikal.

Secara peribadi, penulis merasakan PGLM mempunyai keistimewaan tersendiri. Meskipun tiga kali diangkat di pentas gah Istana Budaya, tidak hairan jika rata-rata penonton yang hadir kali ini adalah golongan penonton yang sama pernah menyaksikan pementasan kisah cinta agung Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah ini untuk dua musim sebelum ini.

Penulis sendiri berpeluang menyaksikan PGLM yang dipentaskan kali pertama serta musim terbaru ini. Memang benar kata Tiara, tidak banyak perubahan dari segi jalan ceritanya, hanya olahan sedikit untuk beberapa babak serta penambahan set.

Namun, mainan magis atau ilusi yang disuntikkan di dalam pementasan musim ini cukup menarik perhatian penulis. Pastinya rata-rata penonton juga berfikiran sama seperti penulis.

Tidak kurang dan tidak juga berlebihan, elemen ilusi hasil 'rekaan' pakar ilusi Anslem Roy dilihat cukup kena dengan babak-babak tertentu di dalam penceritaan tersebut.

Agak 'seram sejuk' juga melihat aksi Bayan, lakonan Ida Mariana yang melakukan ilusi di pentas untuk beberapa adegan termasuklah babak 'menghilangkan' Gusti Putri atau Puteri Gunung Ledang ketika sang puteri ingin melarikan diri ke Melaka untuk menjejaki kekasih hatinya Hang Tuah.

Bagi penulis, unsur mistikal seperti ini bukan saja dapat 'menyerikan' lagi pementasan tersebut, tetapi penulis melihat elemen ini menjadi 'pelengkap' karektor-karektor tertentu di dalam teater ini selain penyampaian emosi yang cukup mendalam oleh pelakon-pelakon terbabit.

Tidak timbul isu tidak relevan menggunakan unsur ilusi sedemikian apatah lagi masyarakat memang telah disogokkan dengan cerita orang-orang zaman dulu yang kononnya sering mempunyai ilmu sakti.

Penulis kagum dengan babak-babak yang dihiasi elemen ini termasuklah adegan nenek kebayan yang hilang dan muncul di merata-rata tempat ketika menghalang perjalanan Hang Tuah dan rakan-rakan untuk menyampaikan lamaran Sultan Mahmud kepada si puteri yang berdiam di Gunung Ledang.

Perwatakan nenek kebayan yang kemudiannya menjelma kepada rupa Puteri Gunung Ledang juga meraih tepukan gemuruh penonton dengan yang diakui cukup terpana menyaksikan aksi ilusi atau magis dibawakan di pentas yang setakat ini belum pernah dilakukan oleh mana-mana produksi teater muzikal tempatan.

Stupa yang menjadi set pementasan ini juga amat menarik perhatian penulis. Masih mengekalkan set yang pernah digunakan ketika pementasan terdahulu serta ditambah dengan beberapa set lain, keunikan stupa yang diubah mengikut kesesuaian babak memang cukup berkesan.

Set latarbelakang kerajaan Majapahit, istana Melaka serta Gunung Ledang juga diubahsuai dengan gaya yang menarik. Paling menambat hati penulis ialah set hutan-rimba ketika babak Hang Tuah bersama rakan-rakan ke Gunung Ledang.

Tidak ketinggalan set kapal layar yang dibawa ke pentas bagi babak sang puteri yang sanggup belayar ke Melaka untuk bertemu kekasihnya itu. Dengan penggunaan kain putih sebagai menggambarkan lautan, gerakan kapal layar tersebut memang nampak 'real' biarpun sebenarnya hanya menggunakan tenaga 'ensemble' yang terlibat.

Begitulah telitinya produksi milik Tiara ini. Bukan sekadar gah pada namanya, PGLM juga memang cukup terperinci dalam segala aspek produksinya termasuklah pembabitan pelakon-pelakon tambahan.

Buktinya, bukan saja keberkesanan watak yang dibawa oleh pelakon-pelakon seperti Tiara sendiri, Stephen Rahman Hughes sebagai Hang Tuah, Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Mahmud dan AC Mizal sebagai Gusti Adipati, malah kesemua barisan pelakon lain termasuklah pelakon tambahan dan penari memainkan peranan yang cukup penting dalam penceritaan PGLM ini.

Penulis sebenarnya cukup 'tabik' dengan lakonan mantap Ida sebagai Bayan yang pada pengamatan penulis, Ida amat beremosi membawakan watak tersebut meskipun pada masa yang sama perlu menyanyi dan diselitkan pula dengan elemen ilusi. Bayan adalah karektor yang paling banyak perlu memainkan unsur magis itu.

Cuma sayang sungguh menyaksikan aksi Stephen yang dilihat adakalanya 'tergagap' ketika melontarkan bicara ketika pementasan tersebut. Namun begitu, tidaklah sehingga menjejaskan pementasan itu, apatah Stephen sendiri dilihat bijak menutup 'cela' tersebut. Mungkin pengalaman bertahun-tahun sebagai pelakon teater memberi kelebihan buat jejaka ini tatkala berada di pentas.

Tahniah juga buat pengarah muzikal, Roslan Aziz yang menghasilkan persembahan muzik yang menarik melatari PGLM ini. Roslan dipertanggungjawabkan untuk aspek itu selama dua musim terdahulu dan kini Roslan muncul dengan sedikit 'pembaharuan' terhadap muzik teater tersebut tanpa mengubah muzik asalnya dulu.

Apa yang pasti, memang menjadi 'formula' yang dicipta Tiara bersama tenaga kreatifnya seperti Datuk Zahim Albakri selaku pengarah teater, Adlin Aman Ramlie sebagai penulis skrip, pengarah muzikal, Roslan Aziz, pereka set Raja Malek dan koreografer, Pat Ibrahim yang bertungkus-lumus berbulan-bulan lamanya untuk mencipta 'versi' baru PGLM kali ini.

Meskipun inilah kali terakhir Tiara memegang watak Puteri Gunung Ledang dan Gusti Putri ini, namun 'legasi' PGLM berkemungkinan akan tetap diteruskan bak kata Tiara, "selagi penonton mahukan PGL lagi, kami akan terus lakukan walaupun untuk 50 tahun lagi."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan