Aziz fikirkan anak-anak, Radhiah sambung belajar

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aziz ketika menghadiri perbicaraan pertama di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 23 November lalu. -foto The Star
Aziz ketika menghadiri perbicaraan pertama di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 23 November lalu. -foto The Star

[SEMASA] TEMUBUAL yang dilakukan secara berasingan ini lebih kepada ingin mengetahui reaksi, ikhtibar dan perancangan masa depan pasangan produser Aziz M. Osman, 47, dan Nor Radhiah Ramli, 23, selepas mendapati Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan perkahwinan mereka tidak sah.

Apakah reaksi apabila mendengar keputusan mahkamah?

Aziz: “Kes ini baru pertama kali dilalui oleh saya. Jadi, apabila ditanya apakah reaksi saya apabila mendapat tahu perkahwinan saya tidak sah, saya tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya.”

Radhiah: “Saya rasa lega sebab tujuan saya memang hendak mendengar keputusan perkahwinan ini. Selepas saya mendengar keputusan ini, saya perlu terima segala keputusan yang diberikan.

Adakah Abang Aziz rasa terpukul dengan kes ini?

“Tidaklah sehingga saya rasa seperti kena pukul. Tetapi apa yang saya takut akhirnya berlaku juga kerana kes ini mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada saya.

“Keburukannya adalah kes ini menyentuh kehidupan saya kerana saya tidak perlukan situasi seperti ini di mana saya menjadi popular kerana cerita sensasi dan gosip.

“Ikutkan, saya mahu dikenali kerana kerja saya. Perkara seperti ini memang kalau boleh saya nak elak sangat-sangat.

“Kebaikannya pula adalah saya dapati perkara seperti ini boleh dijadikan ikhtibar dan ilmu untuk orang ramai.

“Kita perlu teliti sesuatu hukum itu kerana selalunya kita anggap dan memandang ringan terhadap hukum-hakam dalam Islam.

“Misalnya, apabila seseorang itu berkahwin lari, dia perlu fikirkan kesan-kesan buruknya.

“Apabila kita membuat sesuatu tanpa berfikir kesan di masa depan, baru kita tahu sesuatu perkahwinan itu telah diumumkan tidak sah seperti perkahwinan Radhiah terdahulu.

“Dengan itu, dia perlu juga menjalani edah seperti wanita yang melalui proses penceraian.

“Jadi, mungkin selama ini masyarakat tidak tahu kedudukan keadaan ini. Jadi, apabila perkara ini berlaku, barulah kita mengetahuinya.

“Tetapi, masalahnya ia berlaku kepada diri saya.”

Bagaimana Radhiah boleh tidak tahu diri-sendiri sepatutnya menjalani edah selepas perkahwinan pertama?

“Semasa hakim membicarakan kes perkahwinan pertama saya dulu, dia tidak memberitahu secara menyeluruh seperti soal edah.

“Saya ingatkan apabila mahkamah memutuskan perkahwinan pertama itu tidak sah, jadi saya tidak perlu melalui edah.

“Jadi, sebab itu saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Abang Aziz. Hakim yang memutuskan perkahwinan saya dan Abang Aziz tidak sah juga berkata ia merupakan kesilapan daripada hakim yang mengendalikan kes perkahwinan pertama saya dulu.”

Bagaimana tidak tahu sedangkan telah melalui hubungan suami isteri dengan Engku Ahmad Hisham Engku Abdullah?

Radhiah: “Waktu itu waktu syubhah (haram), jadi saya tidak tahu ia ada kena mengena dengan edah. Mahkamah pula tidak terangkan yang saya perlu edah tiga kali suci seperti penceraian yang berlaku kepada orang lain.

“Jadi, saya terima sahaja alasan yang diberikan oleh hakim itu.”

Secara positifnya, apakah pengajaran yang didapati daripada kes ini?

Aziz: “Apabila kita hendak membuat sesuatu, biarlah baik mana pun niat kita itu, kita perlu ambil langkah berhati-hati dan jangan terburu-buru dalam membuat keputusan.”

Radhiah: “Saya kena lebih berhati-hati dalam memilih pasangan dan jangan terlalu terburu-buru dan tergopoh-gapah.

“Jika saya ingin katakan salah saya memilih Abang Aziz, tidak juga sebab dia merupakan seorang lelaki yang baik.

“Sebagai manusia, kita tak lepas daripada melakukan kesilapan. Saya tak salahkan orang lain juga melainkan diri-sendiri.

“Ia juga memuhasabahkan dan mematangkan diri pada masa akan datang.”

Jadi, selepas kes ini berlaku, bagaimana hubungan anda berdua?

Radhiah: “Kami tak pernah bergaduh, jadi hubungan kami tetap baik sampai bila-bila. Saya juga akan kekalkan hubungan macam biasa."

Aziz: “Soalan itu yang saya tak nak dengar. Jadi, tiada komen.”

Kiranya, adakah Abang Aziz sudah memaafkan kesilapan yang berpunca daripada Radhiah ini?

“Tidak timbul soal maaf atau tidak. Ini bukan soal siapa yang berdosa, dan bersalah. Ini soal kesilapan teknikal yang perlu diambil ikhtibar oleh sesiapa sahaja termasuk diri saya.

“Saya bukan nak kata Radhiah membuat dosa kepada saya. Dulu, semasa dia berkahwin dengan Engku Hisham pun, mereka berkahwin dan bukannya berzina.

“Maksudnya di sini, seseorang yang berkahwin itu mempunyai niat yang baik dan bukannya untuk melakukan zina.

“Jadi, tidak timbul isu dia buat salah. Cuma salahnya di situ adalah Radhiah telah berkahwin tanpa restu ibu dan ayahnya.

“Saya pun memasang niat untuk berkahwin dengan Radhiah kerana niat yang baik. Bagi saya, semua perkara yang melibatkan perkahwinan berkaitan dengan niat yang baik.

“Siapa yang berniat hendak berkahwin dan esoknya bercerai? Melainkan seseorang yang berniat untuk mempermain-mainkan perasaan orang lain, dia tidak akan terlintas langsung untuk berkahwin.

“Perkahwinan ini merupakan suatu ikatan. Baik saya mahupun Radhiah dan Engku Hisham, kami tidak mahu perkahwinan itu runtuh di tengah jalan.

“Kadangkala, perkara teknikal yang kita tidak terfikir dan diambil secara terburu-buru, boleh membuatkan berlakunya kes seperti yang kami lalui sekarang.

“Bagi saya, kesalahan yang dilalukan oleh Radhiah itu terlalu kecil. Cuma, perkara kecil inilah yang kita perlu titik beratkan kerana ia mempunyai hubung kait dengan perkara lain yang bagi kita nampak kecil tetapi apabila ia meleret-leret, terus menjadi besar.

“Kes ini pada mulanya hanya tercetus akibat dia kahwin lari. Kemudian, kedua ibu dan bapanya tidak memberkati hubungan itu.

“Kebetulan pula, waktu itu saya berniat untuk memperisterikan Dhia dan terus berjumpa dengan ibu dan bapa Dhia, saya terus bersetuju untuk berkahwin dengannya selepas mengetahui perkahwinan pertamanya dengan Engku Hisham tidak sah.

“Keseluruhan cerita ini nampak seperti tiada apa-apa kesalahan tetapi apabila kita melihat dari sudut hukum, rupa-rupanya ada kesalahan yang kita tidak tahu.

“Bagi saya, kalau saya teruskan hubungan dengan Nor Radhiah dan saya tidak tahu tentang tidak sahnya perkahwinan ini, jadi ia akan terbabit dengan perkahwinan yang tidak selesa, ‘panas’ dan zuriat yang tidak baik.

“Jadi, dalam kehidupan ini kita kena lihat kenapa kita selalu berasa ‘panas’. Mungkin kita kena lihat perkara sebaliknya yang pernah kita lakukan seperti ini.”

Selepas ini, apakah perancangan masa depan?

Aziz: “Saya akan tumpukan perhatian kepada anak-anak. Sebanyak mana hal ini telah menjejaskan kehidupan anak-anak saya yang tidak bersalah di mana mereka sentiasa ditimpa soalan-soalan yang tidak sepatutnya ditanya sedangkan yang melalui hal itu adalah saya.

“Anak saya menjadi mangsa keadaan. Mereka tidak sepatutnya dibebani dengan masalah sebegini. Jadi, apa yang saya perlu lakukan adalah saya akan memudahkan kehidupan dan memberikan tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka.

“Pasal sekarang ini, saya rasa kehidupan saya ini bukan untuk saya lagi. Zaman saya ini sudah habis. Sekarang adalah masa untuk memikirkan tentang anak-anak dan masa depan mereka.”

Radhiah: “Saya baru memohon untuk menyambung belajar dalam Ijazah Pendidikan Pengajian Islam di Universiti Darul Iman.

“Selepas ini, saya akan teruskan kehidupan seperti biasa dan memulakan kehidupan yang baru."

Jadi, tidak terfikir untuk berkahwin lagi buat masa ini?

Aziz: “Saya tidak tahu lagi sebab sekarang bukan masa untuk fikirkan diri saya. Kalau saya kahwin lagi, bermakna saya fikir untuk diri-sendiri melainkan saya akan kahwin sebab anak-anak inginkan ibu tiri.

“Asalkan saya dan ibu mereka, Noraliah Lee Abdullah masih ada, itu sudah cukup.

“Anak-anak saya pun semakin meningkat dewasa. Jika mereka masih kecil, mungkin mereka perlukan perhatian seorang ibu, jadi saya perlu wujudkan seorang ibu.

“Tetapi, apabila mereka sudah besar, mereka perlukan seorang sahabat. Saya akan berada di situ untuk menjadi kawan kepada mereka.”

Radhiah: "Insya-Allah, jika ada jodoh dengan orang lain, saya terima. Kita tidak tahu apa yang tersurat dan tersirat pada masa akan datang.”

Sepanjang tempoh kes ini berjalan, apa yang Abang Aziz lakukan?

Radhiah: “Saya teruskan kehidupan seperti biasa dan mengajar di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 2 sebab nak tunggu keputusan itu juga mengambil masa."

Aziz: “Saya buat kerja seperti sitkom dan sedang proses membuat filem baru, CE1.”

Filem CE1 yang bakal diarahkan oleh Aziz M. Osman mengisahkan seorang pelajar pintar dari kampung yang berminat dalam kejuruteraan mekanikal dan mempunyai bakat mencipta robot.

Pelajar ini dengan bantuan bapa saudaranya telah mencipta android dengan nama CE1.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan