Perkahwinan tidak sah, Radhiah dalam edah nikah Aziz

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aziz M. Osman keluar dari kamar mahkamah disusuli Nor Radhiah Ramli selepas mendengar keputusan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini.-foto Kosmo
Aziz M. Osman keluar dari kamar mahkamah disusuli Nor Radhiah Ramli selepas mendengar keputusan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini.-foto Kosmo

[SEMASA] KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan perkahwinan produser dan pengarah Aziz M. Osman, 47, dengan Nor Radhiah Ramli, 23, tidak sah.

Menurut Ketua Hakim Syarie, Datuk Ismail Yahya, semasa hari pernikahan pada 16 Ogos lalu, Radhiah masih dalam edah hasil daripada perkahwinan pertamanya dahulu.

Bagaimanapun, Radhiah dilaporkan tidak mengetahui dia sedang berada dalam tempoh edah ketika hari pernikahannya dengan Aziz atas alasan perkahwinan pertamanya tidak sah.

Dalam pada itu, peguam syarie Che Amli Embong yang mewakili Aziz berkata walaupun Radhiah mengaku tidak mengetahui dia perlu menjalani edah selepas tidak diberitahu oleh hakim yang membatalkan perkahwinannya terdahulu, tetapi itu bukan alasan untuk mengatakan perkahwinan dia dan Aziz sah.

“Alasannya adalah Radhiah masih dalam tempoh edah selepas mahkamah putuskan perkahwinan Radhiah dan suami pertamanya itu tidak sah.

“Walaupun tidak sah, dia wajib menjalani edah tiga kali suci kerana telah berlaku hubungan suami isteri,” ulas Che Amli.

Sementara Radhiah yang diwakili oleh peguam syarie Mukhtar Abdullah hadir ke mahkamah secara berasingan dengan Aziz kira-kira pukul 8.45 pagi ini.

Dilaporkan, pasangan ini pada mulanya dilihat masuk ke dalam bilik hakim untuk perbicaraan secara tertutup selama 15 minit selepas dipohon oleh kedua-dua belah pihak atas alasan supaya kes tersebut dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Seterusnya, barulah hakim memberikan penghakiman dan memberikan keputusannya secara terbuka kira-kira sejam.

Selepas keputusan tersebut diumumkan, Aziz meluahkan rasa lega kerana kes tersebut sudah berakhir.

“Alhamdulillah, kes ini telah selesai. Saya juga tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin semula dengan Radhiah atau tidak kerana sekarang saya ingin fokuskan kepada anak-anak,” ujar Aziz.

Sementara Radhiah juga meluahkan perasaan yang sama.

“Saya berasa lega setelah hal ini selesai. Apa-apa pun, biar takdir yang menentukan. Saya terima jika jodoh kami berakhir setakat ini sahaja,” kata guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Radhiah memberitahu, Aziz tidak menghubunginya sejak kes tersebut mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah, 23 November tahun lalu.

Mereka juga tinggal berasingan sejak Radhiah pulang ke sini selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Aziz di Kuala Lumpur.

Masalah perkahwinan pasangan itu terbongkar apabila ibu Aziz, Afida Es mendedahkan perkahwinan anaknya itu tidak sah kerana Nor Radhiah berkahwin dengan Aziz ketika masih dalam tempoh edah selepas bercerai dengan suami sebelumnya.

Aziz menikahi Nor Radhiah pada 16 Ogos lalu di Masjid Padang Nenas dekat sini, selepas bertemu ketika menunaikan umrah di Mekah, Mac tahun lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan