Aktivis teater sudah penat 'mengemis'

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gandingan pelakon baru dan lama dalam teater muzikal Ibu Zain musim kedua pasti menampilkan kelainan.Foto The Star Oleh: MOHD.SAHAR MISNI
Gandingan pelakon baru dan lama dalam teater muzikal Ibu Zain musim kedua pasti menampilkan kelainan.Foto The Star Oleh: MOHD.SAHAR MISNI

TEATER merupakan satu cabang seni yang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Namun disebalik kebangkitannya sebagai wadah seni, aktivis teater mula mengeluh kerana penerbitan teater yang besar dikatakan 'membunuh' teater kecil yang tidak mempunyai dana.

Menurut penerbit teater Ibu Zain musim ke-2, Rosminah Tahir mementaskan teater bukan kerja kecil kerana selain memerlukan kreativiti minda soal dana sentiasa menghantui mereka.

"Memang setiap kali sebelum pementasan berlangsung, produser teater akan berasa takut jika teater mereka tidak mendapat sambutan. Lalu mereka mengharapkan dana untuk membantu jualan tiket. Ada penonton kita pergi menyaksikan teater secara percuma dan ada juga yang berbayar.

"Senario ini berbeza dengan penonton di luar negara dimana mereka sanggup membayar tiket dengan harga yang mahal untuk menyaksikan teater yang diminati. Ini kerana mereka menghargai nilai teater itu sendiri serta menyokong perkembangannya.

"Realitinya, kebanyakan teater kecil mendominasi persekitaran teater di negara kita tetapi teater besar sebenarnya membunuh teater kecil yang tidak mempunyai dana,” katanya.

Kata Rosminah lagi, kita tidak sepatutnya menunding jari kepada produksi luar negara yang diberi kesempatan ke negara ini kerana tamadun dan karya mereka berkembang lebih awal.

"Penerimaan masyarakat terhadap teater antarabangsa sama seperti apa yang berlaku pada filem dan muzik. Sebenarnya kita mempunyai ramai aktivis teater yang mampu berkarya dengan baik namun faktor tuntutan hidup membuatkan mereka mengubah haluan mencari pekerjaan lain," ujar Rosminah yang dilebih dikenali dengan panggilan Kak Ros.

Jelasnya lagi, untuk teater terus bernafas dana masih diperlukan terutamanya sumbangan daripada pihak penaja yang dapat membantu teater baru dihasilkan.

"Kesedaran masyarakat secara menyeluruh juga penting supaya sambutan berterusan," katanya.

Sementara pengarah teater Ibu Zain, Siti Rohaya Atan pula berpendapat sokongan penaja penting terutamanya untuk menampung penerbitan sesebuah teater.

Dengan mengambil contoh teater muzikal Ibu Zain yang dipentaskan di Istana Budaya pada Ogos tahun lalu, kos keseluruhan mencecah RM1 juta manakala teater Lantai T. Pinkie yang dipentaskan pada 2006 membelanjakan RM1.2juta.

"Setahu saya belum ada produksi tempatan meraih keuntungan hanya dengan hasil jualan tiket. Ia sebenarnya hanya mampu menampung 20 hingga 30 peratus kos keseluruhan.

"Justeru saya, cadangkan kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan mewujudkan satu skim atau dana khusus untuk aktivitis teater seperti dana filem yang diperkenalkan oleh Perbadanan Filem Nasional (Finas).

"Saya percaya sudah tiba masanya kerajaan memikirkan secara serius hal ini kerana aktivitis teater sudah penat ’mengemis’ untuk mencari dana,” katanya.

Bagi Rohaya yang lebih dikenali dengan panggilan Kak Roy ini teater muzikal Ibu Zain musim ke-2 akan kembali penonton pada 13 hingga 22 Mac ini di Malaysia Tourism Centre.

Menariknya pementasan kali ini merupakan anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dengan kerjasama Aman Malaysia.

Kata kak Roy lagi, pementasan kali ini diadakan semula atas sambutan hangat daripada penonton tahun lalu dan sebagai usaha mengenang kembali jasa serta perjuangan tokoh wanita iaitu, Zainun Munshi Sulaiman atau Ibu Zain.

Empat pelakon baru diperkenalkan

Pementasan yang mengambil masa lebih dua jam ini masih mengekalkan plot penceritaan yang sama kerana ia merupakan cerita berdasarkan fakta.

Namun pementasan kali ini menampilkan beberapa pelakon baru disamping props pentas yang sedikit berbeza.

Empat pelakon baru diperkenalkan adalah, Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Pandak atau Ungku Omar menggantikan pelakon asal, Hisham Ahmad Tajuddin, Datin Natasha Hudson (Miss Ruth, menggantikan Catriona Ross), Zuhairi Ibrahim sebagai Yunus menggantikan Shahrul Nizam dan Hamzah Tahir (Syed Sheikh Al Hadi menggantikan Mazlan Tahir).

Pertukaran watak juga berlaku membabitkan Nurul Elfira Loy sebagai Ibu Zain ketika remaja, Nurul Syariza Nor Azim melakonkan watak anak Ibu Zain, Adibah Amin manakala Farah Batrisyia Ahmad Salman menjadi Ibu Zain ketika kanak-kanak.

Pelakon asal yang masih dikekalkan ialah Liza Othman sebagai Ibu Zain ketika tua, Datuk Rahim Razali (Munshi Sulaiman), Nur Fatimah Abdul Wahab (Ibu Zain dewasa), Tania Zalina Zainal Abidin (Cikgu Munah), Sherry Abdullah (Cikgu Jumilah), Farah Adila Apandi (Cikgu Ramlah), Ava Vanja (Miss Shelleber) dan Mazin Ameen Siraj (Amin). Bagi watak Datuk Onn Jaafar pula ia masih dicari selepas pelakon Zaeful Nordin menarik diri.

Bagi penyanyi Nur Fatima, dia gembira ketika ditawarkan semula kerana melihat peluang tersebut sebagai satu kepercayaan daripada pihak produksi kepadanya.

Katanya, walaupun membawakan watak yang sama cabarannya, tetap ada. Berpeluang membawakan watak Ibu Zain ketika dewasa memaksa dia membuat rujukan daripada pembacaan bahan sejarah mengenai tokoh wanita itu.

"Semangat saya untuk berlakon teater ini kali kedua semakin bertambah. Sebenarnya agak sukar membawakan watak ini kerana saya tidak boleh menjadi diri sendiri.Meskipun Ibu Zain sudah tiada tetapi perjuangannya tetap dikenang kerana beliau seorang yang cekal dan lantang bersuara.

"Setelah hampir lapan tahun saya tidak berlakon teater yang kali terakhir dalam teater Tun Perak pada tahun 2000. Saya berazam mahu memberikan lakonan yang lebih baik dalam pementasan kali ini," ujar Fatima.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan