Kakak Tua: Mata tahu memandang saja...

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Populariti yang dimiliki Zaiton Sameon hanya singgah sebentar dalam hidup glamornya.
Populariti yang dimiliki Zaiton Sameon hanya singgah sebentar dalam hidup glamornya.

HIDUP 'bersendirian' seperti penyanyi berstatus janda, Zaiton Sameon dan Mas AF2 memang banyak dugaannya. Fitnah yang melanda juga bertambah hebat.

Begitulah pasang surut dan populariti seseorang artis yang tidak menjanjikan kebahagiaan yang lama.

Terlalu keras rintangan di hadapan bila diduga dengan bermacam kejadian yang tidak tercapai oleh akal.

Dari kemalangan jiwa hinggalah keruntuhan rumahtangga, semuanya seperti kena badi.

Nasib yang dilalui oleh penyanyi lama yang pernah popular Zaiton Sameon dan penyanyi 'mi segera' yang masih mencari arah tuju dalam industri Mas AF2, kedua-dua bagai terpukul apabila bencana datang bertimpa-timpa.

Belas melihat nasib yang 'ditempah' mereka. Kebetulan pula, mereka di bidang yang sama, hanya mengharapkan populariti pentas untuk melariskan diri.

Kalau tidak ada album, undangan sepi, tidak adalah gaji.

Kalau hidup sendirian pun tak lepas, masakan dapat menyuap anak-anak di bawah tanggungan. Memang itulah liku-liku wanita berstatus 'janda' yang susah harta.

Banyak tidak molek dari molek. Perlakuan, tutur kata mesti dijaga. Terlebih, terkurang ada saja lidah yang ringan akan mengata.

Lebih dirasai kesan dari kesepian seorang janda apabila kecelaruan mental tiba-tiba berlaku. Kak Eton dan Mas di dalam kancah yang sama.

Bila keluar laporan mereka 'sakit' dan perlukan rawatan, ramai akan tersenyum sinis.

Kakak Tua masih ingat lagi peristiwa Kak Eton, penyanyi paling popular satu ketika dulu ketika terlibat dengan kemalangan yang turut meragut nyawa anaknya yang berusia 6 tahun di Kuala Ketil, Kedah pada tanggal 21 Februari 1990.

Selepas satu persembahan, Kak Eton dan budak-budak band pergi makan dan bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki van.

Di dalam van itu, Zaiton meriba anaknya, Irwan yang turut sama menemaninya ke pertunjukan tersebut.

Lenguh meriba, dia menyuruh Irwan duduk di sebelahnya. Dan akhirnya Zaiton tertidur dan terjadilah kemalangan yang menyayat hati itu…

Sebelas tahun lamanya, dia tidak sedarkan diri (Feb 1990-Julai 2001). Selepas pulih ingatan, beliau kembali aktif menyanyi semula. Kenapa perlu nyanyi semula? Mungkin itu saja pencarian yang dia tahu.

Mas pula, dek sebab tekanan dan hilang kawalan tiba-tiba mengamuk di balai polis dan terus di tahan di Wad Psikiatrik, HKL.

Bak kata, Freddie Fernandez sepatah, ini soal imej artis dan keluarganya.

Apabila sudah ada rekod masuk wad psikiatrik, orang di luar akan memandang serong. Walau macam mana imej dipulihkan, terpalit juga cakap-cakap sumbang.

Kita di luar hanya mampu membuat ulasan, yang menanggung tuan punya badan dan famili.

Perjalanan kedua artis ini banyak ranjau ditempuhi. Belumpun sempat sampai ke penghujung karier, mereka tersadung dan tersungkur di pintu kejayaan.

Apa peduli pada kukur, nyiur juga yang binasa? Apa ada pada orang, diri sendiri yang kena menanggung derita.

Tapi kita tidak perlulah hendak memadankan muka. Bahagian Mas dan Kak Eton sudah jelas di hadapan mata. Bahagian kita belum tahu lagi. Kalau kita tidak dapat membantu, tidak perlulah melukakan lagi parut yang mereka ada.

Kesilapan masa lalu adalah pendorong untuk menjadi insan yang lebih baik. Siapalah kita hendak mencemuh Mas atau Kak Eton? Insaf itu perlu untuk muhasabah diri.

Janganlah menghina dan menjadikan masa lampau atau 'jahiliyah' mereka sebagai modal. Ketenangan jiwa mereka diragut buat masa ini. Kenapa dan mengapa? Andaian berbagai dibuat tapi yang tahu kebenarannya hanya tuhan saja. Mata hanya tahu memandang saja, bahu juga yang tahu beratnya. Fasa yang sedang dilalui oleh Kak Eton dan Mas ibarat kifarah dosa. Susahnya bukan selama tapi bekasnya membawa sampai ke mati.

KAKAK TUA: Tahu macam mana peritnya bila antah patah, lesung pula hilang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan