Kisah pemuda dan kuasa sihir dalam Merlin TV3

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Merlin, drama 13 episod ini telah mula disiarkan di TV3 mulai 25 Januari 2009, setiap Ahad, pada jam 9.00 malam.
Merlin, drama 13 episod ini telah mula disiarkan di TV3 mulai 25 Januari 2009, setiap Ahad, pada jam 9.00 malam.

PENGGEMAR drama fantasi tentu sekali teruja dengan buah tangan terbaru TV3 Merlin. Drama siri menarik ini memaparkan kisah berdasarkan legenda Arthurian iaitu Merlin, seorang pemuda yang mempunyai kuasa sihir yang bersahabat baik dengan Prince Arthur yang bakal mewarisi takhta Camelot.

Pembikinan drama hebat ini dihasilkan daripada gabungan kerjasama pasukan yang pernah memenangi anugerah di bawah drama bersiri berjudul Hex dan Sugar Rush, hasil arahan James Hawes.

Drama 13 episod ini telah mula disiarkan di TV3 mulai 25 Januari lalu, setiap Ahad, pada jam 9 malam. Ternyata program terbaru ini menepati citarasa penonton apabila berjaya mencapai rating yang memberangsangkan.

Menurut laporan A.C Nielson, Merlin berjaya menarik minat lebih daripada 2 juta penonton ketika tayangan dua minggu yang pertama.

Drama berorientasikan kekeluargaan ini membariskan bintang-bintang seperti Colin Morgan sebagai Merlin, Bradley James sebagai Prince Arthur, Anthony Head sebagai Raja Uther, Richard Wilson sebagai Gaius, Katie McGrath sebagai Morgana dan Angel Coulby sebagai Gwen, Merlin adalah satu imaginatif dan ulasan sebuah legenda yang mempersonakan untuk tatapan para penonton.

Para penonton akan mengenali beberapa watak yang berbeza melalui drama ini. Tunjang utama siri ini ialah Merlin, yang digambarkan sebagai pemuda yang mempunyai kuasa luar biasa namun dia merahsiakan keupayaan sihirnya dan bakal menjadi seorang ahli sihir termasyhur di dunia.

Manakala, Prince Arthur dikenali dengan sikapnya yang keras kepala, sombong dan cuai tetapi di sebalik sikapnya buruknya itu, dia juga merupakan seorang yang baik hati serta bakal ditabalkan sebagai raja untuk negeri Camelot.

Persahabatan akrabnya bersama Merlin dan gandingan pasangan itu telah berjaya menyelamatkan antara satu sama lain apabila mereka ditimpa masalah.

Watak seterusnya, Gaius merupakan seorang doktor di istana dan antara orang yang mengetahui rahsia Merlin. Dia mempunyai sikap yang selamba dan menganggap Merlin seperti anak lelaki yang tidak pernah dimikinya.

Uther Pendragon pula merupakan pemerintah Camelot dan juga bapa kandung kepada Arthur. Uther digambarkan sebagai seorang lelaki yang zalim dan adakalanya kejam, tetapi beliau amat mengambil berat tentang rakyat jelata dan juga rakan-rakannya.

Bagaimanapun, dia sering dibutakan dengan sifat kebenciannya terhadap semua bentuk sihir. Terdapat beberapa lagi watak-watak menarik dalam drama bersiri ini seperti Morgana, Gwen, Naga Hikmat dan Nimueh yang pastinya dapat menarik minat penonton untuk terus menyaksikan episod-episod seterusnya.

Kisah Merlin bermula setibanya dia di bandaraya Camelot, di mana Raja Uther Pendragon, telah mengharamkan penggunaan kuasa ajaib di bandaraya itu dan mengurung naga terakhir yang masih belum pupus di bumi Camelot tersebut.

Apabila Merlin tiba di negeri itu, secara tiba-tiba dia mempunyai ramai musuh termasuklah pewaris mahkota Uther, Prince Arthur. Merlin kemudiannya telah diambil oleh Gaius, doktor yang mengetahui rahsianya untuk dijadikan sebagai perantis.

Gaius bukan sahaja menggunakan kuasa-kuasanya untuk mempertahankan dirinya malah menggunakan kelebihannya itu untuk mencungkil rahsia Camelot yang menakjubkan.

Selepas mendapat maklumat yang penting dari naga yang terakhir, Merlin kemudiannya tekad untuk melindungi Arthur, anak lelaki Uther supaya dia dapat membesar dan memegang tampuk pemerintahan negaranya.

Dalam usaha untuk mencapai misi yang direncanakan, drama 13 episod ini memaparkan tentang pelbagai rintangan dan halangan yang perlu ditempuh oleh Merlin. Antara babak menarik yang dipaparkan dalam drama ini ialah kejadian kampungnya diserang oleh penjahat yang merbahaya dan beliau terpaksa segera kembali ke kampungnya untuk memberikan bantuan.

Merlin terharu apabila rakan-rakan barunya Arthur, Gwen dan Morgana berkeras untuk mengikutnya pulang ke kampung untuk bersamanya melawan musuh yang menyerang. Dalam episod ini, penonton dapat menyaksikan keadaan Merlin yang tersepit apabila terpaksa menyingkap kuasa sihirnya yang selama ini disembunyikan daripada Arthur demi menyelamatkan kampungnya.

Persahabatan, kesetiaan dan kisah cinta kesemuanya diuji dalam drama bersiri menarik ini. Merlin terpaksa memilih antara orang-orang yang disayanginya dalam dunia ini untuk mencapai misinya. Saksikan apakah kesudahan perjuangan Merlin yang penuh dengan pancaroba!

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan